Pada hari ini saya melahirkan rasa gembira saya yang tidak terhingga dengan perkembangan laman Panduan Guru-Guru Malaysia atau laman GuruBashid. Laman ini telah mempunyai pembaca dan peminat tersendiri daripada kalangan golongan profesional, pengurusan pendidikan, guru-guru dan ahli politik.Jumlah mereka semakin bertambah dari sehari ke sehari.

Ramai pihak yang memberikan sokongan dan galakan kepada saya untuk terus menggunakan laman ini bagi mencetuskan idea dan pandangan terhadap pelbagai isu yang merangkumi pendidikan ke politik demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Berdasarkan maklum balas, banyak perkara yang boleh dipelajari daripada laman ini.

Setakat ini jumlah pelawat unik laman ini mencecah angka 32,736, iaitu 22,843 bagi tahun 2008 dan 9,893 bagi tahun 2007.

Jumlah lawatan pula mencapai 58,712(39,014 bagi 2008 dan 19,697 bagi 2007).

Bagi kedua-dua tahun itu jumlah pages pula mencapai 181,465, hits 942,085 dan bandwidth ialah 10.95GB.

Saya juga merakamkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Pelajaran Perak dan Pejabat Pelajaran Daerah LMS yang sudi menautkan laman ini dengan laman mereka dan seterusnya bersedia memberi ruang dan peluang kepada saya untuk berkarya dalam kedua-dua portal pendidikan tersebut.

Saya juga ingin merakamkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Pemuda UMNO Malaysia yang telah memberi ruang kepada saya untuk menulis sesuatu di laman mereka.

Begitu juga kepada YB Dato’ Raja Ahmad Zainuddin, ADUN Kubu Gajah, Perak, YB Dato’ Rosul bin Wahid, ADUN Ajil Terengganu, YB Dato’ Dr Shahrir Abdul Samad, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Novandri Hasan Basri dan lain-lain kerana sudi bertukar-tukar link dengan laman GuruBashid.

Insya-Allah pada masa-masa akan datang beberapa pages dan bidang baru akan diterokai oleh GuruBashid sebagai cara untuk meluaskan fungsi dan skop laman ini agar benar-benar dapat memenuhi pelbagai citarasa pengunjungnya.

Antaranya mereka mahukan saya mewujudkan ruangan mencari jodoh kerana menurut mereka ramai kaum guru yang masih belum berumahtangga tetapi atas kekangan masa dan kesibukan tugas mereka tidak mampu untuk mengusahakan jodoh secara bersendirian.

Selain itu mereka juga berasa agak kekok untuk berbuat begitu. Tetapi jika ada mekanisme dan platform yang boleh membantu merealisasikan hasrat murni mereka seperti kewujudan laman GuruBashid ini mereka akan memberikan sokongan padu kepada usaha murni itu.

Bukan sahaja kaum guru, malahan ada di kalangan profesional lain pun ingin mencari pasangan hidup mereka daripada kalangan guru. Insya-Allah semua ini saya akan fikirkan. Walau apa pun yang saya lakukan saya harus lebih berhikmah kerana saya tidak mahu niat saya untuk membantu disalah tafsir pula.

Lagipun kewujudan laman Panduan Guru-Guru Malaysia ini adalah sebagai alternatif sahaja, bukan keutamaan kerana keutamaan saya dan golongan pendidik yang lain ialah menjalankan fungsi Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), dan sebagai Penolong Kanan Petang saya membantu Pengetua saya untuk memastikan proses itu berlaku dengan jayanya.

Hakcipta Abd Bashid Harun