“JIKA ANDA INGIN BERJUANG DALAM UMNO, INILAH MASANYA”

JIKA anda ingin berjuang dalam UMNO anda kena berjuang sekarang. Sekarang adalah masa yang paling tepat untuk anda membuktikan kesetiaan, pengorbanan dan kecintaan anda yang tidak berbelah bahagi kepada UMNO. Sekarang UMNO ditolak oleh sebahagian orang dan sebahagian lagi sudah hilang keyakinan kepada UMNO. Dalam saat begini, ahli UMNO memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar bukan pujian berjela. Pemimpin dan ahli UMNO lebih memerlukan seseorang yang berani berkata tidak daripada si pengangguk yang berpura-pura. Katakan kepada mereka bahawa UMNO sekarang adalah UMNO yang dagang yang apabila disebut sahaja UMNO orang lebih banyak mengesyakinya daripada meyakininya. Inilah masanya untuk anda bermati-matian untuk UMNO jika anda benar-benar pejuang UMNO dan jujur dalam perjuangan anak bangsa yang diasaskan oleh Dato’ Onn ini.UMNO mengalami masa sulitnya sekarang dan jika anda berjuang ketika ini anda mesti sanggup berkorban atau terkorban untuknya. UMNO sekarang perlu kembali ke akar tunjang perjuangan yang asal. Banyak perkara yang harus diperbetul dan banyak program yang wajib dilakukan. Tugas ini tidak mudah dan hanya yang komited dan sabar yang berjaya melakukannya. UMNO sekarang adalah UMNO yang mengulangi sejarahnya yang asal-era Dato’ Onn di mana semuanya harus dimulakan. Jika anda berjuang dalam UMNO sekarang anda harus bersedia memberi dan jangan ada sedikit pun fikiran untuk diberi. Jika anda inginkan perubahan dalam UMNO, dalam kepala anda harus dibersihkan daripada faktor wang ringgit, habuan, pangkat, tender, tanah dan jawatan. Jika UMNO hendak diperbetulkan anda harus menjadi pemimpin UMNO yang berstail kampung, berjiwa merdeka, memandang jauh ke dalam akar umbi bangsa dan melupakan alunan lagu, “rasa selamat yang palsu“.Ketika ini jika anda menawarkan diri untuk berjuang dalam UMNO, anda mesti bersedia untuk menjadi tidak popular, dan ada kalanya anda akan dituduh si tukang kecoh, pemecah belah dan pelagak mahir. Anda tidak boleh “merajuk” dan menjeruk hati hanya kerana apa yang orang kata tentang anda dalam perjuangan UMNO kini. Yang lebih penting pemimpin dan ahli UMNO yang telah terbiasa dengan budaya yang salah seperti budaya selesa, budaya pangkat, budaya ganjaran harus disedarkan bahawa inilah “rambu-rambu duniawi” yang menyebabkan kita tewas di beberapa buah negeri dalam pilihanraya yang lalu. Dan jika kita masih mahu meneruskan cara gaya UMNO yang begini bererti UMNO tidak akan berubah, tetapi semakin lemah. UMNO hanya berubah dan diperkukuh dengan kehadiran ramai individu yang berjiwa Wira yang bersedia menyongsang arus dan kebiasaan yang sekian lama melalaikan. Dan jika anda berani berdepan dengan cabaran ini dan bersedia dihina, marilah kita berjuang dalam UMNO sekarang ini.” GuruBashid

*Artikel di atas turut disiarkan dalam Laman Pemuda UMNO. Klik Di Sini