Sedikit demi sedikit sempadan peribadi agama kita dimasuki oleh orang bukan Islam,bukan disebabkan mereka menceroboh tetapi sebahagian daripada kita sendiri yang menguak pintu sempadan terlalu luas dan membenarkan mereka memasukinya walhal kita ditegah sama sekali memasuki sempadan peribadi agama dan kepercayaan mereka.

Kita sepatutnya ada rasa “cemburu” dalam mempertahankan agama dan tradisi kita agar kita kekal memelihara Islam dalam bentuknya yang asli daripada sebarang bentuk ancaman atas nama liberalisme dan pluralisme.

Ibadat korban ialah ibadat yang dikhaskan kepada orang Islam, daripada orang Islam, untuk orang Islam, demi orang Islam.Sebab itu biarlah orang Islam yang uruskan semuanya. Itulah makna tersirat di sebalik pengorbanan. Kalau orang bukan Islam serahkan daging korban, itu bukan pengorbanan lagi.Itu petunjuk awal yang kita sedang dikorbankan.

Sesetengah daripada kita ingin mendapatkan sokongan dengan menjadikan amalan dan tradisi agama kita sebagai taruhan.Jangan fikir tindakan itu bagus sekalipun sebabnya untuk menarik perhatian mereka sebabnya cara itu mendedahkan tradisi dan agama kita kepada bahaya fitnah.Fitnah itu bukan atas mereka sebab mereka sedia kafir, fitnah itu ke atas kitalah yang membenarkannya.

Ketahuilah sekali kita membukanya, amat susah kita menutupnya.Sebelum ini kita telah membuka pintu masjid kepada mereka sehingga mereka masuk sampai ke mihrabnya, sekarang kita benarkan mereka menyentuh daging korban dan menyerahkannya kepada orang Islam.

Ada sesetengah perkara kita kena biarkannya kekal dalam bentuknya yang asal.Ibadat korban adalah salah satu daripadanya.Biarlah perkara yang berkaitan dengan sembelihan korban diurus sepenuhnya oleh orang Islam daripada peringkat melapah,memotong, mencincang, menimbang,membungkus,mengagih dan mengedarkannya.Tak payahlah kita suruh orang lain, orang Islam masih ramai.Kalau orang Islam itu fasiq sekalipun dia jauh lebih baik daripada orang kafir.

Sebagai penganut Islam, kita cuma ada satu pilihan iaitu memilih yang halal dan harus sedangkan mereka ada kesemuanya termasuk yang haram.Kita cuma ada lembu, sedangkan mereka ada kesemuanya termasuk khinzir.Ingat itu.

GuruBashid