ADA kecenderungan di kalangan kita, apabila menyokong seseorang,kita menolak seorang yang lain sekalipun dia sangat rapat dengan kita sebelum itu.Dan ada sesetengahnya melakukan tolakan itu dengan cara yang sangat keras dan tidak beradab, seolah-olah orang itu sangat berdosa dengan kita dan bukan daripada kalangan kita.
Begitu juga halnya dalam memberikan pujian kepada seseorang. Orang yang dipuji itu diangkat setinggi-tingginya sehingga gagal melihat bahawa kebenaran juga ada pada orang lain. Bersikap ekstrim ke kanan atau ke kiri ini adalah tidak menguntungkan organisasi.
Kita tidak dilatih dengan kebiasaan berlapang dada dan berfikiran terbuka dalam menerima perbezaan. Kita hanya mengharapkan orang lain berfikir dan bercakap sama dengan kita. Jika wujud perbezaan, kita selalu cepat-cepat menganggap orang itu memusuhi kita. Lebih berat lagi jika tuduhan dibuat bahawa orang itu ingin menjatuhkan kita.
Tidak sedarkah kita bahawa ahli-ahli dalam sesebuah organisasi itu memang sudah ada perbezaan antara mereka. Bukankah mereka datang daripada pelbagai latar belakang sama ada pendidikan, sosio-ekonomi, ideologi dan agama atau persekitaran.
Maknanya kita sudah bersedia menerima perbezaan ahli-ahli kita walau dari mana pun pun mereka datang dan apa pun latar belakang mereka. Maka tentulah kita tidak boleh mengharapkan pendapat atau pemikiran yang sama daripada semua ahli.
Kadang-kadang perbezaan itu wujud atas sebab pengalaman yang dilalui oleh seseorang itu. Dia cuba mengetengahkan pengalamannya sendiri berhadapan dengan kejayaan atau kegagalan dalam melontarkan pandangannya. Dia tidak mahu kegagalan itu berulang dalam organisasi yang disertainya atau dia mahukan kejayaan organisasi yang disertainya dahulu dapat dimanfaatkan dalam organisasi baru itu.
Inilah yang sebenarnya berlaku, kendatipun seseorang itu tidak pernah menceritakan mengapa dia cenderung berfikir seperti itu. Alasannya mudah, sebabnya seseorang itu sangat sukar untuk memisahkan dirinya daripada pengalaman masa lalunya. Inilah namanya belajar daripada pengalaman dan jika itu diambil kira ternyata pengalaman memang benar-benar menjadi guru yang sangat berharga.
Perbezaan dalam pendapat harus dianggap rahmat sekiranya perbezaan itu benar-benar diperlukan untuk memperkukuh organisasi.Perbezaan tidak wajar dicipta hanya semata-mata untuk memperkukuhkan kedudukan seseorang individu, tetapi ia hanya wajar dengan tujuan untuk memperkukuh organisasi.
Begitu juga perbezaan tidak sengaja diciptakan hanya semata-mata kita ingin ianya berbeza, apatah lagi jika perbezaan itu akan mempopularkan individu-individu tertentu. Perbezaan yang dicipta untuk mempopularkan diri sendiri atau diri seseorang yang disokong merupakan budaya yang tidak sihat dan merupakan kecenderungan buruk yang mesti dibendung.
Tidak sependapat dengan kita bukan bererti seseorang itu memusuhi kita. Berbeza pendapat harus dipandang dari sudut yang positif bahawa sudah ada elemen keterbukaan dalam organisasi tersebut.Maksudnya sudah ada orang yang mahu melihat sesuatu itu daripada perspektif yang berbeza dalam mewarnai organisasi dengan wajah baru.
Orang yang mempertahankan pendapatnya selalunya cenderung untuk menggunakan alasan memperkukuh atau menjayakan organisasi. Begitu juga orang yang tidak setuju dengan pendapat itu pun akan menggunakan alasan yang serupa. Kelihatannya mereka sangat sayangkan organisasi.
Maka apabila perbezaan itu berlaku untuk tujuan dan kepentingan organisasi, pendekatan SINERGI amat diperlukan. SINERGI adalah pendekatan atau kaedah terbaik kerana menurut pendekatan ini perbezaan pendapat tidak akan dibiarkan berlalu begitu sahaja tanpa satu rumusan atau kesimpulan. Individu A cenderung untuk mengemukakan pendapatnya. Begitu juga individu B, C dan seterusnya.
Dalam konsep SINERGI kita tidak memakai bulat-bulat pendapat asal seseorang itu. Sebabnya jika kita pakai pendapat asal itu, individu yang pendapatnya tidak dipakai akan berkecil hati. Jika selalu begitu dikhuatiri individu tersebut akan cenderung untuk menyisih diri daripada berpartisipasi secara aktif dalam organisasi yang disertainya.Lama-kelamaan penyisihan itu boleh bertukar menjadi permusuhan kepada organisasi. Ini yang kita cuba elakkan.
Jadi apa sebenarnya cara yang disarankan mengikut pendekatan sinergi ini? Untuk makluan, SINERGI adalah rumusan atau penghalusan daripada semua pendapat yang berlainan itu sehingga kita mendapat satu pendapat baru yang jitu. Pendapat baru itu mempunyai kekuatan berganda yang akhirnya dipersetujui oleh semua ahli yang berbeza pendapat tadi. Ia umpama ramuan yang berbeza yang diadun untuk menghasilkan masakan yang sedap. Itulah sebabnya SINERGI mempunyai formulanya tersendiri, iaitu 1 tambah 1=3.
Di suatu segi kita menggalakkan orang berfikir terbuka sejajar dengan kemajuan ilmu dan ICT, namun apabila perbezaan itu benar-benar berlaku kita sudah melihat ianya sebagai tamparan kepada kita. Lalu pandangan kita kepada orang itu sudah mula berubah sedikit demi sedikit sehingga akhirnya dilayan sebagai orang lain, meskipun tidak sampai menjadi musuh.
Ini tidak boleh berlaku di kalangan ahli sesebuah organisasi jika organisasi itu ingin maju. Organisasi yang semua ahlinya bersetuju sahaja tidak akan belajar apa-apa; begitu juga organisasi yang semua ahlinya tidak bersetuju juga tidak belajar apa-apa.Jadi SINERGI menawarkan jalan pertengahan untuk mengimbangi dua kumpulan yang berbeza.
Maka pendekatan SINERGI perlu digunakan dalam apa jua pelan pengukuhan atau pelan pemulihan organisasi. Tidak kiralah organisasi apa pun. Sebabnya hasil daripada SINERGI itu akan menyebabkan semua ahli terdorong untuk bersetuju secara kolaboratif untuk menambahbaik organisasi. Inilah yang dimaksudkan perbezaan pendapat itu membawa RAHMAT. RAHMAT itulah SINERGI
Hakcipta Abd Bashid Harun

















No user commented in " Bagaimana Memanfaatkan Perbezaan Sebagai Rahmat "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply