1 Pemimpin yang bersengkang mata untuk rakyat

Kerja buatnya adalah untuk rakyat dan negara. Rakyat sentiasa menjadi keutamaan pemimpin jenis ini. Dasar, perancangan dan program semua disusun untuk kebaikan rakyat dan negara bukan untuk diri dan keluarganya. Dia berkorban masa, tenaga dan keselesaannya untuk memikirkan bagaimana rakyat dan negara dapat dibangunkan. Dia tidak memilih rakyat mana yang patut dibantu. Baginya dia adalah pemimpin untuk semua, bukan untuk satu puak, satu kroni dan negeri. Disebabkan dia memberi keutamaan kepada rakyat, dialah yang selalu bertembung dan mendepani masalah-masalah rakyat. Meskipun dia memberi keutamaan kepada rakyat, dia tak pernah menggunakan rakyat atau atas nama rakyat untuk mempertahankan kepentingan peribadi, parti dan kroninya. Pemimpin jenis ini menjadikan rakyat sebagai matlamat untuk dibantu, bukannya alasan untuk menonjolkan diri dan menjaga kepentingan peribadi.

2 Pemimpin yang mencipta masalah supaya dia sendiri dapat menyelesaikannya

Pemimpin jenis ini dilihat begitu hebat apabila dia dapat menyelesaikan masalah-masalah rakyat. Dia wujud pada saat krisis dan begitu berjaya pada saat seperti ini. Musuhnya ialah keamanan dan kestabilan sebab dalam keadaan aman dan stabil rakyat hampir melupakan mereka. Rakyat tidak akan menyebut tentang mereka lagi. Sebab itu sebelum rakyat melupakan mereka, pemimpin jenis ini akan wujudkan krisis demi krisis agar rakyat sentiasa sibuk dan disibukkan sehingga tidak sempat untuk melihat dan mencari kelemahan mereka. Mereka sengaja menciptakan krisis atau masalah yang mereka sendiri akan menyelesaikannya. Mereka ingin memberitahu rakyat bahawa mereka berupaya menyelesaikan masalah itu. Maka wujudlah mereka sebagai pemimpin yang populis tetapi bakal menghancurkan negara.

3 Pemimpin yang hanya mencari salah pemimpin lain (kerajaan)

Pemimpin jenis ini tidak ada kehebatan yang hendak ditonjolkan. Mereka tidak ada perancangan untuk rakyat dan negara. Mereka nampak wujud hanya apabila mereka riuh rendah tetapi sekadar mencari salah kerajaan. Tidak ada yang kena jika ianya di pihak kerajaan. Mereka mahu dilihat betul dan kerajaan sentiasa salah. Mereka pantang ditegur. Ada sahaja alasan untuk mempertahankan tindakan salah mereka. Dengan memperlihatkan kerajaan salah mereka mengharapkan rakyat menerima mereka sebagai pemimpin yang betul. Pemimpin jenis ini cukup pandai memutar-mutar lidah. Tetapi kita tahu bahawa mereka hanya berbohong untuk sepanjang masa. Dengan menyalahkan kerajaan, mereka menyangka rakyat akan menyebelahi mereka. Sebenarnya tidak. Rakyat dan negara akanterus rosak kerana mereka ini.
Yang lebih teruk lagi ketika mereka mengatakan kerajaan salah, mereka juga melakukan kesalahan yang kesannya lebih buruk lagi. Kalau UMNO melakukan kesalahan kerana telah memerintah negara ini selama 52 tahun, tetapi mereka berupaya melengkapkan kesalahan hanya dalam setahun pemerintahan mereka. Bagaimana kalau sepenggal atau lebih lama dari itu?

Hakcipta Abd Bashid bin Harun