1 Saya adalah antara jutaan rakyat Malaysia yang hanya mahukan sebuah negara yang aman.Keamanan yang saya maksudkan ialah saya tidak mahu negara ini menjadi lebih buruk daripada apa yang ada sekarang. Ada orang kata negara kita sekarang tidak cukup baik kepada mereka. Tetapi bolehkah saya mempercayai janji-janji keamanan dan kemakmuran yang dilaungkan dengan rasa marah atas nama dendam dan kecewa oleh minoriti yang ada rekod buruk dalam peribadi dan parti.
2 Ada juga yang berkata bahawa negara kita tidak cukup bersih lalu cuba dibersihkan melalui perhimpunan BERSIH, tetapi saya tidak melihat mereka yang dikaitkan dengannya bersih atau jauh lebih bersih daripada pemimpin dan kerajaan yang mereka tidak senangi itu.
3 Saya melihat dalang-dalangnya adalah individu-individu yang begitu banyak cerita kotor dikaitkan dengan mereka, bermula daripada percakapan yang kotor sehinggalah cerita-cerita peribadi yang kotor yang kadang-kadang jauh lebih menjijikkan dan di luar tabii.
4 Sebagai orang Islam salah satu cara untuk kita membersihkan diri ialah melalui ibadat Haji. Kita menunaikan rukun Islam kelima dengan mengunjugi makkatul mukarramah. Salah satu rukun Haji ialah melakukan tawaf di ka’abah.Melalui ibadat tawaf jemaah haji seolah-olah mengapungkan diri mereka sambil mengalirkannya di dalam putaran air yang begitu kuat dan besar. Seluruh badan kita seolah-olah diputar dalam pusaran itu semasa proses pembersihan diri itu. Tetapi pernahkah individu yang dikaitkan dengan perhimpunan BERSIH itu membersihkan diri mereka melalui ibadat tawaf itu. Ambiga? Anwar?
5 Adakah beberapa orang yang menganjurkan perhimpunan BERSIH itu lebih cintakan negara ini dan lebih dambakan keamanan daripada majoriti rakyat Malaysia yang lain. Atau sebaliknya mereka tidak berapa senang dengan suasana aman dan bersih di negara ini di bawah teraju kerajaan BN lalu mereka mahu mengganggunya yang akhirnya itulah alasan mereka untuk menunjukkan yang negara kita tidak aman dan tidak bersih.
6 Sesungguhnya banyak perkara yang kita boleh lakukan dalam keadaan aman, baik untuk dunia kita atau untuk keperluan akhirat kita.Kita masih boleh pergi dan balik dari tempat ibadat dalam keadaan selamat walhal ada di negara lain yang rakyatnya belum tentu sampai ke rumah setelah pulang daripada masjid atau madrasah.Kita boleh menyuap untuk diri sendiri dan anak-anak kita ketika orang lain tiada tangan untuk menyuap dan tiada makanan untuk disuap disebabkan peperangan dan kesmusnahan.
7 Jika kita boleh membuat pilihan mengenai ajal kita, kita mahu mati dalam aman sebagaimana kita mahu hidup dalam keadaan aman. Tetapi bolehkah kita mati dalam aman jika memikirkan bagaimana untung nasib anak-anak dan cucu-cucu yang kita tinggalkan dalam keadaan negara yang tidak menentu seperti yang cuba diwujudkan sekarang ini.
8 Sesungguhnya keamanan inilah yang saya ajarkan kepada anak-anak didik saya semasa saya mengajar subjek sejarah, pendidikan sivik dan kewarganegaraan, agama Islam dan Bahasa Melayu. Inilah nilai yang selalu saya sebutkan kepada anak-anak saya apabila melihat suasana tidak stabil di beberapa buah negara lain.
9 Keamanan inilah yang ditiupkan oleh bekas guru-guru saya di sekolah. Saya seperti juga jutaan rakyat Malaysia yang lain yang akan memberikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan Barisan Nasional cukup faham dan jelas bahawa perlembagaan, undang-undang dan begitu banyak akta yang digubal di negara ini, matlamat akhirnya adalah menuju ke situ, iaitu keamananan.
10 Malahan sebagai guru saya telah lama memahami bahawa peraturan sekolah digubal dan tindakan disiplin diambil ke atas murid yang melakukan salah laku adalah untuk mewujudkan keamanan di sekolah agar semua murid boleh menikmati pembelajaran dalam suasana yang tenang dan kondusif.
11 Jadi saya seperti juga jutaan rakyat Malaysia yang lain yang cintakan keamanan akan menyokong apa jua usaha kerajaan untuk mengekalkan keamanan di negara ini. Atas semua sebab itu, saya seperti juga rakan-rakan lain yang cintakan keamanan tentunya akan berasa kesal yang amat sangat apabila ada elemen ketidakamanan yang cuba dicetuskan oleh individu tertentu di negara ini tidak diambil tindakan tegas terhadap mereka.
12 Jika ada kemarahan saya sebagai penyokong kerajaan, inilah satu-satunya kemarahan saya iaitu apabila saya melihat kerajaan saya yang dengan susah payah membangunkan negara sampai menjadi seperti hari ini tidak bertindak tegas ke atas mereka yang terbabit.
13 Saya amat kesal jika keamanan negara ini tergugat hanya disebabkan tindak tanduk beberapa orang rakyat di negara ini, dan lebih kesal lagi jika mereka dibiarkan terus menabur firnah dan bertindak ikut suka hati mereka setelah apa yang telah mereka lakukan ke atas negara ini.
14 Minoriti ini seolah-olah mahu kerajaan mendengar kehendak mereka dan tunduk kepada kemahuan mereka. Mereka melakukannya seolah-olah mereka mewakili rakyat majoriti. Mereka seolah-olah sangat berkuasa sekarang ini.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Minoriti Yang Ingin Menentukan Majoriti "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply