1. MASALAH kita ialah memahami maksud pelan pemulihan UMNO itu. Lain orang lain cara pemahamannya. Ramai orang memahami bahawa pelan pemulihan itu melibatkan penyingkiran seseorang lalu digantikan dengan orang lain.
2. Saya sebenarnya kurang pasti siapakah yang mencipta atau memulakan istilah-istilah seperti Pelan Pemulihan UMNO, tsunami politik dan berbagai-bagai istilah lagi yang ditiup dengan cepat sekali selepas sahaja Pilihan Raya Umum ke-12 yang menyaksikan BN masih kekal menguasai pusat meskipun dengan majoriti yang sedikit menurun.
3. Yang lebih menarik bagaimana rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO dihasut supaya tidak mengundi calon-calon BN dalam PRU-12 yang lalu dengan alasan untuk memberikan pengajaran atau tekanan kepada Pak Lah agar Pak Lah mengundur diri.
4. Di antara kita ada yang tidak buta untuk menyaksikan “permainan” ini. Permainan yang direncana sebegitu rupa yang saya kira cukup berbahaya apabila parti BN dan UMNO menjadi pertaruhannya. Apabila kita tidak menyukai seseorang, kita mengajak orang lain bersama-sama dengan kita untuk tidak mengundi parti yang semata-mata di dalamnya ada seorang Perdana Menteri yang tidak disukai.
5. Ternyata tidak semua ahli UMNO yang percayakan pendekatan membunuh diri seperti itu. Mereka, terutama Pergerakan Wanita dan Puteri UMNO cepat-cepat bangun untuk mempertahankan UMNO dan BN tetapi agak terlambat sebab kempen seperti itu sudah bertiup seperti taufan ke seluruh negara. Niat untuk menjatuhkan seorang dua dalam UMNO dengan cara tidak mengundi BN bagi “mengajar” Pak Lah seperti yang saya nyatakan dalam posting sebelum ini telah pun berjangkit kepada sebahagian besar ahli UMNO.
6. Apabila BN kalah di beberapa buah negeri, termasuk mendapat kurang 2/3 majoriti di Parlimen, mereka yang sudah merancang semua ini cepat-cepat bangun dengan mengatakan Pak Lahlah yang bersalah dan harus bertanggungjawab dengan “kekalahan” ini.Seolah-olah mereka memang menunggu-nunggu saat kejadian seperti itu.
7. Ya bagi golongan ini kemerosotan ini dianggap kekalahan kepada BN dan UMNO. Maka bermula dari sinilah tekanan demi tekanan ke atas pimpinan Pak Lah menjadi semakin hebat. Tetapi Pak Lah bangun (tetapi seperti biasa agak terlewat) lalu mengatakan BN atau UMNO tidak kalah. Kita masih boleh memerintah.
8. Ternyata kenyataan Pak Lah itu betul kerana UMNO masih boleh diterima oleh ahli-ahlinya. Malahan ahli-ahli UMNO masih berpegang teguh kepada semangat setiakawan dengan memberikan undi kepada rakan-rakan mereka daripada Barisan Nasional. Tetapi yang jelas, kemerosotan undi BN kali ini disebabkan rakan-rakan kita daripada parti Gerakan, MIC dan MCA tidak memberi undi kepada Barisan Nasional. Inilah yang terjadi yang sengaja tidak mahu dilihat oleh sebahagian ahli UMNO yang sudah termakan dengan retorik beberapa orang yang terlalu vokal di luar sana.
9. Ada yang memahami bahawa pelan pemulihan itu ialah UMNO akan pulih apabila Pak Lah tidak lagi menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO. Kepercayaan ini ditanam kepada semua orang terutama dalam media alternatif. Pendek kata apa sahaja yang berlaku akan cuba dikaitkan dengan kegagalan atau kelemahan Pak Lah.
10. Dan yang terbaru, sampai kegagalan kita mendapatkan Pulau Batu Putih pun dikaitkan dengan kelemahan Pak Lah.Masih tidak ada sesiapakah yang telah dapat menghidu bahawa permainan ini sudah pergi terlalu jauh dan sampai tersasar dan sudah tidak logik lagi. Kita wajar membuka mata dan berhati-hati dalam hal ini seolah-olah ada tekanan terancang daripada konspirasi terancang yang berselindung daripada nama seseorang.
11. Kalau dahulu, jika Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Husin Onn dan Tun Dr Mahathir ditekan sebegitu rupa semua ahli bangun mempertahankannya dan memberi amaran kepada pembangkang supaya tidak turut campurtangan.
12. Tetapi sekarang ini keadaannya agak sedikit berbeza. Jika ada yang bersuara untuk mempertahankan kepemimpinan kerajaan dan Barisan Nasional yang sedia ada, dia akan dituduh membodek. Tiba-tiba sahaja menyokong kepemimpinan sedia ada yang dipilih oleh rakyat telah disindir seolah-olah satu kesalahan. Sebaliknya suara-suara yang di luar kerajaan diberi simpati yang berlebihan.
13. Jarang-jarang benar yang melihat pemulihan itu secara holisitik dan komprehensif dengan melibatkan semua faktor yang diambil kira (consider all factors), yang harus diperhalusi dan ditimbangtara seadil mungkin. Bahawa ada banyak kelemahan dalam UMNO yang harus diambil kira dan diperbetulkan kerana tanggungjawab memulihkan UMNO itu bukan teretak di bahu seorang dua tetapi adalah menjadi tugas semua ahli dan pemimpin UMNO.
14. Perkara yang patut menjadi kebimbangan kita ialah kemungkinan muncul individu yang cuba berlepas tangan (cuci tangan) dengan meletakkan kegagalan UMNO mendapat kelebihan 2/3 majoriti dalam Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu kepada seseorang. Mereka tidak mahu mengaku salah atau berkongsi kesalahan jika ada kerana malu atau dendam. Maka cara yang paling mudah ialah meletakkan kesalahan itu kepada seseorang dengan mengada-adakan atau mengaitkan satu demi satu kekurangan kepada individu terbabit.
15. Pelan Pemulihan UMNO harus tidak lari daripada tiga cara. Pendekatan Pertama: Jika Pak Lah hendak diangkat sebagai pemimpin yang berkesan, seluruh pemimpin yang lain harus bersepadu bagi memastikan diri beliau dibantu sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri untuk melakukan pemulihan dalam UMNO.
16. Pendekatan Kedua: Jika YAB Dato’ Seri Abdullah bin Ahmad Badawi sudah dengan jelas tidak layak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri, berdasarkan indikator atau petunjuk tertentu daripada dapatan empirikal yang boleh dipercayai atau beliau sendiri menjadi punca kelemahan dan tidak berupaya memulihkan parti, maka ahli-ahli UMNO yang lain mesti mencadangkan langkah-langkah berkesan pemulihan termasuk menamakan penggantinya yang bersesusaian dan menetapkan masa penggantian itu akan dilakukan, supaya peralihan kepemimpinan dalam UMNO itu berlaku secara baik dan aman seperti tradisi-tradisi UMNO sebelumnya.
17. Ingat, jika pendekatan ini menjadi pilihan majoriti ahli, ia bukan sekadar menggantikan seseorang, tetapi tentunya yang menggantikan itu patut lebih baik lagi. Jika sama atau lebih buruk keadaannya pendekatan pemulihan kedua ini harus dilupakan sahaja.
18. Pendekatan pemulihan kedua ini jika menjadi realiti bukan tidak ada implikasinya. Sekali kita menerima pendekatan ini, ia akan kekal dalam sejarah sebagai petunjuk kepada generasi UMNO berikutnya yang tentunya akan turut menggunakan cara ini jika ada masalah yang serupa sehinggalah wujud satu undang-undang dalam UMNO yang menghalang atau membatasinya.
19. Maka nanti jika ada masalah dalam UMNO pemimpin nombor satu akan dipersalahkan lalu dituntut untuk meletakkan jawatan. Jika ini menjadi tradisi UMNO, maka adakah ini akan menjadikan UMNO lebih bagus atau akan menjadikan UMNO lebih parah. Inilah yang harus dipertimbangkan oleh setiap kepemimpiunan UMNO di pelbagai peringkat sebelum pendekatan pemulihan cara kedua ini digunakan.
20. Pendekatan Ketiga: Jika Pak Lah bukan menjadi faktornya tetapi faktor-fator lain yang menjadi penyebabnya, maka wajarlah faktor itu disenaraikan. Jika di dalam senarai itu disebutkan ada individu-individu tertentu yang melemahkan UMNO, maka orang itu juga patut diambil tindakan yang wajar seperti menggantikannya dengan orang lain (jika ia memegang jawatan dalam UMNO atau kerajaan) dan keahlian UMNOnya mungkin boleh disemak semula.
