DAHULU hampir tiada aduan oleh ibu bapa tentang kelakuan pengetua dan guru-guru terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa memberi kepercayaan penuh kepada guru untuk mendidik anak-anak mereka. Bagi mereka guru mempunyai kepakaran dan kuasa untuk melakukannya, asalkan anak mereka tidak dicederakan dengan sengaja. Tetapi sekarang tidak lagi. Segala-galanya sudah berubah.Kalau dahulu guru akan menjadi rujukan utama oleh ibu bapa dan pelajar, sekarang guru bukan lagi satu-satunya yang ada di mata pelajar. Malahan ada masanya guru kena menerima hakikat yang kadang-kadang dia tidak dirujuk sama sekali. Itu bukan bererti yang pelajar dan ibu bapa tidak menghormati guru lagi, cuma dalam banyak perkara ibu bapa dan orang-orang yang ada di sekeliling mereka dilihat lebh menonjol dari segi keilmuan dan kewibawaan berbanding guru.Para pelajar melihat ibu dan bapa mereka lebih berjaya. Mereka ini mungkin seorang doktor, arkitek, peguam dan akauntan. Hampir semua masalah yang melibatkan pembelajaran dan mata pelajaran boleh diselesaikan oleh orang-orang ini-yang begitu hampir dengan mereka. Mereka melihat ibu, bapa, kakak dan abang mereka lebih berjaya dan lebih pandai daripada guru mereka. Tentulah bagi mereka tidak salah untuk merujuk semua perkara kepada golongan ini. Oleh kerana mereka sekarang lebih rapat dengan orang orang ini, maka hubungan antara guru dan pelajar semakin menjarak. Mereka menemui guru mereka dalam kelas. Selepas itu banyak masa digunakan bersama ahli keluarga mereka dan kawan-kawan karib mereka. Atau lebih tepat lagi mereka tidak rapat dengan sesiapa lagi kecuali dengan rakan sebaya yang mempunyai minat yang serupa dengan mereka. Dalam keadaan itulah guru akan terdedah kepada dakwaan dan tindakan mahkamah hanya disebabkan isu yang tidak disangka sama sekali. Maka atas sebab itu guru-guru mesti didedahkan dengan pengetahuan mengenai undang-undang supaya guru tahu hak mereka dan hak pelajar.