Saya berbesar hati mengapungkan di laman ini sebuah sajak berjudul “Rumah Ini” hasil nukilan sahabat saya semasa di Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Rumah Ini

Karya Cikgu Muhammaddiyah

Rumah ini dibina
dengan keringat dan air mata
bertiangkan ilmu
berlantaikan hikmah
beratapkan nurani
berdindingkan falsafah

Rumah ini dibina
dengan cinta dan kasih sayang
menjunjung gunung cita-cita
memartabatkan anak bangsa
di persada antarabangsa

Rumah ini dibina
dengan korban harta berjuta
agar tiap yang lahir di sini
dapat disusui dengan susu kepimpinan

Dewasa nanti
dapat mewarna langit kemerdekaan
dapat memayung jalan perjuangan
dapat melayar bahtera kejayaan
dapat menukang jambatan kemanusiaan
dapat mendirikan tiang keimanan

Perhatian:
1 Jika anda ingin memetik sajak ini pastikan anda mengekalkan nama Cikgu Muhammaddiyah tanpa perlu menambahkannya dengan GuruBashid atau nama laman ini.

2 ‘Rumah Ini’ boleh dikaitkan dengan organisasi yang anda berada di dalamnya sekarang jika semua kriteria yang terdapat dalam Rumah Ini turut ada di dalam organisasi anda.Harap maklum dan Terima kasih.

3 Persoalannya, adakah organisasi anda sekarang ada kesemua kriteria itu?