1. Posting terbaru dalam blog Dr Khir Toyo yang bertajuk Politik Jaga Hati amat menarik perhatian saya. Idea dan fakta yang dikemukakan meyakinkan kerana ia seolah-olah dapat mewakili kebanyakan kita yang mempunyai rasa terbuku tentang realiti yang berlaku selama ini.

2. Jaga hati bukan sahaja tidak baik untuk iklim negara dalam jangka panjang, malahan boleh menambahrosakkan hati seseorang yang sedang dijaga itu.

3. Cara gaya kepemimpinan begini bukan sahaja tidak sesuai menjadi amalan dalam bidang politik, malahan turut tidak sesuai untuk bidang pendidikan dan kekeluargaan.

4. Disebabkan terlalu menjaga hati anak umpamanya, kita sebagai ibu bapa mungkin akan memberikan dia apa sahaja atau membiarkan dia berbuat apa sahaja tanpa memikirkan kesannya dalam jangka panjang.

5. Begitu juga halnya di sekolah kerana ingin menjaga hati para guru, pengetua atau guru besar mungkin akan membiarkan sahaja kesalahan atau kesilapan yang dilakukan tanpa sebarang pembetulan yang akhirnya akan merosakkan nama baik sekolah.

6. Sama juga keadaannya apabila kita membiarkan sahaja para pelajar melanggar disiplin semata-mata untuk menjaga hati pelajar terbabit atau ibu bapa kepada pelajar berkenaan.

7. Bagi saya politik jaga hati adalah politik yang bersifat sementara. Sampai bila kita akan bertahan menjaga hati manusia. Jika kita menjaga hati suatu kumpulan, kita akan melukakan hati kumpulan yang lain. Akhirnya tidak ada hati sesiapa yang akan terjaga.

8. Kalau kita ingin menjaga hati semua pun masih ada hati yang akan terluka kerana peribahasa berkata “ikut hati mati, ikut rasa binasa”.

9. Jika kita terpaksa menjaga hati orang lain lebih baiklah kita menjaga hati kita sendiri. Tidak ada maknanya hati sendiri terluka semata-mata untuk menyedapkan hati orang lain.

10. Sebagai pemimpin sepatutnya kita mendukung perlembagaan dan undang-undang yang kita telah bersetuju bersama. Jika hendak dijaga, bukan hati per se tetapi adalah kepentingan negara dan rakyat seluruhnya.

11. Salah satu caranya ialah dengan memastikan keamanan dan keharmonian negara yang telah kita kecapi selama ini kekal.Jika perlembagaan, undang-undang hatta ISA sekalipun terpaksa digunakan untuk menjaga keamanan dan keharmonian di negara ini, maka gunakanlah.

12. Apabila keamanan negara dan keharmonian rakyat berbilang kaum kekal, bukan sahaja hati yang terjaga, malahan jasad dan nyawa pun turut terjaga.

13. Lebih tidak patut dijaga ialah hati mereka yang sedang “sakit” dek tulah agenda mereka sendiri yang lebih mengutamakan nafsu dan kepentingan peribadi yang diulang-ulang tetapi masih tak kesampaian.

Hakcipta Abd Bashid Harun

Catatan: Bagi tujuan pengkayaan baca juga artikel Akibat bertolak ansur dengan KLIK DI SINI