” Tetapi sebelum PRU berlangsung ambiga hendaklah dijatuhi hukuman yang setimpal agar lengkapkah kepuasan rakyat yang menyokong kerajaan selama ini. Laksanakanlah hukuman paling berat ke atas ambiga. Lakukannya, bukan untuk kerajaan, tetapi untuk rakyat Malaysia. Biar seorang ini menerima hukuman yang setimpal atas kerja buatnya sebelum ini asalkan kehdupan lebih daripada 28 juta rakyat Malaysia yang lain terus aman, tenteram dan makmur. Gunakanlah apa-apa peruntukan undang-undang yang sedia ada, termasuk melucutkan kerakyatan ambiga jika perlu,” GuruBashid

1 Perhimpunan haram yang berselindung di sebalik nama Bersih sudah pun tamat. Kecekapan pasukan keselamatan terutama pihak polis, ketegasan kerajaan di saat akhir dan sokongan moral seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan yang ditunjukkan dalam pelbagai bentuk umpama gelombang kebangkitan semula golongan majoriti senyap untuk menolak sebarang bentuk provokasi dan tindakan yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam di negara ini.

2 Ini turut dilihat sebagai petanda yang cukup baik bagi kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Dato’ Seri Mohd Najib Tun Haji Abdul Razak mengatur langkah seterusnya, termasuk membuat persiapan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum(PRU) ke-13 setelah berhadapan dengan keadaan yang tidak begitu menentu selepas PRU yang lalu.

3 Malahan kegagalan kumpulan minoriti pengacau untuk melampiaskan hajat mereka semahu-mahunya pada hari itu dengan tujuan memberi gambaran buruk kepada dunia tentang kerajaan Malaysia dan negara ini yang seolah-olahnya pentadbiran negara ini begitu lemah dan keadaan Malaysia sudah tidak selamat lagi, memberikan satu signal kepada dunia bahawa rakyat yang cintakan keamanan dan amalan demokrasi di negara ini masih merupakan kumpulan mojoriti, berkuasa, masih utuh dan bersedia menjadi benteng pertahanan paling ampuh bagi menghalang sebarang tindakan jahat, termasuk campur tangan asing.

4 Namun bagi pihak yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku pada hari itu, tentunya akan mengocakkan terus kolam ketenangan yang dinikmati oleh rakyat Malaysia. Keadaan aman disukai oleh majoriti rakyat Malaysia yang berjiwa bersih,sebaliknya keadaan aman umpama igauan buruk yang sentiasa menghantui kumpulan pengacau sekaligus akan menjadi senjata yang akan menikam mereka semula.

5 Sebabnya mudah bahawa keamanan memberikan kesempatan yang seluas-luasnya kepada rakyat untuk berfikir dan menilai semula apa yang baik untuk diri mereka dan untuk masa depan anak-anak mereka. Keamanan memberi peluang kepada semua orang untuk terus bergerak ke arah masa depan yang lebih baik.Keamanan juga akan memberi kesempatan kepada kerajaan untuk terus membangunkan negara ini demi rakyat tercinta.

6 Di pihak yang tidak berpuas hati kerana target 300,000 tidak mencapai matlamat, termasuklah kegagalan berhimpun di Stadium Merdeka yang bersejarah itu akan terus membesarkan saiz cerita.Tentunya mereka tidak akan mengambil peluang daripada keadaan aman yang kita sedang kecapi ini untuk melakukan koreksi diri sambil merenung akan perbuatan mereka pada hari itu yang telah merugikan ramai pihak.

7 Sedarkah mereka bahawa dalam jangka sederhana dan panjang apa yang mereka telah lakukan pada 9 Julai itu hanya akan menjejaskan reputasi parti yang dikaitkan dengan kumpulan mereka.Rakyat ramai melihat betapa mereka sanggup diperkudakan oleh beberapa orang yang berkepentingan yang didalangi oleh hanya seorang individu yang hanya ingin mengambil kesempatan untuk menyelamatkan diri pada saat-saat akhir.

8 Mereka mengharapkan demonstrasi jalanan itu bakal menguntungkan parti mereka. Namun terus terang saya berani menyatakan pada kali ini ianya tidak akan berlaku.Kalau dalam perhimpunan Bersih 1 mereka boleh menipu rakyat kerana sebahagian mereka masih belum tahu akan duduk perkara yang sebenarnya, tetapi untuk kali ini jika mereka menyangka perkara yang sama akan berlaku kepada parti atau kumpulan mereka, mereka silap besar.

9 Rakyat Malaysia tidak terlalu bodoh untuk jatuh ke dalam lubang yang sama sebanyak dua kali, apatah lagi lubang itu dipasang oleh orang yang sama. Rakyat tidak seperti penggali lubang itu yang sanggup jatuh ke dalam perigi buruk lagi busuk sebanyak dua kali atau lebih kerap lagi.

10 Berlainan sekali halnya dengan minoriti yang begitu ta’assub kepada anwar. Minoriti pak turut ini tidak pernah mahu menggunakan kesempatan daripada keamanan yang diraih untuk berfikir positif seperti itu. Jika mereka mahu berfikir betul pun, mereka tidak akan sempat lama berbuat demikian sebab para pemimpin mereka tidak akan membenarkan mereka berfikir seperti itu.

11 Pemikiran kumpulan minoriti yang menjadi pak turut membabi buta kepada beberapa individu jahat yang berkepentingan ini tidak akan dibiarkan tenang, sejuk dan bersih walaupun seketika. Mereka akan terus diasak dengan cerita-cerita yang tidak benar mengenai kerajaan, perdana menteri,BN, UMNO dan pihak polis. Habis satu isu akan dibangkitkan satu isu lagi. Namun satu pun tidak ada yang benar bagi kerajaan.

12 Walau apa pun provokasi selepas ini, saya percaya apa yang telah berlaku menjadikan kerajaan sudah semakin kuat, semangat rakyat sudah semakin tinggi dan golongan majoriti senyap bagai tidak sabar-sabar lagi untuk menghukum minoriti pengacau ini dan parti yang dikaitkan dengannya. Tentunya bukan melalui jalan-jalan belakang yang salah, tetapi melalui wadah manusia berani dan jujur, iaitu pilihan raya.

13 Tetapi sebelum PRU berlangsung ambiga hendaklah dijatuhi hukuman yang setimpal agar lengkapkah kepuasan rakyat yang menyokong kerajaan selama ini. Laksanakanlah hukuman paling berat ke atas ambiga. Lakukannya, bukan untuk kerajaan, tetapi untuk rakyat Malaysia. Biar seorang ini menerima hukuman yang setimpal atas kerja buatnya sebelum ini asalkan kehdupan lebih daripada 28 juta rakyat Malaysia yang lain terus aman, tenteram dan makmur. Gunakanlah apa-apa peruntukan undang-undang yang sedia ada, termasuk melucutkan kerakyatan ambiga jika perlu.

Hakcipta Abd Bashid Harun (GuruBashid)