Jika anda seorang yang bertanggungjawab anda tidak patut menyembunyikan identiti sebenar anda melalui blog-blog yang anda hasilkan dengan mudah dan percuma itu. Jika anda benar, anda mesti berani tampil dengan wajah sebenar anda. Jika anda bertanggungjawab, anda harus menulis dengan nama anda sendiri, bukannya menyamar.
Menyamar menandakan ada sesuatu yang anda ingin sembunyikan. Ada sesuatu yang anda tidak mahu orang lain tahu tentang diri anda. Jika begini cara anda, bagaimana orang lain boleh mempercayai tulisan-tulisan anda, apatah lagi diri anda.
Ada mereka yang menulis dalam blog menggunakan kata-kata kesat. Kata-kata kesat itu seolah-olah mainan tulisan mereka. Mereka menjadikan blog-blog tertentu untuk melampiaskan perasaan marah mereka. Bagi mereka tidak ada yang betul jika kerajaan yang melakukannya.
Pakaian betul atau benar itu hanya ada pada diri mereka. Mereka seolah-olah memaksa orang lain percaya akan kata-kata mereka. Tetapi bagaimana kita hendak mempercayainya sebab kita sendiri tidak pernah mengenali tuan blog atau penulis-penulisnya.
Ada blog yang saya temui sengaja diwujudkan untuk memuatkan gambar-gambar yang telah diubah suai untuk menghina pemimpin atau seseorang. Ada blog yang semata-mata diwujudkan kerana ingin memaki hamun individu tertentu. Yang anehnya mereka bergembira dengan hobi menyimpang ini. Tidak pula diketahui guru mana yang mengajar mereka perkara-perkara batil ini?
Kebanyakan mereka yang “bertopeng” ini, mereka pakai agak-agak sahaja sewaktu menulis. Mereka mengangkat sangka-sangkaan, dan apa yang mereka rasa benar sebagai bahan tulisan. Apa-apa yang orang lain bualkan di depan mereka atau apa-apa yang mereka dengar sama ada di kaki-kaki lima, di kantin-kantin, di pasar-pasar, di kedai-kedai kopi mereka memungutnya, kemudian di depan komputer mereka muntahkannya semula ke dalam blog.
Jarang-jarang wujud di kalangan mereka yang membuat pengakuan bahawa apa yang mereka tulis itu hanyalah merupakan pendapat peribadi mereka sahaja. Jauh sekali untuk memohon maaf terlebih dahulu jika ada yang akan terkena dengan tulisan mereka itu.
Mereka sendiri tidak pernah ambil pusing sama ada sumber maklumat itu benar atau tidak asalkan perkara itu sesuai dengan selera luar biasa mereka untuk memburuk-burukkan seseorang atau sesuatu pihak.
Mereka tidak mempercayai media kerajaan melebihi kepercayaan mereka kepada blog sendiri. Mereka ingin mengatur kerajaan menurut cara-cara mereka. Mereka ingin kerajaan tunduk kepada apa yang mereka rasa baik. Dengan satu blog yang mereka adalah rajanya, mereka mahu kerajaan tunduk kepada kehendak mereka. Sungguh aneh jenis mereka ini. Tetapi inilah cerita tentang sebahagian kecil bloggers di negara ini.
Bloggers seperti ini hanya percaya kepada diri sendiri, dan bukannya orang lain. Mereka menaruh syak wasangka yang tebal jika bloggers lain tidak sehaluan dengan mereka. Kalau boleh mereka jenis ini tidak mahu ada bloggers lain selain daripada jenis mereka sahaja.
Mereka hanya bersetuju dengan penulis-penulis yang sealiran dengan mereka, iaitu yang pandai memutar, dan menulis dalam bahasa yang kesat. Jika ada yang menegur, mereka cepat-cepat melenting lalu membuat tuduhan ke atas kita. Mereka cukup pantang kalau ada sesiapa yang cari fasal dengan mereka, walaupun sikap “cari fasal” cukup menebal dalam diri mereka. Mereka hanya mahu semua orang bersetuju dengan cara mereka dan apa yang mereka utarakan. Hakcipta GuruBashid

















No user commented in " Apa Yang Anda Ingin Sembunyikan? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply