Bukan masalah bagi saya untuk menjadi guru ganti atau masuk mana-mana kelas yang ketiadaan guru. Inilah yang saya amalkan sejak menjadi Penolong Kanan Petang.Saya beritahu penolong saya, Puan Masniza jika ada masalah mencari guru ganti saya bersedia untuk menggantikannya.Saya bersedia untuk menggantikan mana-mana guru yang tidak hadir dan masuk mana-mana kelas untuk mengajar apa jua subjek.

Saya tidak pernah berkira dalam hal ini.Malahan saya patut menjadi contoh. Jika pada hari itu ramai guru yang tidak hadir, maka saya mesti bersedia mengurangkan bebanan guru-guru saya.Sebab itu guru-guru saya tidak pernah bising apabila mereka terpaksa mengajar dengan bilangan waktu yang bertambah apabila ketiadaan guru. Mereka telah melihat sendiri bagaimana saya melakukannya, maka tiada sebab mereka harus bising apabila tiba giliran mereka untuk menggantikan seseorang guru.

Saya ingin memberitahu mereka bahawa menjadi guru ganti bukanlah membebankan tetapi peluang dan ruang untuk kita berinteraksi lebih luas dengan pelajar-pelajar kita.

Jika mereka terlalu letih,biasanya saya tidak mengharapkan mereka melaksanakan fungsi pengajaran yang sepenuhnya.Memadai jika mereka masuk ke kelas dan mengawal kelas. Aspek kawalan kelas itulah yang akan menjadi pertimbangan utama saya.Mereka boleh melakukan banyak perkara seperti memberi nasihat, menyampaiakan motivasi, membuat spot check seperti kuku,rambut dan banyak lagi.

Bagi saya sendiri dengan menjadi guru ganti, saya berpeluang untuk masuk ke semua kelas yang saya tidak pernah mengajar. Dengan cara ini saya dapat melihat sikap pelajar di kelas tersebut, menyemak kerja rumah mereka yang sekaligus sebenarnya saya menyemak kerja-kerja guru-guru saya. Dari situ saya tahu apa yang telah berlaku selama ini dan dapat melakukan tindakan pembetulan dan penambahbaikan selepasnya.

Hakcipta Abd Bashid Harun