FRASA ”semuanya tidak boleh dijangka” harus ditukar kepada “semuanya hendaklah dijangka”. Saya menyatakan demikian kerana banyak perkara yang tidak dijangka boleh berlaku di sekolah, khususnya di bilik darjah. Sebagai contoh pensil adalah keperluan wajib bagi seseorang penuntut yang telah digunakan sekian lama,tetapi benda yang menjadi keperluan asas bagi seorang pelajar ini boleh sahaja bertukar menjadi suatu yang membahayakan dalam dua keadaan. Pertama apabila dalam keadaan pensil itu memang dengan niat digunakan oleh pelajar nakal untuk mencederakan pelajar lain; dan kedua dalam keadaan yang tidak disengajakan. Begitu juga benda-benda lain yang wujud dalam kelas seperti buku, pembaris, papan hitam/papan putih, kerusi dan bangku. Semuanya tidak membahayakan pada asalnya. Guru-guru hendaklah ingat ayat ini: pada seorang budak nakal semua yang ada pada diri mereka dan di sekitar mereka menjadi ruang dan peluang untuk digunakan bagi maksud-maksud tidak baik. Maka apakah persediaan yang perlu ada pada seseorang guru kelas dan guru subjek supaya keadaan yang dikatakan tidak dijangka itu jika berlaku juga tidak sampai membawa implikasi tindakan undang-undang ke atas mereka. Pertama, guru mesti masuk dan keluar kelas menepati waktunya untuk mempastikan tidak wujud peluang untuk pelajar melakukan kesalahan. Kedua, arahan dan panduan yang mencukupi dan munasabah perlu diberitahu dengan jelas kepada para pelajar dari semasa ke semasa khususnya sewaktu gerak kerja yang menggunakan peralatan ini. Ketiga: aspek kawalan kelas perlu diberi perhatian. Ini termasuklah memastikan semua pergerakan pelajar dapat dicapai dalam lingkungan penglihatan guru. Maksudnya tidak ada seorang pun pelajar yang melakukan sesuatu kerja di luar daripada lingkungan penglihatan guru yang mengajar. Arahan yang jelas serta dapat didengar oleh semua pelajar hendaklah diberitahu sebelum suatu gerak kerja dilakukan. Teguran wajar dibuat serta merta jika wujud elemen dan petanda yang boleh menimbulkan bahaya. Keempat, jika terdapat peralatan dalam kelas itu sudah rosak atau tidak selamat lagi untuk digunakan seperti kerusi yang patah, meja yang bergoyang, maka satu pemberitahuan hendaklah dibuat dalam kadar segera kepada guru perabot. Seelok-eloknya setiap laporan atau pemberitahuan kerosakan itu menggunakan buku atau borang khas yang dilengkapi dengan nama dan tandatangan pengadu serta tarikh aduan atau laporan itu dibuat. Apabila langkah-langkah keselamatan ini sudah diambil, saya fikir guru kelas dan guru subjek tidak perlu risau lagi jika sesuatu yang tidak baik berlaku. Alasannya, mereka sudah mengambil langkah-langkah pencegahan yang munasabah dan mencukupi.

















No user commented in " Mengambil Langkah Berjaga-Jaga Yang Munasabah dan Mencukupi "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply