SCENARIO SEORANG PENGAWAS
1 KETIKA sekolah-sekolah sekarang diuji dengan masalah disiplin yang tidak berkesudahan dan datang dalam pelbagai rupa bentuk yang tidak dijangkakan; ditambah pula dengan beban tugas pelajar yang semakin bertambah sehingga terpaksa berhempas pulas mempelajari puluhan subjek dengan sejumlah topik yang tidak sedikit untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan bagi memenuhi impian peribadi, ibu bapa dan sekolah, menjadikan jawatan pengawas bukanlah suatu yang didambakan.

2 Menyarung kemeja berwarna biru, memakai tali leher khas, mengenakan blazer dan tag pengawas bukanlah menjadi suatu faktor yang cukup menarik sekarang ini bagi seseorang pelajar itu menerima jawatan pengawas.

3 Realitinya keselesaan yang pernah dikecapi sebelumnya akan hilang; masa senggang akan semakin berkurangan dan bersedia pula bekerja dalam situasi berisiko tanpa sebarang bayaran dan perlindungan insuran.

4 Malahan sebagai gantinya mereka berhadapan dengan beban tugas yang semakin bertambah dan berdepan pula dengan semua kemungkinan yang tidak sedap didengar, termasuk disisih rakan dan dibenci lawan.

Pengawas Sekolah
5 Pengawas dimaksudkan sebagai orang yang mengawasi, orang yang menjaga (Kamus Dewan, Edisi Keempat, 2005)

6 Pengawas sekolah bermaksud individu tertentu yang dipilih dalam kalangan murid di sekolah itu sendiri serta mendapat perkenan pihak sekolah sebagai mata dan telinga pihak sekolah dalam membantu pengetua dan guru-guru menguatkuasakan peraturan sekolah melalui cara-cara yang munasabah untuk memastikan semua murid akur, patuh, faham dan beramal dengan peraturan tersebut agar wujud suasana yang kondusif dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan mahupun halangan yang berpunca daripada perbuatan salah laku mana-mana murid (GuruBashid, 2010)

Tugas Pengawas
7 Jika definisi di atas diambil kira ternyata pengawas tidak dibenarkan sama sekali menjalankan tindakan menghukum atau apa-apa perbuatan yang membawa maksud menghukum sama ada bagi pihak dirinya atau bagi pihak pengetua dan guru-guru seperti mendenda, merotan, merampas dan lain-lain yang berkaitan dengannya. Sebab itu tidak pernah dilantik dalam kalangan murid pengawas disiplin atau pengawas pembantu guru disiplin.

8 Adalah perlu diingatkan bahawa pengawas pada bila-bila masa dan di mana-mana pun di sekolah, dan, atau di luar sekolah tidak pernah dilantik; atau diperturun kuasa; atau mewakili seseorang; atau bagi pihak seseorang untuk menjalankan tindakan menghukum atau seumpamanya.

9 Apa yang sebenarnya berlaku, mereka hanya diberi watikah perlantikan setelah melalui proses angkat sumpah dan berjaya melepasi tempoh percubaan, sumpah untuk membantu pihak sekolah (bukan mewakili pihak sekolah atau bagi pihak sekolah) dalam memastikan semua murid mematuhi peraturan sekolah.

10 Pengawas secara bersendirian mahupun bersama rakan dan guru tidak dibenarkan mengambil sebarang tindakah mahupun hukuman ke atas pelajar yang bersalah.

11 Tindakan atau hukuman hanya boleh dilaksanakan oleh pengetua, dan guru-guru tertentu yang telah diperturun kuasa oleh pengetua ke atas mereka.

12 Sayugia diingat pengawas tidak pernah diperturun apa-apa kuasa oleh Pengetua, PK HEM, Guru Pengawas, Guru Disiplin dan oleh mana-mana guru untuk menghukum pelajar.

13 Mereka hendaklah mengelakkan diri sama sekali daripada melakukan tindakan seperti merampas barangan berharga yang dibawa ke sekolah, meminta pelajar berlari, mengadakan pemeriksaan mengejut tanpa pengetahuan dan tanpa penyertaan guru atau guru-guru yang bertanggungjawab.

14 Sekalipun pengawas yang dilihat melakukannya, sebenarnya mereka melakukannya atas arahan guru dan bersama guru, bukan atas kehendak mereka sendiri.

Kepimpinan Pengawas
15 Melalui mata pelajaran sastera atau komponen sastera dalam bahasa atau komsas, khususnya bagi genre novel dan cerpen anda tentunya tidak asing dengan istilah watak, perwatakan dan latar.

16 Jadi dalam konteks kepengawasan dan kepimpinan di peringkat sekolah, pengawas itu sendiri adalah watak pembantu, membantu watak utama iaitu pengetua sekolah. Selagi dia pengawas di sekolah, dia tetap menjadi pembantu. Dia tidak akan menjadi watak utama.

17 Sebagai pembantu, dia sama sekali tidak mengambil alih tugas guru atau mengganti guru. Sebagai pembantu, dia tidak seharusnya dibiarkan bebas menjalankan tugasnya bersendirian tanpa panduan, bimbingan dan arahan.

18 Sementara jenis, stail dan nilai kepimpinan yang wajib ada pada seseorang pengawas itulah yang mencorakkan perwatakan yang dikehendaki. Perwatakan ini menyerlahkan ciri-ciri kepimpinan yang wujud dalam diri watak putih dan watak dinamik yang sepatutunya wujud dalam diri pengawas itu sendiri.

19 SMK Kamunting dan seluruh persekitaran, fasilitis dan premis yang sedia wujud pula menjadi latar tempat; pelajar-pelajarnya yang berjumlah sekitar 1700 orang yang datang daripada pelbagai latar belakang sosio ekonomi, pendidikan, lokaliti , gender dan etnik bertindak sebagai latar masyarakat dan tahun semasa di mana pengawas itu berperanan adalah latar masanya.

Analisis Organisasi dan Persekitaran
20 Kesemua elemen di atas yang wujud bersama faktor-faktor lain dalam organisasi sekolah seperti pelajar, guru, ibu bapa, PIBG, bekas pelajar, alumni, peralatan, kemudahan, persekitaran, kedudukan bangunan, dana, dan sebagainya bersama dengan faktor yang wujud di luar organisasi sekolah seperti pelbagai kemudahan berhampiran seperti cc, balai polis, bomba, sekolah berdekatan, agensi kerajaan, agensi swasta, jiran sekolah, masyarakat setempat, dan lain-lain mestilah dilihat secara komprehensif dan holisitik bagi mencari kekuatan, kelemahan, potensi dan kekangannya agar memudahkan strategi yang sesuai dan tepat dicanai bagi menangani masalah-masalah semasa organisasi.

21 Analisis di atas yang dikenali sebagai S.W.O.T atau K.L.A.P (Kekuatan, Kelemahan, Ancaman, Peluang) ini wajib dilakukan oleh para pengawas terlebih dahulu sebelum apa-apa perancangan disusun dan tindakan diambil berdasarkan strategi yang telah ditetapkan. Jika tidak, apa yang kita lakukan hanyalah seperti menukarkan monyet menjadi kera atau memutihkan tepung.

Abd Bashid Harun
PK HEM SMK Kamunting Taiping