” Di luar sana ada dua orang yang sangat berpengaruh, satu namanya Mahathir dan satu lagi namanya Anwar. Jika kedua-dua individu berpengaruh ini menyerang UMNO dan BN secara bertali arus, saya khuatir sampai suatu peringkat BN dan UMNO tidak akan mampu bertahan. Dan ketika itu benarlah ramalan Mahathir bahawa BN akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 ,” GuruBashid
1. Belum pun menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia, Najib sudah diduga oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dengan telahan mantan Perdana Menteri itu yang Najib akan meneruskan dasar-dasar Pak Lah.
2. Najib cuba diperlihatkan oleh Mahathir sebagai pemimpin negara yang kurang berkemampuan mendepani krisis ekonomi negara yang berkaitan dengan krisis ekonomi global.
3. Bukan sekadar itu, malah Mahathir cuba mengajak orang ramai percaya akan kata-katanya bahawa Obama sendiri tidak akan mampu mengatasi masalah ekonomi global yang berlaku sekarang ini.
4. Najib tentu sayu bercampur terharu mendengar kenyataan orang yang paling dihormati dan dianggap guru itu selain almarhum ayahnya sendiri.
5. Tetapi saya kira Najib sudah bersedia dengan apa jua yang akan diperkatakan oleh negarawan itu kepada dirinya, UMNO dan kerajaan.
6. Sesiapa pun yang menjadi pemimpin nombor satu selepas Mahathir dan ketika Mahathir masih hidup tentu tidak akan terlepas daripada menerima penilaian atau kritikan mantan Perdana Menteri itu. Najib tentu bersedia untuk itu.
7. Mahathir benar-benar mengotakan janjinya apabila beliau pernah berkata bahawa suaranya mungkin lebih keras lagi ketika dia berada di luar kerajaan. Apatah lagi ketika ini beliau berada di luar UMNO.
8. Malahan postingnya yang terbaru dalam blog beliau berkaitan isu rasuah dan kepemimpinan Najib bertajuk RASUAH DAN KEAZAMAN POLITIK, Mahathir benar-benar ingin membuktikan yang beliau serius dalam sarananya untuk memberi tekanan kepada UMNO mengenai gejala rasuah sebagaimana yang disebutnya sebelum ini.
9. Saya kira ini baru di peringkat permulaan, tetapi lebih banyak lagi tekanan yang beliau akan berikan selepas ini, khususnya yang berkaitan rasuah dalam UMNO seperti yang beliau sebut dalam ucapannya yang disampaikan dalam Siri Wacana Gapena V bertajuk Dilema Melayu anjuran Gapena pada 22 November yang lalu.KLIK DI SINI.
10. Nampaknya Najib benar-benar ingin dicuba oleh Guru politik negara dunia ketiga ini tentang ketahanan dalamannya menghadapi semua ini.
11. Jika Pak Lah memilih pendekatan berdiam diri dengan menyisih terus daripada Mahathir dan menyerang di penghujungnya yang dianggap sebagai satu kesilapan bagi ramai pihak, saya percaya Najib yang telah mendapat pengajaran terbaik ini akan menggunakan pendekatan lebih hlolistik, realisitik, matang dan bijaksana.
12. Beliau saya kira akan berhadapan dengan sang guru itu sebagai seorang pelajar cerdik yang ingin menambah pengetahuannya dan di suatu segi yang lain beliau ingin diterima sebagai pemimpin berkesan yang akan menyediakan rasional di sebalik tindakan-tindakannya.
13. Beliau sedar Mahathir adalah seorang pemimpin yang rasional dan kritis dalam setiap tindakan yang beliau ambil. Maka saya kira Najib akan turut menggunakan pendekatan ini dalam setiap tindakan beliau dan kritikan yang dituju kepadanya.
14. Saya yakin Najib tidak akan menggunakan pendekatan ignore (melainkan sesekali sebagai strategi) atau membiarkan sahaja kritikan ke atas kerajaan dan UMNO berlalu tanpa sebarang jawapan.
15. Malahan Najib sudah dilihat memulakan pendekatannya itu apabila beliau cuba bersikap lebih REALISTIK dengan memberitahu bahawa usaha memerangi rasuah bukannya mudah dan telah lama berlaku dalam UMNO. KLIK DI SINI.
