kami tetapkan hati setelah jelas akan perjuangan ini
meski tak didendang tak terfikir untuk berhenti
kami memilih untuk tidak mengipas peribadi
mengaut laba lalu dimasuk ke poket sendiri
di depan menyokong A di belakang menikam B
sesekali itu bukan prinsip kami maafkanlah jika kami tak dapat dibeli
muncul kami ketika mencungul puak gelak bersorak berasa suci mencaci maki
kami memilih untuk mendokong sebuah parti yang tahan uji
organisasi yang melindungi agama, bangsa dan negara kami
cuma lebih selesa memilih cara sendiri
sesiapa pun tak boleh menghalang jika kami menulis sambil berdiri
sungguhpun muncul sesekali tetapi pasti dan penuh bererti
dan menulis hanya yang terbaik itu pun setelah diteliti
ketika yang lain disambut untuk bersidang di pwtc
kami yang datang dengan duit sendiri duduk di belakang di tepi-tepi
memerhati skrin besar mendengar ucap dasar perdana menteri
dan menghayati perbahasan kali ini yang saya kira lebih bererti bukan berapi
meskipun lebih kerap bersusah payah mencari isi
sebahagian besar kami memilih berada di rumah sendiri
mengikuti setiap perkembangan melalui kaca TV
atau melalui akhbar dan media alternatif setiap hari
sebab tidak semua kami dikenali
sebab itu tak siapa sudi mengundang kami
sebahagian kami sibuk dengan tugasan hakiki
bermesyuarat antara kami tekun menyusun agenda organisasi
tempat kami bekerja kerananya kami dibayar gaji
ketika yang lain sibuk bercuti kami sibuk membuat persiapan sebelum januari
sehingga tak berkesempatan bertandang ke pwtc pada kali ini
insya-Allah kita berjumpa di perhimpunan tahun hadapan
itu pun jika badan sihat dan umur panjang
harap-harap kita berjumpa dalam kemeriahan
sebab itu kita tak boleh jadi pembangkang
tetapi di mana pun kami berada telinga kami mendengar tiap kata
mata kami seperti bebola pada cctv tiap gerak kami teliti
tiap ucap kami cerap yang terbaik kami serap bukannya kami perap
tiap tulis kami analisis tahu membeda siapa mahu aman siapa pula mahu krisis
tiap idea yang dibentang kami tetap memandang tak terus dibuang
kami tekun menangkis turut menepis yang datangnya dari syaitan dan iblis
bersama turun naik nafas kami mengelak lemas dengan menyembunyikan rasa cemas
melihat tiap gelagat pada setiap sepak terajang
lebih banyak bersemangat, sedikit bersedih, kadang meradang
melihat kuda sekawan tinggal sekandang tendang menendang
meneliti setiap perjalanan yang mendakwa pejuang takut bertukar menjadi petualang
dengan menukilkan ingatan lewat tulisan sarat nasihat dan pandangan
sebab yang penting bagi kami bukan individu, tetapi agama, bangsa dan Negara yang diperjuang
biar pembelot berfikir atau berundur lebih awal sebelum ditelanjang
agar BN tak kecundang dan kami yang setia pun tak kesal memanjang
Catatan Abd Bashid Harun





No user commented in " Kami Blogger Yang Tak Didendang "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply