1 Jangan ambil mudah terhadap aspek definisi usul. Jika analogi boleh menyelamatkan hujah yang kabur atau tidak jelas sebelumnya, definisi yang kukuh, jitu, tepat dan sempurna boleh menyelamatkan keseluruhan hujah dan pasukan bahas itu sendiri.

2 Definisi seolah-olah menjadi payung kepada seluruh hujah dalam pasukan itu. Definisi juga boleh menjadi pagar yang kuat agar tidak ada peluru yang dapat menembusi pasukan bahas.Syaratnya fakta kes atau hujah-hujah yang bakal kita bentangkan mesti tidak terkeluar daripada payung dan pagar definisi yang kita telah persetujui bersama.

3 Apabila definisi kita kuat dan hujah-hujah kita tidak lari daripada lingkungan definisi yang kita telah persetujui bersama itu, tiada sebab yang kita harus bimbang dengan pukulan pihak lawan.

4 Alasannya hujah kita adalah menurut garis panduan yang kita berikan dalam definisi itu. Justeru jangan tersilap walaupun dalam kadar yang paling sedikit dalam definisi dan kesimpulan definisi yang kita berikan.

5 Definisi tidak akan dihasilkan dengan kukuh, jitu, tepat dan sempurna jika seseorang pembahas itu tidak memahami usul. Sebab itu tugasan memahami usul memerlukan masa, dan brainstorming sesama ahli dalam pasukan. Sebelum kita mencari fakta kes atau isi kita kena fahami kehendak usul itu terlebih dahulu.

6 Jangan kita abaikan tugasan memahami usul hanya kerana kita terlalu didesak dengan tugasan mencari isi atau fakta kes. Lakukan penyelidikan tentang tajuk usul dan cuba ambil masa untuk memahaminya sebelum kita memasuki fasa-fasa persediaan yang lain.

7 Biar kita bertengkar sesama kita dalam aspek yang satu ini sehinggalah semua pembahas memahami kehendak usul dengan jelas dan 100% yakin bahawa itulah kehendak usul yang dimaksudkan.

8 Jangan sampai terjadi pembahas memasuki medan perbahasan dengan kefahaman yang belum jelas tentang kehendak usul.

9 Jangan melakukan kesilapan dalam memahami usul. Jika berlaku kesilapan dalam memahami usul, akan berlaku kesilapan dalam memberikan definisi. Apabila berlaku kesilapan dalam memberikan definisi akan berlaku kesilapan dalam memberikan fakta kes atau hujah.

10 Terdapat sekurang-kurangnya tiga perkara yang perlu dilakukan dalam proses memberikan definisi. Pertama mencari kata kunci yang akan memberikan kelebihan kepada kita untuk didefinisikan secara komprehensif, kedua memberi takrif menyeluruh kepada perkataan-perkataan kunci yang terdapat dalam usul dan kedua membuat rumusan definisi itu secara menyeluruh.

11 Jika kata kunci yang terkandung dalam tajuk usul itu menyebelahi kita, kita boleh memanipulasinya dengan cara sama ada membuka seluas-luasnya definisi kata kunci tersebut atau pun menutup serapat-rapatnya.

12 Sama ada kita hendak membuka seluas-luasnya definisi kata kunci tersebut atau menutup serapat-rapatnya definisi itu adalah bergantung kepada cara yang mana satu akan memberikan kelebihan kepada pasukan kita.

Hakcipta Abd Bashid Bin Harun