16. Tanpa menyinggung perasaan Tun Mahathir, beliau dengan nada halus tetapi sinis dan KRITIS memberitahu bahawa ketika Mahathir melepaskan jawatan Perdana Menteri pun beliau berasa kecewa kerana usaha memerangi gejala rasuah ini masih belum berjaya.
17. Malahan dia meyakinkan pengkritiknya dengan membentangkan beberapa TINDAKAN dalam usaha membanteras rasuah ini, iaitu dengan mencadangkan langkah tambahan yang lebih komprehensif, di samping memerlukan kekuatan politik dan komitmen yang kukuh,
18. Nampaknya Najib tidak membiarkan perkara yang menduga dirinya itu berlalu begitu sahaja tanpa sebarang RASIONAL dan tindakan.
19. Lebih daripada itu Tun Dr Mahathir meramalkan yang BN akan kalah teruk dalam Pilihan Raya Umum ke-13. Jika ramalan beliau mengenai keputusan pilihan raya umum sebelum ini diambil kira, tidak mustahil ramalan itu akan turut menjadi kenyataan.
20. Tetapi saya kira apa yang diberitahu oleh Mahathir itu bukanlah suatu ramalan, tetapi lebih kepada tekanan optimum ke atas UMNO supaya pemimpin UMNO tidak akan berasa selesa dalam situasi buruk yang menimpa parti.
21. Ada yang melihat apa yang dilakukan oleh Mahathir, termasuk yang ini sebagai menyerang UMNO dan pemimpinnya, tetapi bagi saya beliau lebih banyak mencabar sambil meramal berdasarkan apa yang sedang berlaku untuk dijadikan garis sempadan dalam mengemudi parti.
22. Ada juga yang melihat Mahathir sebagai faktor yang cukup dominan yang tidak dapat tidak menjadi penyumbang kepada kebangkitan dan seterusnya kejayaan pembangkang. Lebih tepat lagi tindakan Mahathir itu memberi kelebihan kepada parti pembangkang di negara ini.
23. Niat Mahathir seperti juga niat manusia yang lain, tak seorang pun yang tahu. Ketika Mahathir mengasak Najib, dan sebelumnya Pak Lah dan UMNO, beliau boleh sahaja mendakwa yang beliau berbuat begitu dengan bertujuan baik.
24. Tetapi yang tidak dapat ditipu ialah apa yang dapat dibaca melalui tulisan-tulisan beliau dan apa yang dapat didengar melalui perkataannya. Niat yang baik atau buruk hanya Tuhan yang tahu, tetapi apa yang beliau buat, tulis dan kata itu memang jelas lagi nyata.
25. Dengan apa yang dikatakan oleh Mahathir terhadap Najib dan UMNO, dan apa yang beliau tulis dalam blognya, seolah-olah memberi satu kelebihan yang bukan sedikit kepada parti lawan.
26. Lebih tepat lagi kenyataan beliau yang menghentam UMNO dan pemimpin tertentu selalunya akan digunakan sebagai modal yang akan diberi tokok tambah di sana sini bagi menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. Malahan sesetengah blogger akan mencanangkannya secara berlebihan sebagai tanda kegembiraan.
27. Dengan cara-cara Mahathir yang dianggap sesetengah pihak terlalu agresif itu, kerja-kerja pembangkang menjadi lebih mudah dan serentak dengan itu kerja-kerja pemulihan UMNO dan BN akan menjadi semakin payah.
28. Di luar sana ada dua orang yang sangat berpengaruh, satu namanya Mahathir dan satu lagi namanya Anwar. Jika kedua-dua individu berpengaruh ini menyerang UMNO dan BN secara bertali arus, saya khuatir sampai suatu peringkat BN dan UMNO tidak akan mampu bertahan. Dan ketika itu benarlah ramalan Mahathir bahawa BN akan kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13.
29. Meskipun Mahathir dilihat memusuhi Anwar dan Anwar pula memusuhi Mahathir, namun dari sudut sumbangan mereka membuli UMNO dan mencederakannya dalam Pilihan Raya yang lalu dikira berjaya.
30. Kalau Pak Lah dikritik ketika dia menjadi Perdana Menteri, Najib menerima nasib yang lebih teruk lagi apabila beliau dikritik sebelum dia berkesempatan menduduki jawatan nombor satu itu.
31. Ketika Pembangkang menyerang Najib dengan cubaan mereka mengaitkan diri beliau dan isterinya dengan Altantuya, Mahathir pula mengaitkannya sebagai pak turut kepada Pak Lah dan ketidakmampuan Najib menangani isu rasuah dan masalah ekonomi global.
32. Ia diserang pada waktu larut malam ketika dia belum sempat untuk bangun lalu duduk di kerusi nombor satu sambil membuktikan bahawa beliau berkemampuan sebagai bakal pemimpin parti dan kerajaan.
33. Kalau Pak Lah dinilai setelah sepenggal beliau memerintah, nampaknya penilaian yang diberi kepada Najib lebih awal lagi atau terlalu awal, iaitu sebelum dia menjadi Perdana Menteri.
34. Adakah serangan begini dianggap berpatutan oleh Mahathir dengan mengharapkan ini sebagai satu cabaran atau tekanan optimum yang sengaja diberi kepada Najib agar akhirnya Najib memiliki ketahanan yang utuh sebagai persiapan intelektual, rohani, emosi dan jasmani sebelum beliau memegang jawatan penting itu.
35. Kalau benar itu merupakan satu cabaran yang sengaja dibeban kepada Najib, tidakkah itu satu pukulan yang dikira keterlaluan oleh seorang yang pernah mendapat keistimewaan untuk duduk di tempat tertinggi dalam UMNO dan kerajaan selama 22 tahun ke atas seorang yang belum pun mendapat tempat, peranan dan keistimewaan yang sama.
36. Persoalannya bagaimana kepemimpinan Najib nanti berupaya mendiamkan Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang berusia lebih 80 tahun, tetapi masih diiktiraf berkemampuan sebagai pemikir kelas pertama?
37. Kalau Pak Lah berusaha menjarakkan diri daripada mantan Perdana Menteri itu, apakah Najib akan mengambil usaha yang berlawanan dengan mendekatkan diri dengan mantan Perdana Menteri itu?
38. Pada saya Najib lebih beruntung dalam banyak segi dan dianggap lebih berupaya daripada Pak Lah sendiri. Malahan pada sesetengah perkara saya berharap beliau menjadi lebih baik daripada Perdana Menteri keempat itu.
39. Alasan saya mudah. Bukankah Najib telah mengalami dua era pemerintahan itu. Satu era yang begitu agresif, penuh kritis dan rasional dan satu lagi era yang bertahan, lebih demokratik dan tenang.
40. Pilihan di tangan Najib. Beliau boleh memilih untuk menjadi seperti Mahathir atau Pak Lah. Tetapi saya tak fikir Najib akan menjadi peniru totok kepada kedua-duanya.
41. Sebagai seorang anak kepada negarawan ulung, allahyarham Tun Abdul Razak yang merealisasikan DEB dan Felda, Najib melihat sendiri usaha ikhlas ayahandanya untuk mengangkat martabat orang Melayu/bumiputera dan golongan berpendapatan rendah agar tidak jauh ketinggalan daripada bangsa-bangsa lain di negara ini.
42. Kalau Mahathir telah berjaya memajukan Malaysia sehingga dikenali oleh dunia luar melalui pemikiran globalnya; sementara Pak Lah mengembalikan rakyat Malaysia untuk melihat ke dalam diri sendiri melalui modal insannya; Najib pula dilihat ingin mengimbangi kedua-duanya dengan berpegang kepada prinsip GLOKAL.
43. Najib tidak akan meniru bulat-bulat gaya kedua-dua pemimpin itu, tetapi beliau dilihat akan mengguna pakai pendekatan menang menang dengan menghasilkan sinergi daripada kedua-dua stail dan pendekatan kepimpinan sebelum beliau.
44. Ketika beliau tidak akan menjauhi Pak Lah sebagai seorang yang memberinya laluan sehingga ke tahap itu, beliau juga akan lebih mendekati Mahathir dan tidak mustahil akan mengambil iktibar daripada kerajaan Singapura yang melantik Lee Kuan Yew sebagai Menteri Kanan.
45. Adalah lebih baik bagi Najib bersangka baik dengan kritikan Mahathir dan menerimanya jika bersesuaian daripada tertekan dengan kritikan pembangkang yang berterusan dan tidak ketahuan.
Wallahu a’lam.
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Mahathir Mula Menduga Najib "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply