1. Mereka akan bercampur gaul dengan pengundi di kedai-kedai kopi, di majlis-majlis kenduri, dan di mana-mana sahaja ada kesempatan sambil menimbulkan sebanyak mungkin keraguan tentang diri calon BN bagi menggoyahkan keyakinan pengundi, khususnya ahli-ahli UMNO terhadap kewibawaan calon.

2. Mereka tahu bahawa penyokong-penyokong UMNO sudah seia sekata dan bersumpah setia bahawa sesiapa sahaja calon BN tetap akan disokong sepenuhnya tanpa sebarang bantahan setelah calon yang dipilih memang anak tempatan.

3. Inilah yang saya maksudkan sebagai permainan TK atau Timbulkan Keraguan. Tentunya permainan “timbulkan keraguan” ini tidak akan bermula daripada kalangan ahli UMNO sendiri yang sudah berjanji untuk bekerja keras bagi memenangkan calon BN walau siapa pun calon itu.

4. Memandangkan tidak akan ada isu calon yang muncul daripada ahli-ahli UMNO, jadi ahli dari parti pembangkang akan menyamar atau berlagak seolah-olah mereka adalah ahli UMNO yang prihatin.

5. Mereka berlagak seolah-olah sangat arif tentang diri calon dan apa yang dikehendaki oleh pengundi Bukit Gantang.

6. Mereka akan timbulkan sebanyak mungkin keraguan di kalangan kita tentang diri calon. Mereka akan berkata bahawa calon ini tidak akan mendapat sokongan orang Cina atau orang India.

7. Mereka akan mendakwa jika pilih calon itu kita akan menang. Ya mereka akan gunakan perkataan kita atau kami.

8. Mereka juga akan menggunakan taktik bertanya seperti mengapa pilih calon ini, mengapa tidak calon itu. Tidakkah calon itu lebih baik daripada calon itu? Dan banyak lagi taktik Timbulkan Keraguan yang akan digunakan dalam PRK kali ini.

9. Mereka tahu yang taktik mereka ini tidak akan berjaya atau akan terhenti setakat itu sahaja jika ahli-ahli UMNO sendiri tidak melayan atau tidak termakan jerat ini.

10. Mereka tahu kata-kata mereka itu tidak akan berjaya selagi kita sendiri ahli-ahli UMNO tidak mempromosikan percakapan mereka. Sebab itu mereka amat berharap beberapa orang daripada kalangan kita percaya akan kata-kata mereka lalu bercakap seperti mereka bercakap, mendakwa seperti mereka mendakwa atau bertanya seperti mereka bertanya.

11. Apabila sudah ada seorang sahaja, ya memadai seorang sahaja daripada kalangan ahli UMNO yang mula bercakap tentang hal ini mereka akan cepat-cepat beredar daripada kita sebab mereka tahu agen ciptaan mereka telah pun wujud dalam kalangan kita sendiri.

12. Tugas mereka untuk peringkat ini bolehlah dianggap selesai dengan kewujudan agen itu. Mereka akan datang semula dengan taktik yang lain pula.

13. Mereka mungkin juga akan bermain dengan angka dengan mendakwa sambil menjaja bahawa pembangkang akan menang sebanyak ini dan BN kalah sebanyak ini.

14. Mereka akan menggunakan faktor pengundi bukan Melayu di kalangan pengundi Melayu dan faktor pengundi Melayu di kalangan pengundi bukan Melayu.

15. Antaranya mereka akan mencipta cerita bohong bahawa pengundi Cina atau pengundi India tidak akan undi BN.

16. Sama juga dengan taktik sebelumnya selagi kita sendiri tidak promosikan cerita seperti itu dan memanjang-manjangkannya apa pun taktik yang mereka lakukan tidak akan berjaya.

17. Tetapi apabila kita sendiri yang mula menjaja cerita seperti ini di kalangan kita, itulah permulaan kekalahan kita.

18. Awasilah taktik-taktik perang saraf seperti ini agar kita tidak termakan umpan pembangkang yang akhirnya memakan diri sendiri.

Hakcipta GuruBashid