KES Zazlin Zahira, seorang guru muzik mungkin menjadi contoh terbaik buat panduan para guru untuk menjelaskan dua perkara. Pertama, sesuatu yang sebenarnya tidak dikira membahayakan boleh sahaja menjadi bahaya dan mencederakan. Kedua, betapa pentingnya kewajipan berjaga-jaga dan keselamatan yang munasabah diambil ke atas murid-murid sebelum sesuatu aktiviti dilakukan. Dalam kes tersebut Zazlin guru muzik (defendan pertama) mengajar muzik dalam darjah satu. Semasa pengajaran, guru tersebut mengadakan gerakan “gerabak keretapi” di mana murid-murid termasuk Zazlin (plaintif) membuat beberapa pergerakan mengikut rentak muzik. guru memberi penerangan yang jelas, dan mereka mengelilingi bilik darjah mereka. Semasa pengajaran dilakukan, pelajar tersebut jatuh dan patah tangannya. Guru dengan bantuan guru lain memberi bantuan kecemasan sebelum dihantar ke hospital atas arahan guru besar. Guru besar memaklumkan kepada ibu bapa berkenaan tentang apa yang berlaku dan tindakan yang sudah diambil oleh pihak sekolah. Plaintif kedua (bapa Zazlin) mengambil tindakan menuntut ganti rugi. Keputusan mahkamah mendapati bahawa defendan pertama telah menjalankan kewajipan berjaga-jaga yang munesabah dan berpatutan ke atas plaintif dan bertindak dengan cara munasabah menjaga keselamatan murid di bawah penyeliaannya. Fakta menunjukkan tiada perkakas yang berbahaya diberikan kepada murid. Oleh itu tiada alasan untuk mengatkan kelas berkenaan adalah berbahaya sehingga memerlukan penjagaan yang luar biasa rapinya. Defendan telah mengingatkan murid-muridnya supaya jangan tolak-menolak, berlari atau keluar dar barisan. Arahan-arahan ini sudah memadai untuk tidak berlaku kecuaian di pihak defendan. Maka atas fakta-fakta di atas tuntutan ditolak.