1. Saya masih belum jelas apakah yang dimaksudkan dengan kerajaan perpaduan. Apakah bentuk, contoh dan rujukannya? Tetapi saya bersedia melupakan persoalan ini sebab saya lebih tertarik kepada idea perpaduan itu.

2. Apa pun yang bermatlamatkan perpaduan dan penyatuan wajar disokong. Itulah yang sepatutnya dan menjadi harapan ramai orang.

3. Tetapi itu kata kita. Pandangan orang awam seperti kita. Orang-orang politik yang lebih gemar membaca sesuatu yang tersirat daripada yang tersurat belum tentu dapat menerimanya.

4. Disebabkan orang-orang politik yang memulakannya, maka orang politik jugalah yang bertanggungjawab menjelaskannya.

5. Jika di pihak yang mencetuskan idea itu sendiri tidak faham sepenuhnya tentang apa yang dicadangkan serta gagal memberi kefahaman kepada ahli-ahli mereka sendiri, bagaimana mereka dapat memahamkannya kepada orang lain.

6. Lebih banyak sangkaan, syak dan fikiran yang bukan-bukan bermain dalam kepala mereka sekarang ini, bukan sahaja di pihak yang mencetuskan idea, tetapi di pihak yang disasarkan idea tersebut.

7. Biasalah. Jika orang ramai berfikir selapis, orang politik fikir berlapis-lapis. Sebab seseorang itu menjadi ahli politik ialah kerana fikirannya yang berlapis-lapis itu.

8. Orang politik memang cerdik tetapi mereka lebih suka mengemukakan pandangan dari sisi yang berbeza.

9. Buktinya mereka kadang-kadang dapat mencetuskan idea atau pandangan yang luar biasa. Tetapi disebabkan sifat tergesa-gesa mereka, idea itu seringkali ditinggalkan dalam keadaan samar-samar tanpa mahu melengkapkan atau menyudahinya.

10. Mereka sengaja membiarkan orang ramai menggunungkan idea tersebut. Tak jelas pula pada kita apa puncanya. Sama ada mereka mahu mendengar pandangan rakyat atau mereka benar-benar tidak tahu.

11. Apabila mereka sudah menemui pandangan yang terbaik mereka pun menggunakannya tanpa mahu memberitahu bahawa pandangan tersebut telah dicetuskan oleh seseorang.

12. Ketika kebanyakan orang lebih gemar melihat sesuatu itu secara mudah, orang-orang politik pula tidak memudahkan sesuatu walaupun isu itu isu remeh.

13. Banyak pertimbangan patut diberi supaya tiada pihak yang rugi. Meskipun usaha ini bukannya mudah setelah ada yang mendakwa tersinggung dengannya, namun kita tidak boleh mengharapkan ini berlaku dengan syarat dan alasan yang ketat dan ada niat mengena di sebaliknya.

14. Saya mahu kedua-dua parti yang berhasrat untuk berpadu berunding dengan baik dan diberi cukup masa masa serta ruang untuk berbincang mengenainya.

15. Kita sudah lama berpecah. Kita pun sudah muak dengan perpecahan di antara kita yang sebenarnya tidak menguntungkan apa-apa kepada kita.

16. Rakyat di luar sana sedang melihat apa yang sedang para pemimpin mereka buat. Rakyat sepatutnya tidak dilibatkan dengan sebarang pertelingkahan antara pemimpin parti.

17. Mereka patut menyokong usaha murni ini. Rakyat harus faham bahawa jumlah kita bukanlah terlalu besar untuk menghadapi bahaya daripada perpecahan itu.

18. Musuh-musuh kita merancang hanya yang jahat-jahat untuk kita. Salah satu yang mereka bersepakat untuk menyokong kita ialah perpecahan yang berlaku di antara kita.

19. Mereka tidak akan senang jika kita bersepakat. Sebab itu sebarang usaha ke arah persepakatan dan permuafakatan akan dipandang sinis dan diragui.

20. Sebabnya mudah. Bukankah dengan perpecahan itu memudahkan mereka memainkan peranan jahat mereka, melancarkan matlamat buruk mereka untuk memusnahkan kita dan seterusnya akan memberi keuntungan yang bukan sedikit kepada mereka.

21. Apabila perpecahan sudah berlaku, ia hanya menunggu untuk bersepai dan kemudian lebur. Amat sulit untuk disatukan apabila keadaannya seperti nasi sudah menjadi bubur.

22. Jadi sebelum terlambat dan menjadi petaka kepada Malaysia, lebih baiklah kita berhusnudzan dengan lawan politik kita sambil berfikir positif bagaimana kita boleh menyatukan mereka.

23. Sejak akhir-akhir ini sudah jarang-jarang kedengaran suara yang menyeru kepada perpaduan dan persaudaraan. Yang kerap didengar ialah kelantangan pendakwah dan khatib yang mengulang-ulang ungkapan kembalilah kepada ajaran Islam. Seolah-olah perpaduan dan persaudaraan itu bukan salah satu tuntutan dalam ajaran Islam.

24. Ayat yang menyeru supaya ” orang Islam itu bersaudara dan damaikanlah dua saudara kamu yang bermusuhan ” kini jarang-jarang kedengaran dikumandangkan baik dalam ceramah, kuliah mahu pun dalam khutbah jumaat.

25. Barangkali ayat itu lebih berguna ketika kita benar-benar lemah dan terhimpit. Tetapi adakah kita mesti menunggu sehingga ke tahap itu baru kita hendak mempraktiskan perpaduan?

26. Ketika sebahagian kita berasa masih kuat dan ada tempat lain untuk bersandar kita buat-buat lupa dengan formula perpaduan yang disaran oleh Tuhan sebagaimana yang terkandung dalam ayat-Nya.

27. Yang saya paling khuatir ialah kalau-kalau kita tidak sempat pun mengungkapkan ayat itu lagi kerana ketika itu kita sudah menjadi sangat terdesak untuk menjaga keselamatan nyawa masing-masing.

28. Sesiapa yang terlibat dalam dunia politik patut sedar bahawa dalam politik segala-galanya mungkin. Hari ini seseorang menjadi lawan kita, tetapi esok mungkin ia menjadi kawan kita. Begitulah sebaliknya. Tiada yang kekal selagi namanya politik.

29. Dalam situasi politik di Malaysia yang telah tersedia bom jangka yang akan meledak pada bila-bila masa dengan hanya sebab yang kecil, maka ahli-ahli politik patut sentiasa berfikir bagaimana membesarkan saiz parti dan memperkukuh kesatuan yang sedia ada.

30. Sesiapa sahaja pemimpin politik Malaysia yang ingin mempertahankan kumpulannya dan menganggap kumpulan politiknya adalah yang terbaik dan pada masa yang sama menutup pintu daripada membenarkan perpaduan, akan semakin lemah dan akhirnya akan sirna.

31. Kita harus sedar bahawa parti politik adalah ciptaan manusia sedangkan manusia itu sendiri ciptaan Allah. Jika manusia makhluk Allah dikatakan benda baharu, parti politik yang merupakan makhluk manusia tentu lebih baru lagi.

32. Kedua-duanya sama ada manusia yang menubuh dan mendokong parti, mahupun parti itu sendiri tertakluk kepada perubahan dan tidak akan kekal seperti keadaan ia dicipta buat kali pertama.

33. Maka jika parti politik tidak diurus dengan baik, tidak sensitiif dengan kehendak ahlinya serta tidak menjadi lebih menarik daripada zamannya, tidak mustahil ia akan terkubur.

34. Setiap ahli parti mesti dididik oleh pemimpin partinya untuk berbaik-baik dengan semua orang di sekeliling tanpa membezakan aliran pemikiran dan fahaman politik sambil kerap mempromosikan perpaduan, persaudaraan dan penyatuan.

35. Apa yang sepatutnya berlaku, setiap ahli dalam mana-mana parti politik dapat duduk satu meja dan bersembang dengan baik sekali mengenai pelbagai isu khususnya yang menyangkut kebaikan rakyat dan negara.

36. Perbualan mesti berlaku dengan kerap dan tanpa batas serta tiada perasaan curiga antara satu sama lain.

37. Perbualan yang terbaik ialah perbualan yang tidak dimulakan dengan melihat si anu itu dari parti A dan si polan itu dari parti B. Perbualan yang terbaik ialah perbualan sedapat mungkin mengelakkan isu-isu sensitif.

38. Sebaliknya yang pernah berlaku sekian lama ialah ahli-ahli parti diajar untuk melihat ahli parti lain sebagai musuh, yang seringkali digembar-gemburkan sebagai berbahaya kepada kita dan akan mengambil peluang pada bila-bila masa dengan kealpaan kita.

39. Ahli-ahli parti juga sering dikipas dengan semangat kepartian yang sempit dan membelakangi semangat persaudaraan dan perpaduan itu sendiri. Mereka seolah-olah diajar bahawa hanya ahli parti yang akan menyokong dan memperkukuh parti.

40. Sebenarnya tanggapan seperti itu silap. Apatah lagi ketika orang melihat lebih kepada kepemimpinan parti bukan kepada parti itu sendiri. Parti hanyalah alat bukan segalanya. Jika alat itu lebih besar gunanya kepada ahli dan lebih banyak jasanya, maka insya-Allah ahli akan tetap bersama parti.

41. Parti yang berjaya ialah parti yang tidak semata-mata bergantung kepada sokongan dan dokongan ahlinya, tetapi berusaha untuk menarik sokongan ahli-ahli dari parti yang lain.

42. Adakah kefahaman yang diprakstis di medan perang benar dalam konteks perbezaan parti. Dalam peperangan, tentera antara dua pasukan atau negara yang bermusuh tidak mengenali antara satu sama lain. Tetapi atas nama perjuangan untuk mempertahankan negara, mereka dibenarkan membunuh antara satu sama lain.

43. Tetapi dalam medan kepartian, kita hampir mengenali antara satu sama lain dan kadang-kadang yang terlibat adalah ahli keluarga kita, jiran-jiran kita dan kawan-kawan kita. Tetapi situasinya kadang-kadang lebih dahsyat daripada permusuhan di medan tempur itu.

44. Walaupun tidak berlaku pembunuhan dalam erti kata yang sebenarnya, namun hukuman yang dijatuhi ke atas musuh politik kadang-kadang jauh lebih perit kesannya.

45. Dengan menjatuhi lawan dengan hukuman kafir, tidak Islam, ahli neraka dan munafiq walaupun tidak menyebabkan jasad yang terkena itu kehilangan nyawa itu sudah amat besar kesannya.

46. Adakah lebih besar korban yang dilakukan dengan mencabut nyawa daripada diri seseorang daripada cubaan mencabut agama dan kepercayaan yang menjadi anutan daripada diri seseorang.

47. Dalam medan tempur kita tidak mencabut agama dan kepercayaan seseorang, tetapi dalam bidang politik kita sanggup menanggalkan agama dan kepercayaan daripada diri seseorang.

48. Yang anehnya kita dapat melakukannnya tanpa berasa apa-apa apatah lagi jika tebal kepercayaan bahawa kita berada di jalan yang benar dan orang lain berada di jalan yang salah.

Hakcipta Abd Bashid Harun