Saya menyaksikan dengan penuh minat perbahasan Dewan Rakyat yang disiarkan selama lebih kurang tiga puluh minit sebentar tadi. Tetapi saya hanya sempat menyaksikan siaran langsung itu selama 20 minit. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandekar Amin Mulia bijak memainkan peranannya. Beliau tahu mana yang lebih utama dan mana yang tidak. Mana isu yang bersangkutan dengan rakyat dan mana isu yang remeh dan teknikal.
YAB Perdana Menteri juga telah berjaya menggunakan peranannya sebagai Ketua Kerajaaan dalam persidangan tersebut. Beliau telah memainkan peranannya sebagai Perdana Menteri dengan mengemukakan jawapan awalnya yang boleh dirumuskan sebagai kuat,menyeluruh dan menyakinkan. Apa yang beliau jawab semuanya menyangkut tentang kehendak rakyat dan apa yang sedang kerajaan buat untuk mereka .Nampaknya Pak Lah benar-benar telah menjelaskan apa yang ingin didengar oleh rakyat walaupun bagi pembangkang itu masih belum mencukupi.
Cara pembangkang mempermainkan isu dalam sidang dewan yang mulia, itulah masalahnya. Cara dan taktik mereka masih sama.Tidak ada perubahan. Mereka cuba lari daripada masalah sebenar, tetapi lebih kepada soal-soal teknikal dan remeh-temeh. Mereka benar-benar ingin berdebat dan menganggap kerajaan adalah lawan mereka, bukan sahaja di luar parlimen tetapi juga dalam parlimen. Mereka melihat Dewan Rakyat sebagai tempat berdebat dan mereka melihat masalah rakyat selesai dengan perdebatan. Mereka hanya mahu menguji kesabaran Tuan Speaker dan kesabaran Wakil Rakyat kerajaan. Tetapi fungsi utama mereka sebagai wakil rakyat bagi kawasan parlimen mereka masih belum nampak.Selepas ini tak tahulah.
Di sebalik sikap pembangkang yang begitu, Pak Lah sebagai Perdana Menteri dan Ketua Kerajaan telah menunjukkan tanggungjawab dan keperihatinannya yang besar terhadap masalah rakyat. Beliau meminta izin Tuan Speaker agar membenarkan beliau mendengar dua soalan lagi. Itulah kekuatan Pak Lah yang anda patut tahu. Beliau memintanya ketika orang lain menolaknya. Pak Lah berani berdepan sejak beliau menjadi Perdana Menteri. Dia bukan orator atau pemidato yang baik, tetapi rakyat tak perlukan itu semua. Rakyat perlukan kerajaan yang berupaya menyelesaikan masalah-masalah mereka bukannya seorang pendebat yang pandai berhujah dan memanaskan dewan.
Begitu juga Tuan Speaker Dewan telah menunjukkan kecekapan dan kematangannya. Dia boleh menolak sahaja permintaan Pak Lah itu jika beliau mahu kerana sebagai Speaker Dewan beliau sangat berkuasa di dewan itu. Malahan beliau mempunyai alasan yang cukup jelas mengapa beliau menolak soalan tambahan (setelah persoalan utama masih banyak belum dijawab). Namun kerana yang memintanya ialah YAB Perdana Menteri sendiri, maka beliau membenarkannya, tetapi cuma satu. Wah Tan Sri Pandekar Amin benar-benar menunjukkan kependekarannya. Syabas Pak Lah dan syabas Tan Sri Pandekar Amin. Syabas juga kepada RTM yang sudi menyiarkan siaran langsung sidang parlimen itu. Rakyat boleh nampak kelaku sebenar wakil rakyat yang mereka pilih.
Namun anak saya, Nurul Izzah yang turut menonton rancangan itu masih tidak berpuas hati. Izzah yang sekarang ini dalam tahun tiga bertanya kepada saya “mereka bergaduh ke bah?”.
Hakcipta Abd Bashid Harun

















No user commented in " Syabas Pak Lah,Syabas Tuan Speaker,Syabas RTM "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply