Dato’ Ara Jamu Musaper Mi Mun. Inilah ayat yang saya tuliskan di papan hijau sebaik-baik sahaja saya masuk ke kelas 2A1 untuk mengajar mata pelajaran Sejarah. Sejarah adalah mata pelajaran favourite saya, dan semua pelajar tahu itu.
Pelajar-pelajar jegil bijik mata ke arah tulisan itu untuk tahu apakah sebenarnya yang saya maksudkan. Tetapi minggu sebelumnya saya sudah memberitahu mereka tentang topik yang saya akan ajarkan. “Bersedia dengan topik Pemimpin Johor yang berwibawa di muka surat 67 dan 68″, minta saya minggu lepas.
Memang menjadi kebiasaan saya sebelum saya beredar dari kelas, saya akan mengingatkan mereka agar bersedia lebih awal dengan topik yang seterusnya.
Saya selalu mengingatkan pelajar-pelajar saya bahawa mereka perlu mengetahui dahulu sesuatu peristiwa sejarah itu sebelum membincangkannya. Keadaan ini sama seperti seseorang yang pernah pergi ke suatu destinasi. Apabila kita menceritakan yang kita pernah ke sana dan ke situ di tempat berkenaan, mereka akan lebih memahaminya sebab mereka sendiri pernah melihatnya. Inilah satu daripada kaedah belajar sejarah. Ikuti dan hayati terlebih dahulu. Dengan cara ini pembelajaran akan jadi lebih mudah dan berkesan.
Kembali kepada Dato’ Ara Jamu Musaper Mi Mun. “Dato’ Ara memang baik hati”, saya pun mula membuka cerita. “Dia selalu menjamu Musaper (musafir). Tetapi kerana pada waktu itu belum ada Mi Maggi, beliau sediakan juadah Mi berjenama Mun sahaja”.
Siapakah Dato’ Ara? Itu pertanyaan saya kepada mereka. Beberapa orang pelajar menjawab Dato’ Abdul Rahman bin Andak.Nah nampaknya mereka faham apa yang saya maksudkan. Sebabnya mudah. Pertama kerana mereka sudah tahu stail saya mengajar. Kedua,mereka sudah bersedia dengan topik tersebut seperti yang saya minta. Lagi pun mereka pelajar 2A1, sebuah kelas elit, tentu mudah bagi mereka memahaminya.
Maka apabila sudah ada yang tahu tentang itu, mudahlah kerja saya pada hari itu. Maka berlakulah perbincangan yang menarik dan rancak tentang siapakah Jamu, Musaper dan Mi Mun. Perbincangan memberi fokus kepada siapakah nama penuh mereka,gelaran mereka,jawatan-jawatan yang pernah mereka pegang dan sumbangan istimewa mereka.
Ringkasnya Dato Abdul Rahman bin Andak (Dato Ara), Dato’ Jaafar bin Muhammad (Jamu), Dato’ Muhammad Salleh bin Perang (Musaper) dan Dato’ Muhammad Ibrahim Munsyi (Mi Mun) benar-benar memberi bekas di hati pelajar-pelajar saya semalam.Sebelum keluar kelas saya suruh mereka menyebut sekali lagi ayat tersebut. Maka mereka menyebut dengan kuat dan bersemangat ” Dato’ Ara Jamu Musaper Mi Mun“. Jelaskan maksudnya! arah saya. Semua pun menyebutkan terjemahan setiap satunya. Hari ini saya gembira kerana dapat menggembirakan pelajar-pelajar saya dengan suatu subjek yang selalunya cuba dihindari.
Hakcipta Abd Bashid Harun

















2 users commented in " Dato’ Ara Jamu Musaper Mi Mun "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackAll hello! Good site
really beautiful resource
Leave A Reply