1 Nampaknya apa pun yang dibuat oleh kerajaan untuk mengekalkan keamanan di negara ini tidak pernah kena di mata pembangkang.Ada sahaja alasan yang diberikan. Sebahagian daripada mereka benar-benar mahu menjadikan diri mereka pembangkang totok dan buta.Selagi semuanya dari kerajaan mereka tolak. Mereka mahukan negara ini, tetapi mereka melayan negara ini seperti musuh mereka.
2 Mereka berlagak seperti sang wira dan mahu kerajaan tunduk kepada kehendak-kehendak mereka walhal mereka bukanlah mewakili suara majoriti rakyat Malaysia.Wakil pembangkang sudah ada di parlimen, tempat yang sepatutnya digunakan untuk bersuara dan membuat tuntutan, malangnya mereka lebih berminat melakukannya di atas jalan raya atau suatu ketika dahulu di bawah pokok sambil menjerit ke arah kerajaan. Mereka adalah minoriti yang mahu memaksa majoriti.
3 Mereka pada asalnya tidak sama dari segi ideologi yang dibawa dan pendekatan yang digunakan.Sangat jarak seperti langit dan bumi. Namun dalam hal memarahi kerajaan dan dalam hasrat untuk menjatuhkannya mereka memilih untuk bersatu.Mereka sanggup melupakan sebentar perbezaan ideologi yang mereka bawa dan bersama-sama turun ke jalan raya.
4 Mereka sangat mahir membuat skrip dan melakonkannya. Mereka mengada-adakan cerita mengenai polis. Mereka mahu polis berlemah lembut dan melemparkan senyuman kepada mereka ketika mereka melakukan provokasi terhadap pihak polis.Biar mereka yang kasar dan keras, polis jangan. Biar polis yang dikasari, tak mengapa, tetapi untuk mereka yang mengasari pihak polis, jangan.
5 Apabila kita berkata benar kepada mereka, sebahagian daripada mereka yang lebih alim dalam kalangan mereka akan bersuara keras ke arah kita sambil berkata kembalilah kamu kepada ajaran al-Quran dan as-Sunnah.Mereka membacakan ayat suci al-Quran dengan fasih dan lancar. Tetapi apa yang baik tentang diri mereka hanyalah setakat bacaan sahaja. Kita mengiktiraf itu. Tetapi dari segi perbuatan, mereka yang dahulunya masih boleh dikatakan baik kini jauh terpesong daripada ajaran Allah dan rasul-Nya.
6 Dalam keadaan mereka sedang memesongkan umat Islam dengan ajaran Islam menurut nafsu mereka dan memutuskan persaudaraan dengan saudara seagama dengan mereka, mereka masih boleh membacakan dalil-dalil daripada al-Quran dan al-Hadith dengan lancar dan bersahaja. Mereka seolah-olah tidak ada kemaluan di hadapan Allah ketika mereka melakukannya walhal apa yang mereka lakukan tidak lebih daripada sekadar “mempergunakan” ayat-ayat Allah untuk kepentingan mereka.
7 Mereka menyangka dengan membacakan ayat suci al-Quran dan al-Hadith serta mengemukakan beberapa alasan agama untuk menghalalkan perlakuan mereka, perbuatan jahat mereka akan terkatup dan pada masa yang sama mahu dilihat lebih islam daripada yang lainnya.
8 Apabila kita mendiamkan diri untuk mengelakkan perbalahan lebih besar, mereka menganggap kita bodoh, dan mereka terlebih pandai. Apabila kita bersuara dan menempelak cara-cara mereka, mereka bertanya siapa kita untuk membetulkan mereka. Walhal kita tahu tentang mereka.Mereka hanya baik dalam satu perkara, tetapi amat jahat dalam banyak perkara yang lain lebih-lebih lagi setelah mereka memilih pihak yang berkebiasaan jahat sebagai sahabat mereka dan menolak ke tepi yang baik dalam kalangan saudara Islam mereka sendiri.
9 Mereka menutup kelemahan mereka dengan membacakan ayat suci al-Quran dan hadith. Dengan menyebut satu dua ayat yang mereka hafal, mereka mahu kita menerima mereka sebagai orang yang benar dan baik.Tetapi kita tahu siapa sebenarnya mereka. Mereka tidak lebih daripada orang yang memperalatkan agama untuk kepentingan diri dan parti mereka sahaja, hanya berlindung di sebalik perkataan Islam yang ada pada mereka.
10 Dalam kalangan yang lain pula mengungkapkan istilah-istilah yang bernilai positif seperti Bersih, Adil dan Demokrasi, tetapi sekadar menggunakannya untuk tujuan-tujuan menutup kejahatan mereka dan menghalalkan cara-cara mereka.
11 Dengan menggunakan istilah-istilah muluk seperti itu lewat ceramah mereka,atau yang tertulis pada kain rentang, flyer, poster, kemeja T, kain lilit kepala, sticker dan sebagainya mereka mahu orang ramai menerima tindakan mereka sebagai betul dan menganggap tindakan kerajaan selama ini adalah tidak bersih, tidak adil dan tidak demokratik.
12 Kita tahu melalui tindakan-tindakan provokatif ini perniagaan cetakan dan iklan milik mereka akan untung. Tetapi kita juga tahu betapa tindakan seperti ini hanyalah bersifat luaran, tempelan dan pinggiran yang tidak akan memadam niat buruk sebenar mereka di mata majoriti rakyat Malaysia yang setia, cintakan keamanan dan kestabilan.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Pembangkang Di Malaysia "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply