Setiap masalah mesti ada puncanya. Masalah itu tidak datang secara tiba-tiba. Masalah itu mungkin bermula daripada peringkat yang kecil, kemudian membesar dan akhirnya membengkak. Masalah yang berlaku dalam UMNO/BN seperti sekarang ini mungkin berpunca daripada satu masalah dasar.Masalah-masalah lain itu mungkin bercambah daripada masalah dasar itu. Masalah yang satu itu saya namakan titik masalah. Titik masalah itu mungkin menjadi Critical Success Factor (CSF) yang jika CSF itu diubah/diatasi ia akan berjaya menyelesaikan masalah-masalah yang lain. Maksud yang lain apabila CSF itu berjaya diatasi maka masalah yang lain turut diatasi dengan sendirinya. Persoalannya sekarang, apakah atau siapakah yang menjadi Critical Success Factor (CSF) yang seakan-akan bertindak sebagai main switch kepada penyelesaian permasalahan UMNO dan Barisan Nasional itu. Maka menjadi tanggungjawab kepada semua pihak dalam UMNO, khususnya para pemimpin untuk mencarinya, dan apakala sudah menemuinya mesti mengatasinya.
Bagi saya yang lemah ini saya melihat masalah itu berpunca daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Jika anda dapat menangani Tun Dr Mahathir bererti anda dengan mudahnya menangani masalah-masalah yang lain. Mahathirlah yang menjadi CSF itu. Tetapi bagaimana anda mendekatinya? Adakah anda bersedia untuk berdepan dengannya? Pada saya jika anda melayan Tun Dr Mahathir dengan baik dan mendengar pandangan-pandangannya, ia tidak akan bersikap seperti yang ada sekarang. Anda tidak boleh menutup mulutnya tetapi anda boleh menghargai pemikiran dan pandangannya. Anda patut melayan Mahathir secara yang sepatutnya. Anda tidak boleh menyamakan layanan kepada Mahathir dengan layanan kepada orang lain sebab dia adalah mantan Perdana Menteri yang cukup berjasa. Sumbangannya sangat besar dan boleh dilihat di mana-mana. Jadi orang ini perlu diberi tempat dan dilayan dengan cara yang paling wajar. Melayan beliau di tepi-tepi jalan dan menyuarakannya melalui surat khabar dan media bukanlah penyelesaian yang baik. Anda harus mengundangnya, memberinya ruang dan peluang, mendengar apa yang ia mahu katakan dan seterusnya bersedia untuk mempertimbangkan pendapatnya. Malahan jika ia perlu diletakkan sebagai Penasihat UMNO/BN atau dilantik sebagai Menteri Kanan, bukanlah satu kesalahan. Kalau Singapura boleh melakukan perkara itu ke atas Lee Kuan Yew, mengapa perkara yang sama tidak boleh dibuat ke atas mantan Perdana Menteri itu. Tun Mahathir tidak mungkin meminta itu semua, tetapi kita yang belajar daripada permasalahan yang dihadapi dan pandai menghargai orang yang berjasa patut memahaminya. Pernahkah kita mengundangnya secara rasmi sebagai Penasihat atau menawarkan jawatan yang sepatutnya kepada beliau. Ini yang patut difikirkan, bukan terus mencari salahnya.
Selama ini saya melihat Dr Mahathir seolah-olah tiada wadah berkesan untuk menyalurkan pandangannya sehingga ia terpaksa menggunakan platform lain yang sebenarnya lebih meluaskan peluang untuk musuh BN dan UMNO memanipulasinya. Anda harus memanfaatkan Tun sebelum orang lain menggunakannya. Tetapi jika anda melayannya sebagai musuh, tidak mustahil anda akan menerima tamparan yang lebih hebat. Mahathir bukan musuh kita. Mahathir dan ideanya boleh sahaja menjadi aset besar kepada pembangunan negara. Saya tidak fikir yang Tun Mahathir mempunyai niat untuk merosakkan kerajaan, meruntuhkan bangsa dan parti. Apa yang dilakukan oleh beliau adalah didrong rasa cintanya yang besar kepada bangsa dan parti. Masalahnya bukan terletak pada Mahathir, tetapi bagaimana kita memahami tentang diri dan idea yang cuba dilontarkannya. Bagi saya jika anda dapat mendiamkan dirinya anda memang hebat. Tetapi bagaimana anda mendiamkan dirinya jika anda sendiri menerima kehadirannya sebagai orang yang disyaki. Hakcipta GuruBashid
______________________________
***Artikel di atas turut disiarkan dalam cybertroopers











No user commented in " Mahathir Sebagai Critical Success Factor "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply