1. Menjadi Perdana Menteri selepas Mahathir bukanlah mudah. Tetapi Pak Lah tidak dapat mengelakkannya.Memang ada yang tidak bersetuju dengan Pak Lah. Tetapi ini bukan bermakna kerajaan harus menanggung risikonya.

2. Nasib Pak Lah agak sedikit berat sebab beliau menjadi Perdana Menteri selepas Tun Dr Mahathir. Dia sendiri akui akan kesulitan yang bakal dihadapinya. Antaranya Pak Lah tidak dapat mengelakkan diri daripada terpaksa dibandingkan dengan mantan Perdana Menteri itu.

3. Mantan PM itu telah meninggalkan legasi yang bukan sedikit untuk negara ini. Sebabnya beliau memerintah agak lama yang tentunya memberi ruang yang luas kepadanya untuk melakukan banyak perkara. Rakyat bukan sahaja dapat melihat malahan merasakan dan menggunakan legasi itu.

4. Sebut apa sahaja semuanya ada kaitan dengan Tun Dr Mahathir Mohamad. Dari kad perakam waktu, tanda nama, menyeragamkan masa antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, sehinggalah kepada lebuh raya dan KLIA.

5. Jadi Pak Lah dari segi logiknya tidak akan memberi tumpuan kepada pembinaan ini sebab hampir kesemuanya sudah ada. Apa yang Pak Lah boleh lakukan ialah maintain semua itu dengan memastikan semua kemudahan bertaraf dunia itu digunakan dengan sebaik-baiknya.

6. Bagi memastikan kemudahan itu digunakan sebaik-baiknya, Pak Lah terpaksa menekankan aspek pembentukan minda kelas pertama. Maksudnya semua kemudahan yang telah diasaskan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad akan lebih bermakna dan membawa manfaat yang lebih besar sekiranya yang menggunakannya adalah warga Malaysia yang mempunyai minda kelas pertama.

7. Jadi apa yang sedang diusahakan oleh Pak Lah adalah tepat iaitu untuk memperkukuh asas yang telah dibangunkan oleh Tun dan memastikan adanya kesinambungan. Tun Dr Mahathir Mohamad ternyata memilih orang yang tepat. Orang yang tidak terlalu berselera besar untuk membangunkan sesuatu yang baru tetapi mempunyai kelebihan untuk mengekalkan yang sedia ada di samping menggilapnya. Ternyata Pak Lah memang berupaya mengekalkannya.

8. Tetapi kritikan terus juga dilontar kepada Pak Lah oleh mereka yang tidak menyenangi beliau. Sebahagian yang melontarkan kritikan adalah kerana mereka masih melihat dominasi kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad dan merasakan Mahathir masih berupaya menjadi Perdana Menteri.

9. Mereka ini melihat kepada faktor individu, dan tidak melihat kepada realiti zaman bahawa sampai masanya pertukaran kepemimpinan pasti berlaku, di mana yang lama akan berundur dan yang baru akan menggantikannya.

10. Yang mengkritik juga selalu mengharapkan orang yang menggantikan bersikap sama kalau tidak pun menjadi lebih baik daripada yang sebelumnya. Menjadi sama atau menjadi lebih baik itu adalah bersifat relatif (sulit untuk diukur).

11. Sebagai seorang Perdana Menteri beliau seperti juga PM sebelumnya mempunyai kuasa untuk membuat sesuatu keputusan. Walaupun keputusan selalu dibuat secara bersama dengan anggota kabinet yang lain, tetapi akhirnya kata putus Perdana Menteri juga yang akan menentukannya. Atas perkiraan itu, beliau boleh sahaja menggunakan staill yang semuanya baru, dan tidak sama dengan sebelumnya.

12. Tetapi Pak Lah tidak mengambil peluang itu. Beliau masih mengekalkan hampir kesemua legasi Mahathir, antaranya Wawasan 2020. Tetapi jika orang memaksa Pak Lah menggunakan cara yang sama atau hampir sama dengan Tun, itu tentu tidak dapat beliau lakukan.

13. Setiap individu mempunyai stail atau caranya yang tersendiri yang membezakan dirinya dengan orang lain. Inilah juga yang berlaku pada Pak Lah. Di sinilah terletaknya “kemerdekaan” diri iaitu apabila seseorang itu dapat menjalankan stail masing-masing.Hakcipta GuruBashid