Orang mengatakan Pak Lah Lembik, tetapi orang yang sama berkata bahawa pemimpin-pemimpin UMNO takut kepadanya. “Nampaknya mereka takut kepada si lembik”. Inilah lebih kurang perkara yang dijelaskan oleh Pak Lah semasa menjawab tuduhan tentang ahli Majlis Tertinggi yang kononnya hanya mengikut cakap beliau.Sungguh pun jawapan itu bersahaja dan dilontar dalam keadaan separuh lucu, itu sudah memadai untuk menggambarkan siapa Pak Lah sebenarnya.

Setelah melihat apa yang dibuat oleh Perdana Menteri itu, adakah anda bersetuju dengan saya bahawa Pak Lah bukan sahaja seorang yang kuat(semangat dan fizikal) tetapi kekuatan yang ada padanya kadang-kadang memang tidak boleh dijangkakan.

Tindakan beliau membuka seluas-luasnya pintu demokrasi dengan memberi kebebasan kepada semua pihak memberikan pandangan dan menegur kerajaan termasuk agensi-agensinya yang tidak pernah dilakukan oleh empat Perdana Menteri sebelumnya adalah perkara pertama yang menunjukkan memang beliau berani. Bukan beliau tidak tahu kesan daripada tindakan tersebut ke atas dirinya, parti dan kerajaan. Kalau beliau tidak sanggup untuk berdepan dengan semua yang bakal terjadi beliau tidak akan membukanya lebih awal.

Begitu juga tindakan beliau memerangi habis-habisan rasuah, pecah amanah dan ketidakadilan tanpa memilih bulu, termasuk tindakan terbaru mengembalikan kesucian amalan institusi kehakiman memperkukuhkan lagi pandangan saya bahawa beliau memang seorang pemberani.

Ucapannya kepada ketua-ketua penerangan UMNO negeri (bagi menjelaskan sebab-sebab kekalahan BN dalam PRU12 baru-baru ini) adalah petunjuk yang menampakkan beliau memang mempunyai kekuatan itu. Begitu juga jawapan-jawapan yang dikemukakan oleh beliau tentang pelbagai isu sejak akhir-akhir ini semakin mendapat sentuhan dan diyakini.Nampaknya apabila dalam keadaan krisis semuanya boleh menjadi lebih hebat dan berkuasa.

Apabila seseorang terus diasak dengan kritikan dan dipaksa beraksi mengikut rentak krisis, lambat laun orang itu akan terbiasa dan akhirnya menjadi kebal dalam kritikan dan krisis itu. Akhirnya ia bangun dalam suasana itu.Ternyata inilah yang mula berlaku kepada Pak Lah.Pak Lah sudah mula mendapat kekuatan itu dan sentuhan itu sudah mula menjadi.

Pak Lah bukan tidak tahu bahawa krisis yang wujud berpunca daripada satu orang, iaitu Mahathir. Mahathir dan krisis memang sinonim. Sepatutnya semua orang tahu itu. Tanpa krisis Mahathir hampir dilupakan. Jika ada orang lain yang cuba-cuba berkrisis dengan Pak Lah, saya nampak ia bermula daripada Mahathir. Belum ada yang berani menunjukkan keberanian mengkritik Pak Lah atas dirinya per se.

Doktrin Melayu mudah lupa memang menjadi sandaran Mahathir. Jadi sebelum orang melupakannya, dia harus mewujudkan krisis. Beliau mengharapkan krisis itu akan bertukar kepada suasana krisis. Ternyata Mahathir memang berjaya dalam saat krisis.

Tetapi itu ketika beliau adalah Perdana Menterinya. Persoalannya sekarang beliau bukan lagi Perdana Menteri. Adakah metode krisis dan modus operandi yang disandarkan ke atas pendekatan krisis itu akan terus berjaya jika digunakan pada zaman yang beliau bukan lagi Perdana Menterinya.

Bagaimana mungkin ketika Pak Lah menjadi Perdana Menterinya, faktor Mahathir yang lebih dominan. “Suasana Mahathir” cuba ditonjolkan dalam era kepemimpian Pak Lah. Sepatutnya “suasana Pak Lah” sekarang, bukan suasana Mahathir.

Atas sebab itu adalah wajar bagi Pak Lah mewujudkan iklim beliau sendiri.Iklim yang akan membantu dan memudahkan beliau mengurus tadbir negara ini dengan licin tanpa gangguan. Iklim yang akan membebaskan dirinya daripada terbelenggu dengan fikiran dan campur tangan luar. Ternyata iklim Pak Lah itu semakin nampak jelas sekarang ini.

Ketika orang lain “diingatkan agar tidak lupa” , tidak ada sesiapa yang mengingatkan Mahathir tentang perkara yang serupa. Mahathir lupa bahawa beliau mewujudkan krisis pada zaman Pak Lah menjadi Perdana Menterinya. Kalau krisis itu ditimbulkan pada zaman beliau memang itu tiada masalah.

Persoalannya sekarang adakah krisis yang berpanjangan antara beliau dengan Perdana Menteri akan menguntungkan orang Melayu dan UMNO. Adakah krisis ini akan menyebabkan UMNO akan menjadi semakin kuat. Adakah perpaduan orang Melayu akan menjadi semakin padu? Inilah yang patut difikirkan.

Hakcipta Abd Bashid Harun