1 Strategi saya meletakkan nama domain gurubashid, gabungan daripada dua kata akar iaitu guru (profesion saya) dan bashid (nama saya) nampaknya tidak sia-sia apabila laman ini melonjak ke tangga keenam dalam senarai carian Google daripada 62,600.000 (Enam puluh dua juta, Enam ratus ribu) berdasarkan kata akar guru.

2 Maksudnya dengan menaip kata guru dalam enjin carian Google laman ini sudah boleh ditatap pada halaman pertama lagi. Ini merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bukan sahaja saya malahan seluruh ahli keluarga dan warga kerja GuruBashid Dot Com.

3 Saya tidak dapat membayangkannya kerana selama ini apabila ditaip sahaja kata guru dalam enjin carian google yang muncul ialah laman-laman yang berkaitan dengan ajaran guru atau sang guru di India seperti guru nanak, guru josh dan sebagainya. Ketika itu laman GuruBashid atau lebih tepat lagi laman Panduan Guru-Guru Malaysia entah terletak di halaman ke berapa ratus ribu dalam senarai Google.

4 Inilah cita-cita saya yang ditunggu sekian lama sejak saya melabuhkan laman yang menggunakan judul Panduan Guru-Guru Malaysia buat pertama kali pada 3 Julai 2007, jam 11.52 pagi.

5 Saya tidak dapat menahan rasa gembira yang amat sangat pada malam ini memandangkan strategi pemilihan kata guru yang digabungkan dengan kata bashid lalu membentuk ‘gurubashid’ merupakan suatu strategi yang menjadi, tepat dan berbaloi.

6 Saya bersyukur kepada Allah atas pencapaian ini dan berdoa semoga Allah terus memberi kekuatan kepada saya untuk terus berbakti kepada warga negara Malaysia melalui 4 bidang keutamaan saya iaitu pendidikan, penulisan, pengucapan awam dan blog.

7 Pencapaian ini bukanlah sesuatu yang mudah kerana saya mengambil tanggungjawab berblog secara aktif dan konsisten selama lebih kurang 2 tahun 7 bulan dan sesudah saya melakukan posting sebanyak 679 buah artikel bermula dengan artikel pertama saya yang bertajuk Keperluan R & D Di Sekolah

8 Di belakang pencapaian ini ialah anak saudara saya, suhaili yang turut bersama-sama saya berrtukar-tukar fikiran untuk mencari nama domain yang paling sesuai dan akhirnya bersetuju dengan saya untuk menggunakan nama domain gurubashid sebelum laman ini muncul menemui khalayak.

9 Malahan saudara suhaili turut terlibat membuat design ke atas laman ini. Atas sumbangan beliau ini saya merakamkan ucapan terima kasih dan rasa penghargaan yang tidak terhingga sambil mendoakan agar suhail.inc akan mencapai kejayaan yang serupa.

10 Saya turut terhutang budi kepada hosting berbayar saya iaitu Sempoi Hosting, khususnya Sdr Suhaimy yang banyak membantu serta melayan keperluan saya tanpa mengira waktu. Terima kasih saya ucapkan atas kesabaran dan kerja kuat saudara.

11 Dan tidak dilupakan kepada seluruh pengunjung, pembaca, peminat dan mereka yang turut meninggalkan jejak serta komen di laman GuruBashid ini. Terima kasih daun keladi.

Hakcipta GuruBashid