Y.Bhg. Tan Sri,

Assalamu’alaikum,

1. Maafkan saya Tan Sri jika saya katakan pada saat ini saya benar-benar tidak dapat menyembunyikan rasa kurang senang saya atas pandangan Tan Sri yang ingin membubarkan sayap Puteri dan Putera UMNO dengan mengaitkannya dengan rasuah politik.

2. Mujurlah isteri saya dan anak perempuan sulung saya tidak bersama-sama saya menonton TV pada petang ini jika tidak saya percaya mereka pun akan mempunyai perasaan yang sama kepada Tan Sri.

3. Bagi saya cadangan Tan Sri itu terlalu jauh dan tiada hubungan yang signifikan antara politik wang dengan kewujudan sayap Puteri dan Putera UMNO.

4. Dalam kita berusaha untuk merungkai kemelut yang dihadapi oleh UMNO berkaitan politik wang jangan sampai kita buntu untuk mencari satu solusi yang terbaik.

5. Jangan sesekali tindakan kita itu ibarat menutup satu masalah yang sedia ada dengan membangunkan satu masalah baru yang kesudahannya bukan sahaja masalah yang sedia ada tidak berjaya diselesaikan sebaliknya masalah baru yang lebih besar kesannya akan muncul.

6. Kita selalu mengandaikan yang tindakan kita itu tepat lalu menyangka dengan tindakan seumpama itu sudah menyelesaikan masalah yang sedang kita hadapi. Rupa-rupanya tidak, sebaliknya apa yang akan berlaku masalah yang lebih besar sedia menunggu.

7. Maafkan saya jika saya katakan banyak keputusan yang begini dalam UMNO sejak akhir-akhir ini. Kita seolah-olah terbelenggu dengan keadaan apabila berhadapan dengan situasi sebegini terutama ketika kita mengambil keputusan penting pada saat-saat kritikal seperti sekarang.

8. Cadangan menutup sayap Puteri dan Putera UMNO tidak menyelesaikan masalah sebenar kita. Malah ia memberi gambaran seolah-olah kedua-dua cabang UMNO ini yang menjadi punca utama berlakunya politik wang dan ramai ahli kedua-dua cabang ini yang terlibat dalam gejala negatif itu.

9. Pihak Tan Sri mungkin berkata, bukan itu maksudnya, tetapi kata-kata Tan Sri itu tidak dapat tidak telah meresahkan hati 400,000 ahli UMNO yang sebahagian besarnya anak-anak dan cucu-cucu kita juga.

10. Saya tidak tahu Tan Sri mendapat nasihat daripada siapa? (Maaf agak kasar). Adakah ada sesuatu yang cuba disembunyikan daripada cadangan agak pelik ini.

11. Sekali lagi saya ulang tiada hubungan signifikan (hubungan langsung) antara politik wang dengan kewujudan sayap Puteri mahupun Putera UMNO.

12. Kita sekarang ini sedang mencari punca sebenar masalah itu, tiba-tiba Tan Sri mencadangkan pembubaran sayap Puteri dan Putera. Ini agak mengejutkan. Dengan secara tidak sengaja kenyataan Tan Sri itu seolah-olah mahu menggambarkan bahawa ahli-ahli sayap Puteri dan Putera UMNO yang banyak terlibat dalam politik wang.

13. Bukankah beberapa individu telah ditangkap atas tuduhan terlibat dengan politik wang. Semua orang tahu itu lebih-lebih lagi Tan Sri sendiri. Kalau begitu, berapa ramaikah ahli Puteri UMNO dan Putera UMNO yang terlibat dalam politik wang sehingga kedua-dua sayap itu dicadang bubar.

14. Setelah beberapa orang daripada ahli UMNO ditahan kerana terlibat dalam politik wang, kita pun mahu meletakkan puncanya kepada Puteri dan Putera kita lalu membubarkan kedua-dua wadah mereka. Ini tidak adil, bukan sahaja bagi Puteri atau Putera UMNO tetapi bagi ahli dan parti UMNO juga.

15. Kita sedang membina generasi muda yang bakal menggantikan pemimpin sekarang untuk masa akan datang. Menubuhkan sayap Puteri dan Putera adalah strategi UMNO yang tepat ketika kita mahu mengorientasikan generasi pelapis ini kepada nilai-nilai kepimpinan sebagai persediaan untuk mereka menerajui kepemimpinan pada masa akan datang.

15. Tiba-tiba Tan Sri mencadangkan hendak membubarkan kedua-dua entiti penting ini yang setiap satunya mempunyai tidak kurang daripada 200 ribu orang ahli. Ini bererti kita secara tiba-tiba mahu menarik balik wadah/saluran sedia ada bagi 400,000 putera dan puteri kita menjalankan aktiviti dan mengasah bakat kepimpinan mereka seawal mungkin.

16. Pertanyaan saya kepada Tan Sri, selesaikah masalah kita dengan tindakan ini. Kalau selesai ke manakah kita nak halakan 400,000 ahli-ahli UMNO yang muda-muda ini.?

17. Tidakkah kita ingat sekarang ini parti-parti lawan sedang memperkasakan pemuda dan pemudi mereka sejak dari awal lagi, tiba-tiba kita mengambil tindakan yang bertentangan dengan mahu membubarkan kedua-dua sayap penting ini.

18. Saya hanya boleh berharap ketika Tan Sri membuat cadangan itu, Tan Sri mungkin dalam keadaan marah. Keputusan yang diambil dalam keadaan marah biasanya bukanlah suatu keputusan yang tepat.

19. Saya amat berharap selepas reda daripada kemarahan itu, Tan Sri akan menarik balik cadangan itu.

Mohon maaf daripada saya jika tulisan saya ini kurang enak dibaca oleh Tan Sri.

Salam hormat,

(ABD BASHID HARUN)