1 Sesiapa sahaja dalam Barisan Nasional tidak patut berasa tergugat atau rugi dengan cara berfikir seperti ini. Malahan kerugian sebenar apabila kita berfikir atas nama bangsa masing-masing walhal kita sudah ditakdirkan berada begitu lama dalam Barisan Nasional, yang dahulunya Perikatan sebuah parti yang menyatukan kita daripada pelbagai bangsa dan kita gunakan simbol dacing untuk berdepan dengan musuh dalam Pilihan Raya selama ini.

2 Apabila kita kalah di beberapa kawasan majoriti bangsa lain yang bukan daripada bangsa kita, kita pun sudah mula kecewa lalu cuba sorot ke belakang dengan mengajak kembali kepada bangsa kita sendiri untuk memperkukuhkan kekuatan sendiri tetapi dengan alasan yang sama iaitu untuk menang.

3 Alasan yang kita gunakan ialah jangan sampai yang dikendong keciciran dan yang dikejar tiada dapat. Kita lebih senang untuk berkata lebih baiklah kita jaga bangsa kita sendiri. Saya beritahu inilah penyakit yang sedang mula menimpa kita apabila kita diuji di Sarawak, walhal dalam beberapa Pilihan Raya Kecil sebelum ini kita menang. Kita akan kembali kepada perasaan memperkukuh bangsa sendiri sambil tidak mempercayai bangsa yang lain. Cuba bayangkan jika setiap bangsa dalam BN berfikir seperti itu. Apakah makna BN yang kita bina selama ini?

4 Apakah ada acuan lain selain BN yang paling sesuai untuk kita? Kalau tidak ada yang lebih hebat daripada BN, mengapa pula kita kembali kepada alternatif pandang belakang dengan melarikan diri kepada bangsa sendiri. Jika itu cara berfikir kita, kita tidak berupaya melawan pihak yang satu lagi yang berfikir dan berusaha ke arah penyatuan semua bangsa yang ada walaupun dalam wadah yang tidak cukup kuat.

5 Walhal kita dalam kesatuan Barisan Nasional.Saya tidak fikir kita harus kembali kepada bangsa sendiri untuk memenangi Pilihan Raya. Disebabkan kita marahkan orang Melayu sebagai contoh, orang Cina bercakap untuk kembali kepada bangsanya per se. Begitu juga apabila marahkan orang Cina, orang Melayu berfikir untuk kembali kepada bangsanya sendiri. Akhirnya penyatuan sebenar tidak akan berlaku sedangkan kita telah berpenat lelah membinanya selama ini. Apakah maknanya usaha kita selama ini, termasuk dengan slogan 1Malaysia dengan cara berfikir yang sebegini?

6 Saya ingin beritahu anda tidak ada satu pun bangsa yang paling kuat di Malaysia jika dia berfikir atas nama bangsanya sendiri sekarang ini. Di sini bukan Cina, Brunei mahupun India. Di sini Malaysia yang dihuni tiga kaum terbesar. Tetapi setiap bangsa itu hanya menjadi kuat dan bermakna kepada Malaysia apabila dia berada bersama-sama bangsa lain yang memperjuangkan satu idealisme dan penyatuan dalam satu wadah paling berkesan dan tulen. Itulah sebab wujudnya Barisan Nasional yang sebelumnya Perikatan.

GuruBashid