Terlalu banyak yang boleh diperkatakan tentang kebangkitan Belanda dalam Euro 2008. Sama ada anda sukakan pasukan itu atau tidak, kebangkitannya membuatkan kita terpaksa akur akan kehebatannya. Di mana-mana pun orang memperkatakannya sekarang. Orang ramai memboikot barangannya, tetapi bukan bola sepaknya.

Pasukan dari negara atas laut itu memang benar-benar menyerlahkan sifat semula jadi mereka. Mereka bukan sekadar mahukan betis, tetapi peha sekali. Siapa sangka Belanda yang diletakkan sebagai pasukan yang bukan diharap, tiba-tiba sahaja membenam juara dunia, Itali 3-0 dan menunjukkan kehebatan yang lebih menyerlah ketika membelasah Peranchis 4-1.

Kekuatan pasukan yang mempunyai banyak nama itu seperti Holland, Netherlands dan Belanda terletak pada hampir kesemua pemainnya. Ketika pasukan lain bergantung kepada seorang dua pemain utama mereka, Belanda tidak begitu.

Daripada pemain penyerang sehinggalah kepada penjaga golnya; dari pemain utama sehinggalah kepada pemain gantian, semuanya hampir sempurna, mempunyai skill peribadi yang mencukupi untuk menggegarkan lawan.

Mereka tidak perlukan ruang yang banyak untuk memecahkan benteng pertahanan lawan. Mereka mampu melakukannya sedangkan yang pasukan lain masih teragak-agak.

Mereka turun tanpa tekanan. Mereka sentiasa meletakkan diri dalam keadaan pasukan bukan pilihan, tetapi dalam diam-diam melakukan persiapan yang rapi.

Jurulatihnya,Marco van Basten tidaklah begitu menonjol berbanding dua lagi jurulatih, Roberto Donadonih dari Itali dan Luiz Felipe Scolari dari Portugal, namun hubungan mesranya dengan semua pemain adalah sumber motivasi utama untuk mencapai kemenangan sekalipun sebelum ini diramal melalui lalaun sukar kerana diundi dalam pasukan yang kuat (Itali dan Portugal).

Perkiraan Van Basten ternyata tepat. Beliau boleh bukan sekadar boleh membaca tetapi memeta di mana ruang dan peluang untuk mencuri gol. Sebagai bukti, apabila dia menukarkan pemain, ternyata pertukaran itu tidak sia-sia kerana selepas beberapa minit, pemain gantian itu akan turut merembat gol. Ini satu kelebihan yang saya kira jarang-jarang ada kepada seseorang jurulatih.

Beliau tidak menukarkan pemain hanya disebabkan kecederaan dan keletihan, tetapi kerana ingin memenangi perlawanan itu. Pemain gantian sudah diberi cukup taklimat tentang apa yang mereka perlu lakukan di atas padang. Dan pemain pula memang benar-benar setia dan melaksanakannya. Hasilnya memang menakjubkan.

Ketika pasukan lain tertumpu kepada apa yang bakal berlaku di padang, Belanda pula memulakannya dari luar padang lagi. Ternyata taktik itu berhasil. Syabas Belanda.

Hakcipta Abd Bashid Harun