Bagi saya sebuah blog adalah sebuah negeri dan pemiliknya adalah pemimpin negeri berkenaan. Pendapat ini diharapkan tidak keterlaluan memandangkan fungsi dan peran kedua-duanya hampir serupa walaupun tidak sama. Bezanya pemimpin negeri mempunyai pegawai dan kakitangan untuk membantunya melaksanakan tugasan, tetapi pemilik blog terpaksa melakukannya sendirian dalam semua perkara termasuk melakukan visiting dan posting. Jika pemilik blog mengepos  bahan, pemimpin negeri atau negara “mengirim” idea lewat ucapan dan penulisannya.Visiting dan posting adalah dua agenda utama bagi sesebuah blog kerana tanpanya blog tidak akan mendapat kunjungan atau pelawat. Apa maknanya blog, jika tiada pelawat yang berkunjung. Bukankah blog adalah diari kehidupan maya yang mengandungi pelbagai catatan untuk dikongsi bersama? Berbeza dengan diari berbentuk buku, semua catatan adalah rahsia dan hanya diketahui oleh si pemiliknya. Jika anda hendak mencatat sesuatu dalam blog dan menyimpannya sebagai rahsia peribadi semata-mata,saya kira sia-sia sahaja anda berblog. Catatan dalam blog berbeza dengan catatan dalam diari. Dalam diari anda mencatat peristiwa,tetapi dalam blog anda menggarap fikiran anda untuk dikongsi. Bagaimana anda dapat mengongsikan idea dengan orang lain jika blog anda tidak diketahui akan kewujudannya.Di sinilah pentingnya anda memperkenalkan blog anda kepada orang lain, atau lebih tepat kepada pemilik blog  tersebut. Visiting dan postinglah caranya. Visiting atau lawatan termasuk lawatan balas perlu dilakukan sekerap yang mungkin agar lebih banyak blog yang bisa  dilawati dan akhirnya lebih besar kemungkinan blog kita diberi kunjungan balas.  Kita mungkin boleh menggunakan perkhidmatan berbayar untuk melakukan semua ini, tetapi bagi blog persendirian yang tidak bertujuan mengaut profit, visiting dan posting adalah jalan terbaik. Seperti juga lawatan sebenar, satu jadual lawatan yang tersusun perlu ada bagi mengenal pasti negeri (blog) mana yang ingin dilawati, persediaan lawatan dan bagaimana bekas  lawatan harus ditinggalkan. Tiada maknanya kita mengunjungi sesebuah blog jika kunjungan kita itu tidak bisa dikesan pemilik blog yang dilawati.Sudah tentu cara terbaik ialah meninggalkan bekas dengan menitip sedikit catatan di ruang kecil yang disediakan dan alamat lengkap atau url disertakan sekali. Jika ruang itu tidak ada, tinggalkanlah komen anda pada mana-mana posting yang tersedia di blog berkaitan. Saya kira memberi komen itu lebih baik kerana di situ anda akan menyatakan pandangan peribadi anda tentang apa yang ditulis di blog itu, dan dengan cara ini pemilik blog akan lebih menghormati anda kerana anda telah meluangkan masa membaca kandungan bahan yang tersedia dan bersedia pula  berkongsi idea dengannya. Jika buku tetamu disediakan dahului buku tetamu itu, sebelum anda memasuki seluruh negerinya. Itu dikira lebih bersopan.Jika anda terpaksa mendaftar masuk,daftar sahaja. Anda tiada rugi apa-apa dengan berbuat begitu.Anda sebenarnya boleh membuat pilihan sama ada untuk meninggalkan titipan pada blog yang dilawati atau tidak. Itu bergantung kepada jenis blog yang telah anda tetapkan untuk dilawati yang biasanya mempunyai tema yang hampir serupa dengan tema dalam blog anda.Tetapi bagi saya di GuruBashid saya tidak mengehadkan lawatan saya kepada blog-blog tertentu. Hampir semua jenis blog akan saya usahakan untuk dilawati kerana itu akan memungkinkan blog saya diberi kunjungan balas lebih ramai dan lebih kerap.  GuruBashid umpamanya dalam masa terdekat ini mendahulukan lawatan ke provinsi-provinsi (negeri) di negara Indonesia. Begitu banyak blog di sana dan semakin lama saya berada di negara jiran itu semakin banyak aturcara lawatan yang saya perlu lakukan.Tidak habis-habis.Maklumlah di negara tetangga itu begitu ramai penduduknya,tentunya yang berblog juga ramai. Begitulah juga halnya dengan posting. Saya cukup percaya dengan posting sebagai cara orang mengenali blog kita dan memahami gaya serta pendekatan kita. Melalui posting akan terbina satu gaya komunikasi dan stail pemikiran yang ingin kita ketengahkan.Umpamanya dengan menyebut sahaja blog GuruBashid Dot Com orang sudah tahu akan gaya penulisannya, stail pemikirannya dan tema  perguruan yang diketengahkannya. Stail penulisan dan gaya persembahan pemikiran itulah yang menimbulkan keunikan pada sesebuah blog itu,bukan sangat pada rupa bentuknya. Maka nasihat saya lakukan posting sekerap yang mungkin. Buat satu ketetapan sama ada anda ingin mengemukan posting bulanan, dwimingguan, mingguan atau per hari. Buat masa sekarang saya di GuruBashid melakukan posting  apabila saya ada idea. Tetapi akan sampai masanya saya akan menetapkan jumlah posting untuk tempoh tertentu. Akhir kata selamat melakukan visiting dan posting. Jangan malas melakukan kedua-dua itu kerana tanpa kedua-duanya, berblog itu hampir-hampir tiada maknanya. Salam hormat daripada GuruBashid.