1 Kita mungkin pernah mendengar ungkapan yang berbunyi “mengasah atau menajamkan gergaji” yang membawa maksud tajamkan minda kita melalui aktiviti pembelajaran dan menimba pengetahuan.

2 Tetapi dalam perbahasan kita tidak mengasah gergaji lagi, yang kita lakukan ialah menggunakan gergaji. Gergaji yang kita bawa di atas pentas ialah gergaji yang sudah siap diasah. Maksud yang lain gergaji yang sudah sedia tajam.

3 Itulah sepatutnya yang berlaku bagi menunjukkan yang kita sudah bersedia dari segi pengetahuan dan kecekapan. Sekarang ialah masa untuk kita menggunakannya.

4 Dalam konteks perbahasan, ungkapan menggunakan gergaji lebih tepat untuk merujuk kepada aspek membidas. Ada dua persoalan penting yang perlu ditanya dalam penggunaan gergaji ini. Pertama ialah kepada siapa yang kita akan gunakan gergaji itu dan kedua bahagian mana yang mesti digergaji.

5 Seseorang pembahas hendaklah memastikan yang dia menggergaji pangkal pohon atau batang. Kita tidak boleh menggergaji ranting atau dahan sahaja.

6 Kebanyakan pembahas, khususnya pembahas yang masih baru dan tidak mempunyai banyak pengetahuan am, mereka sering membidas contoh atau perkara-perkara remeh bukannya membidas fakta.

7 Membidas contoh atau kesilapan-kesilapan kecil lawan boleh dianalogikan sebagai menggergaji ranting atau dahan, sedangkan membidas fakta bolehlah dianalogikan seperti menggergaji batang atau pohon.

8 Kita selalu mengandaikan yang kita sudah membidas tetapi sebenarnya kita hanya membuang daun kering atau ranting reput daripada hujah pihak lawan.

9 Jika itu sahaja yang kita lakukan kita tidak menjejaskan hujah lawan sedikit pun, sebaliknya kita membantu membersihkan atau mengemaskinikan hujah pasukan lawan. Pokok yang asalnya berserabut kini menjadi lebih cantik dek tindakan kita membuang sesuatu yang tidak diperlukan lagi.

10 Sepatutnya yang kita bidas ialah fakta kes atau hujah bagi memastikan lawan tidak berupaya untuk bangun lagi.

Hakcipta Abd Bashid Harun