Walaupun laman Panduan Guru-Guru Malaysia telah kehilangan 24 artikel akibat peristiwa godaman hacker yang bertalu-talu ke atas GuruBashid Dot Com yang turut melenyapkan buat sementara waktu laman Pakej Guru beberapa hari lalu masih terasa kepanasannya, namun tindakan beberapa sahabat blogger yang membantu saya untuk mendapatkan semula sebahagian artikel tersebut sedikit sebanyak telah melegakan hati saya. Saya sepatutnya berterima kasih kepada mereka.

Mujurlah ada blogger yang bermurah hati memetik semula beberapa artikel tersebut untuk dimuatkan dalam laman mereka.Kalau tidak kepunanlah saya untuk mendapatkan semula artikel tersebut kerana bukan semua yang saya tulis saya simpan. Inilah kelemahan saya yang patut diperbetul mulai sekarang.

Saya tidak kisah jika ada blogger atau sesiapa sahaja memetik semula buah fikiran saya asalkan disebut hakciptanya yang asal dan dari laman mana artikel itu diambil. Dengan bantuan anda itu, sekurang-kurangnya idea saya dapat dikongsi dengan lebih ramai pembaca. Inilah yang saya mahu sebenarnya.

Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Cikgu Yusof atas kelahiran laman beliau Cikgu Yusof dan terima kasih kerana turut memetik dua artikel saya iaitu Pelajar atau Kita Yang Bermasalah dan Bersedialah dengan Wajah Sebenar Pelajar untuk dimuatkan dalam laman beliau.

Lihat juga tulisan saya di sini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Panitia Pendidikan Islam SK Slim Village, Slim River, Perak yang turut memuatkan artikel saya bertajuk Pentingkah Kertas Kerja? dalam laman mereka.

Pemilik laman di atas memanggil saya ustaz, satu panggilan yang sudah lama saya tidak mendengarnya. Inilah panggilan untuk saya ketika saya mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam semasa berkhidmat di Negeri Di Bawah Bayu dari 1989 hingga 1996.

Ini semua gara-gara mantan Pengarah Pelajaran Perak yang dulunya pernah menjadi Pengetua di SBP Sabah (sekarang SMS Sabah), Datuk Adenan Ibrahim yang meminta saya mengajar subjek Pendidikan Islam sedangkan opsyen saya di Institut Bahasa (IB) ialah Pengajian Melayu kerana ketika itu sekolah menghadapi masalah kekurangan guru agama. Saya ingat saya akan mengajar subjek ini untuk beberapa bulan sahaja, rupa-rupanya sepanjang saya berkhidmat di Sabah.

Selama berada di Sabah, saya sempat diberi kepercayaan menerajui Persatuan Guru-Guru Agama Kebangsaan Sabah(PGUKS) selama beberapa tahun selaku Yang Dipertua. Macam tiada ustaz-ustaz lain.

Walau apa pun itulah antara pengalaman berharga yang saya timba selama berada di sana. Terima kasih kepada semua warga Pendidikan Islam di Sabah, Jabatan Pelajaran Sabah, khususnya Sektor Pendidikan Islam dan Moral kerana memberikan saya peluang dan ruang untuk berperanan sebagai Guru Pendidikan Islam (GPI) dan menerajui sebuah NGO yang begitu penting pada waktu itu.

Al-Hamdulillah sepanjang saya menerajui PGUKS, saya bersama rakan-rakan turut membantu Jabatan Pelajaran Sabah khususnya dan kerajaan amnya bagi memantapkan peranan GPI di Sabah serta merancakkan kegiatan bercorak agama dan kesedaran untuk warga Sabah.

Melalui wadah PGUKS kami telah membawa masuk beberapa kali Dr Shukri Abdullah, Dr Fadzillah bin Haji Mohd Kamsah, Dr Hassan Ali, Dr Harun Din dan beberapa nama lain untuk menyampaikan ceramah motivasi mereka kepada pelajar-pelajar di sana. Dewan Perdana MUIS menjadi pilihan utama kami jika ada aktiviti di peringkat negeri dan melibatkan ramai peserta.

Peristiwa yang saya tidak dapat lupakan ialah ketika UMNO buat pertama kali dibawa masuk ke Sabah. Saya masih ingat bagaimana pertemuan demi pertemuan diatur pada waktu malam oleh mantan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Dr Hasbullah Haji Mohd Taha yang turut melibatkan saya dan beberapa ahli PGUKS yang lain. Tujuannya untuk memastikan UMNO dapat diterima oleh warga Sabah. Meskipun sumbangan kami amat kecil, namun saya berbangga apabila melihat UMNO boleh diterima dan semakin kukuh kedudukannya di negeri itu.Al-Hamdulillah

Hakcipta Abd Bashid Harun