21. Pendekatan Keempat: Disebabkan kemerosotan Barisan Nasional ini banyak berpunca daripada kegagalan ahli dalam komponen parti Barisan Nasional merealisasikan semangat setiakwan adalah wajar Pelan Pemulihan dikembangkan kepada parti Barisan Nasional. Kita mahukan selepas ini parti-parti komponen Barisan Nasional memperbaiki kelemahan yang sedia ada dan seterusnya memperbaharui kontrak sosial dengan bekerja keras dan berpegang teguh kepada semangat setiakawan untuk terus berada dan menyokong padu Barisan Nasional.
22. Kita tidak mahu hanya UMNO yang bekerja keras untuk memulihkan parti. Jika UMNO yang bersungguh-sungguh menunjukkan kesetiaan kepada Barisan Nasional sedangkan parti-parti komponen yang lain tidak mengambil usaha yang serupa sebaliknya bersuara seperti suara pembangkang, Barisan Nasional akan mengulangi kemerosotan yang serupa atau menjadi lebih buruk lagi.
23. Dan apabila keadaan itu terjadi, sekali lagi yang akan berselisih faham, bertekak, dan bertegang leher ialah UMNO atau lebih tepat lagi ahli-ahli UMNO. Ahli-ahli UMNO yang dikenali cukup menjaga semangat setiakawan dalam Barisan Nasional akan bersedia berlembut dengan kawan-kawan mereka dari MIC, Gerakan, MCA dan lain-lain atas alasan menjaga hati. Mereka lebih bersedia melihat kelemahan jika ada berpunca daripada mereka sendiri (walaupun bukan semuanya benar). Lebih tepat lagi mereka lebih bersedia menyalahkan parti mereka sendiri daripada parti lain walaupun lebih banyak kelemahan itu ada pada parti lain. Inilah yang kita saksikan seolah-olah ia menjadi kecenderungan dalam masyarakat Melayu, iaitu lebih mudah berbalah sesama sendiri atas sesuatu isu yang belum pasti dan kabur.
24. Setelah semua masalah dikenalpasti dan pendekatan yang sesuai dipilih, timbul persoalan, siapakah yang paling berhak merealisasikan semua pendekatan ini? Bloggers? Pembaca-pembaca blog?. Tentulah tidak, walaupun sebahagiannya sangat ghairah hendak menunjukkan kuasa mereka.
25. Pada saya ahli-ahli UMNO cawangan melalui mesyuarat agung UMNO di peringkat cawangan itulah mekanisme yang sangat tepat digunakan untuk merealisasikan pendekatan itu. Ahli-ahli UMNO cawangan menggambarkan ahli-ahli UMNO di peringkat grassroots. Merekalah yang sangat berkuasa. Mesyuarat Pemilihan Cawangan nanti adalah titik tolak kepada pemulihan UMNO jika kita dengan jujur mahu memperaku bahawa pandangan akar umni itu penting.
26. Sekarang kita hanya dengar suara tidak puas hati, tetapi hanya di kedai-kedai kopi, di kaki-kaki lima, di majlis-majlis tertentu, di dada-dada akhbar dan daripada pihak lawan lalu kita pungut dan masukkan ke dalam blog-blog kita yang bebas daripada sebarang instrumen kawalan. Kita olah dengan perasaan kita sendiri, kita sensasikan dengan cara-cara pemberitaan dan bahasa yang kadang-kadang di luar kawalan, bernada provokatif, seolah-olah memaksa pembaca bersetuju dengan kita.
27. Tentunya indikator-indikator di atas yang berbaur antara rasa, sangka dan fakta itu tidak berupaya menjadi petunjuk sahih bagi kita melakukan semua perubahan yang kita hajati. Apatah lagi sesetengahnya berbaur dengan dendam peribadi dan dendam pembangkang yang sebenarnya tidak mengenal siapa di kalangan kita ini sebagai musuh mereka. Bagi mereka sama ada namanya Mahathir atau Pak Lah, mereka melihatnya sebagai sama sahaja iaitu musuh-musuh mereka, yang menjadi penghalang niat mereka untuk berkuasa. Jika mereka menyokong atau bersetuju dengan seseorang di kalangan kita bukan kerana kerana mereka menyebelahi kita, sebaliknya kerana itu akan menguntungkan mereka.
28. Jadi bukan tradisi UMNO mengutip-ngutip suara-suara di tepi jalan, di kaki lima, di kedai kopi ini sebagai data untuk mengatur langkah pembetulan. Suara-suara ini tentunya tidak tulen kerana bercampur baur antara dendam peribadi dan kepentingan parti serta suara-suara pembangkang yang turut mengambil kesempatan. Jadi langkah yang terbaik hanyalah melalui Pemilihan UMNO di peringkat cawangan yang akan berlangsung pada bulan Julai ini.
