Saya berterima kasih kepada para penggodam laman GuruBashid Dot Com. Jika tidak kerana itu saya tidak akan pernah mengalami pengalaman sebegini. Saya telah belajar sesuatu daripada peristiwa ini terutama bagaimana bersikap sabar dan tenang serta mengawal kemarahan.
Malahan kejadian ini telah membawa saya mengenali lebih dekat lagi siapakah hosting saya dan apa yang mereka lakukan.
Penggodam memang benar-benar mahir melakukannya. Tetapi jika ada pekerjaan yang lebih baik, mereka patut bertukar kerjaya. Jika mereka masih mahu meneruskan hentaman, mereka patut melakukan hentaman itu ke atas kepala mereka sendiri bukannya menyulitkan orang lain.
Saya tidak pasti apa tujuan mereka melakukan perbuatan ini. Adakah mereka mahu menunjukkan betapa terror merrornya mereka atau sekadar untuk suka suka. Tetapi yang pasti kedudukan mereka adalah sama seperti pengganas di luar sana. Cuma bezanya mereka ialah pengganas dalam dunia siber.
Sebanyak 14 daripada 47 artikel yang ditulis pada bulan Mei telah lenyap. Begitu juga kesemua 10 artikel dalam bulan Jun pun turut mengalami nasib yang serupa.Ini bererti sebanyak 24 artikel telah hilang.
Bagi saya jumlah itu sangat banyak jika diukur daripada masa, idea dan tenaga yang saya gunakan untuk itu. Saya amat menyayangi semua artikel saya seperti saya menyayangi wang saya.
Kejadian itu turut menyedarkan saya betapa perlunya pihak bertanggungjawab melakukan backup ke atas semua kandungan laman dengan lebih kerap. Pihak yang diamanahkan patut lebih bertanggungjawab terhadap kelangsungan laman berbayar seperti Panduan Guru-Guru Malaysia ini. Mereka harus melihat ini sebagai satu tanggungjawab yang bukan main-main.
Saya serius apabila saya berkata tentang hal ini seperti juga keseriusan saya dalam apa jua yang saya lakukan termasuk penulisan dan idea saya dalam laman ini.
Kehilangan artikel dalam jumlah yang agak banyak diharap tidak akan berulang lagi jika berlaku aktiviti menggodam ini. Saya berharap tugas membuat backup ini juga termasuk dalam pakej hosting.
Keluhan Abd Bashid Harun

















No user commented in " Laman GuruBashid Digodam (2) "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply