1 ” Agama itu nasihat,”. Lebih tepat lagi nasihat menasihati. Itulah jenis teguran yang terbaik, iaitu yang mengandungi unsur nasihat di dalamnya.

2 Teguran atau nasihat ditujukan kepada individu dalam organisasi, bukan organisasi itu sendiri. Jika ada orang mengatakan bahawa teguran harus dibuat kepada organisasi, bukan langsung kepada individu yang berada di dalamnya, itu sebenarnya satu kesilapan.Itu adalah suatu helah untuk melarikan diri daripada menerima teguran.

3 Adalah lebih wajar seseorang yang lebih mengenali atau lebih rapat dalam organsiasi itu sendiri membuat teguran atau memberi nasihat.Tentunya ia tak kan menyembunyikan apa-apa dalam teguran atau nasihatnya.

4 Organisasi yang mahu belajar dan bangkit daripada kesilapan masa lampau, perlu lebih ramai ahli yang setia untuk menjadi penegur atau penasihat.

5 Lebih ramai orang yang di dalam organisasi itu sendiri mahu membuat teguran terhadap perjalanan organisasi, maka itu lebih baik. Ia tidak akan mengecilkan wibawanya dalam organisasi itu.

6 Malahan organisasi akan lebih berterima kasih kepada individu-individu yang ikhlas dalam membuat teguran bagi menyelamatkan organisasinya daripada jatuh ke dalam lubang kebinasaan.

7 Jika anda ditegur atas kesilapan yang anda lakukan, terima ini dengan cara penuh husnu dzan (sangka baik) bahawa masih ada orang yang mengambil berat terhadap anda. Atau juga masih ada orang yang menyayangi anda atau organisasi anda.

8 Memang sukar untuk membaca niat seseorang yang menegur sama ada teguran itu dibuat kerana dendam atau sengaja untuk menjatuhkan, atau kerana mahu menyelamatkan.

9 Namun apa yang boleh dibuat oleh pihak yang kena tegur ialah bersifat terbuka terhadap setiap teguran, mahu menyediakan masa untuk mendengarnya dan menghidangkan minda yang jernih untuk berfikir sejenak tentangnya dan kebijaksanaan untuk menapisnya.

10 Saya melihat sekarang cukup ramai orang yang mahu menegur UMNO.Mereka menegurnya dengan berbagai-bagai cara. Ada orang yang cukup konsisten menegur UMNO, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad.

11 Sepatutnya kita berterima kasih kepada Tun kerana beliau tidak jemu-jemu mengingatkan UMNO khasnya dan BN amnya.

12 Saya tidak hairan jika Tun Dr Mahathir menegur parti sebab itulah yang dilakukannya selama ini. Tetapi jika beliau tiba-tiba sahaja mendiamkan diri daripada bercakap tentang UMNO, itu yang sepatutnya menjadi kebimbangan.Selagi beliau boleh bercakap mengenai UMNO dan BN, itu dikira ok.

13 Teguran Tun cukup konsisten.Itu melambangkan keikhlasan beliau dan sayangnya beliau kepada UMNO.

14 Jika beliau selalu mengingatkan bahawa tidak mustahil BN akan tumbang dalam PRU ke-13 jika sesuatu perubahan tidak dibuat, itu sebenarnya menggambarkan yang beliau tidak rela parti yang sudah berjasa dan terbukti nilai bandingnya itu kecundang.

15 Beliau seolah-olah mahu membangkitkan semangat ahli-ahli parti supaya tidak terus berada dalam zon selesa, berpuas hati dengan usaha yang dilakukan dan mengejar sesuatu untuk kepentingan diri.

16 Mujurlah ada Tun Dr Mahathir. Jika tidak, UMNO dan BN tidak tahu setakat mana kekuatannya sekarang.Dengan keberanian Tun ramai orang yang akan lebih berani membetulkan parti.

Hakcipta Abd Bashid Harun