Pagi tadi sekolah saya telah berjaya melangsungkan temasya sukan tahunannya bagi kali  yang ke-24.Mengapa sukan diberi penekanan oleh negara dan sekolah?Kemungkinan anda tidak berminat dengan sukan sebelum ini, tetapi apabila anda mengetahui bahawa yang sedang bertanding di perlawanan akhir itu melibatkan peserta dari Malaysia, seluruh perasaan anda  tiba-tiba sahaja jadi berubah. Seluruh perasaan anda dikirimkan kepada peserta itu tadi. Anda mula meletakkan harapan agar peserta dari Malaysia itu menang. Anda menonton perlawanan itu dengan penuh debaran. Anda takut kalau-kalau peserta itu kalah. Sesekali anda membentak jika peserta itu gagal mempamerkan persembahan yang meyakinkan. Anda melakukan semua ini untuk peserta itu bukan untuk tujuan-tujuan yang lain. Anda tidak ada kepentingan dengan ahli sukan itu. Dia juga tidak ada kepentingan dengan anda. Anda dan ahli sukan itu tidak mengenali antara satu sama lain. Tetapi dalam sukan hubungan hati ke hati tetap terjalin walaupun anda tidak saling mengenali antara satu sama lain. Apa yang anda harapkan ialah peserta itu menang. Anda tidak perlu ambil tahu apakah pendirian politik peserta itu, kelulusannya dan apakah agamanya. Yang penting ia sama dengan anda-dari Malaysia. Anda sanggup melupakan sebentar pendirian politik anda, begitu juga perbezaan bangsa dan agama anda. Ini hanya boleh dilakukan melalui sukan. Inilah makna di sebalik sukan yang kita selalu anjurkan. Inilah keceriaan bidang sukan, yang sukar diperoleh dalam acara-acara yang lain. Sebab itu formula penyatuan dan perpaduan kaum melalui sukan seperti yang dilaung-laungkan oleh kerajaan memang ada kewajarannya dan perlu diteruskan.Hakcipta GuruBashid