Strauss, S. (1993) mencadangkan agar diadakan satu polisi gangguan/keganasan seksual di sekolah-sekolah seperti mana yang dilakukan di Minnesota. Negeri itu telah meluluskan dua undang-undang yang mula dikuatkuasakan pada tahun persekolahan 1991-92. Polisi undang-undang ini perlu dipamerkan pada setiap bangunan sekolah dan buku panduan pelajar. Negeri itu juga telah memperuntukkan $1.5 juta ($3 seorang pelajar) untuk dibelanjakan bagi program anti keganasan dan gangguan seksual. <!–more–> Langkah-langkah termasuklah: Melibatkan ibu bapa, pelajar, staf dan peguam-peguam untuk menulis polisi di atas dan Menyediakan kumpulan pembantu di kalangan pelajar di kelas bukan tradisi (non-traditional classes). Ternyata persekolahan di Malaysia jauh lebih baik dan lebih selamat berbanding di Amerika Syarikat. Pergaulan bebas antara remaja lelaki dan perempuan, dan pakaian mencolok mata seperti di negara polis dunia itu mungkin menjadi pendorong utama kepada berlakunya gangguan atau keganasan seksual. Pelajar perempuan bukan sahaja sudah tidak selamat di luar sekolah, malahan di dalam sekolah pun keselamatan mereka sudah tidak terjamin lagi sehingga memungkinkan undang-undang seperti itu digubal dan hukuman yang berat terpaksa dikenakan ke atas pelajar yang terbabit. Melihat keadaan itu, kita patut bersyukur kerana sekolah-sekolah di Malaysia masih menjadi tempat yang paling selamat. Mudah-mudahan Tuhan melindungi semua warga sekolah.