29. Kita berikan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi ini kebebasan untuk bercakap tentang apa jua perkara dan mengemukakan apa jua usul selagi niatnya untuk memperkukuhkan UMNO. Tentunya hanya diputuskan dalam mesyuarat dan selepas mesyuarat tamat jangan ada lagi sebarang tindakan tidak puas hati seperti perumpamaan rumah siap pahat berbunyi.
30. Jika pelan pemulihan UMNO itu penting, maka salah satu agenda yang perlu ada dalam mesyuarat UMNO Cawangan itu kelak adalah agenda ini. Maknanya selain undian untuk memilih Ketua dan AJK di peringkat cawangan, dan wakil ke perhimpunan agung bahagian dan pusat, maka salah satu agenda itu ialah membincangkan agenda pemulihan itu.
31. Jangan ada campur tangan dari mana-mana peringkat, sama ada pusat, negeri atau bahagian. Jangan ada bias. Jangan ada sedikit pun ancaman. Jangan ada sedikit pun ugutan. Jangan ada apa-apa yang boleh disalah tafsir sebagai menghalang atau dengan tujuan untuk menghalang bagi membincangkan agenda itu dengan bebas. Jika berlaku juga perkara-perkara yang saya sebutkan tadi, maka tidak akan ada perubahan. Sekali lagi kita akan terus menerus mencari salah seseorang.
32. Apabila saya mencadangkan Mesyuarat UMNO Cawangan sebagai mekanisme paling tepat ke arah menzahirkan pelan pemulihan UMNO, saya memang bermaksud kurang bersetuju dengan sesetengah blogger yang seolah-olah mahu kita mengambil kira “Vote” atau “Polls” yang ada dalam semua blog untuk melakukan usaha pemulihan itu. Saya menghargainya sebagai cadangan, tetapi bukan petunjuk.
33. Bagi saya dapatan data yang ditunjukkan dalam polls atau vote itu tiada mempunyai hubungan yang signifikan dengan pelan pemulihan itu. Dapatan daripada vote atau polls itu boleh digunakan oleh ahli dalam mesyuarat UMNO Cawangan, Bahagian dan Pusat, namun polls atau vote per se tidak dapat dipertahankan sebagai petunjuk sahih dalam untuk menyimpulkan tentang UMNO, jauh sekali menggunakannya untuk menentukan nasib UMNO.
34. Alasan-alasan berikut wajar dipertimbangkan. Tidak semua di kalangan kita yang membaca blog. Jumlah blog dan blogger jika dibandingkan dengan rakyat Malaysia sangat kecil untuk diambil kira kepentingannya dalam menentukan sesuatu. Apatah lagi jika diambil kira jumlah blog politik UMNO berbanding dengan nisbah ahli UMNO, tentu sangat besar selisihnya.
35. Juga yang perlu dipertimbangkan ialah jumlah blog yang mempunyai ruangan vote/polls dan jumlah pembaca blog yang mengundi blog. Semua ini harus menjadi pertimbangan kerana tidak semua pembaca blog yang akan membuat undian.
36. Malahan ada yang mengundi beberapa kali dengan menggunakan komputer yang berlainan (Satu komputer satu ID). Lainlah kalau blog itu memerlukan seseorang pembaca atau penulis mendaftarkan diri terlebih dahulu dan log in sebelum membuat undian.Maka blog seperti itu bolehlah diambil kira kerana ia hanya membenarkan sekali mengundi sahaja bagi seorang pembaca. Tidak mustahil ini berlaku jika seseorang itu benar-benar ta’asub dengan pemimpin kegemarannya.
37. Satu lagi yang wajar diambil kira ialah kebarangkalian pengundi yang sama mengundi di blog yang berlainan tetapi jenis polls/vote yang sama. Malahan jika ditambah dengan faktor pengundi yang sama mengundi berulang-ulang kali seperti yang saya nyatakan di atas tadi, maka jadinya jumlah pengundi sebenar menjadi lebih kecil. Maksudnya jumlah pungutan undi tidak benar-benar menggambarkan kehendak pengundi. Maka wajarkah jumlah pengundi sebegini dan pengundian cara ini diambil kira untuk memaksa seseorang meletakkan jawatan atas alasan mereka yang mengundi itu mahukan Pelan Pemulihan UMNO dilakukan.
Hakcipta Abd Bashid Harun
(Master of Principalship, UM)

















No user commented in " Pelan Pemulihan UMNO Dari Perspektif GuruBashid "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply