” Darjah tolak ansur, tahap kesabaran dan semangat kerjasama orang Melayu beragama Islam cukup tinggi. Banyak buktinya. Yang terdekat kita bersedia meminda beberapa perkara yang terkandung dalam novel Interlok atas sebab menghormati kaum India di Malaysia. Apakah buku terbaru Lee Kuan Yew HARD TRUTHS TO KEEP SINGAPORE GOING akan dibuat pindaan khususnya yang berkaitan pandangannya terhadap Malaysia dan Indonesia serta tegurannya ke atas penganut Islam Singapura. Tentu tidak boleh sebab itu ditulis di negaranya. Tetapi bagaimana kalau kita mengharamkan pengedaran dan penjualannya di Malaysia.Tidak boleh juga?. Jika tidak boleh jugak, jelas membuktikan darjah tolak ansur dan kerjasama orang Melayu Islam di rantau ini sangat tinggi. Jadi Lee Kuan Yew tidak perlu risau akan ancaman yang mungkin dibawa oleh orang-orang ini.Orang Melayu beragama Islam sama ada mereka menjadi majoriti seperti di Malaysia dan minoriti seperti di Singapura tetap menjadi orang yang paling tinggi darjah tolak ansur dan tahap kesabarannya.” GuruBashid

1 Sebagai sebuah negara yang terletak di sebuah pulau kecil yang di kelilingi oleh negara dan pulau yang lebih besar, tetapi berstatus maju dan berkembang pesat dalam bidang perniagaan semenjak dijadikan loji perdagangan oleh Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1819, Singapura berhak untuk berasa bimbang akan apa jua kemungkinan ancaman yang bakal dihadapinya.

2 Lee Kuan Yew tentu tidak akan melahirkan rasa bimbang akan nasib golongan majoriti yang diwakilinya di negaranya sendiri, tetapi dalam lingkungan nusantara Melayu, beliau melihat majoriti yang diwakilinya kini sudah menjadi minoriti. Dalam maksud yang lebih mudah penduduk berbangsa Cina yang merupakan kumpulan majoriti di Singapura akan menjadi minoriti jika diambil kira kedudukan Singapura di tengah-tengah himpitan Malaysia dan Indonesia yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.

3 Walau pun Menteri Mentor itu tidak menyatakan hal ini secara terus terang,tetapi inilah sebenarnya kebimbangan yang ingin disampaikan oleh beliau. Sebagai individu yang bertanggungjawab membangunkan Singapura moden dengan susah payah setelah terkeluar dari Malaysia beliau tidak dapat menyembunyikan rasa sayang akan bangsa dan negaranya sehingga timbul rasa cuak dengan lonjakan kebangkitan negara-negara bermajoriti Melayu beragama Islam di sekitarnya.

4 Namun mana-mana pemimpin negara itu tidak berhak untuk menuduh mana-mana negara, apatah lagi jirannya yang dikatakan cuba mensabotajnya hanya disebabkan kedudukan dan status Singapura yang seperti itu.

5 Walaupun kita tidak dapat menghalang mana-mana pemimpin untuk menyuarakan kebimbangan mereka tetapi jika ia dibuat secara terbuka dan ditujukan secara langsung kepada mana-mana negara, ia sebenarnya telah melukakan banyak hati tetangga dan umat Islam yang menjadi penduduknya.

6 Tentunya suara tidak puas hati itu bertentangan dengan semangat negara-negara anggota ASEAN yang berpegang kepada konsep Aman, Bebas dan Berkecuali. Kenyataan Lee Kuan Yew itu jelas mengundang rasa tidak aman dan rasa tidak bebas dalam kalangan rakyat di negara yang dimaksudkan.

7 Ketika kebanyakan pemimpin dunia hari ini tanpa mengira agama anutan mereka sudah muak dengan peperangan dan permusuhan bersusah payah mencari formula penyatuan dan perdamaian,Lee Kuan Yew dilihat mengambil jalan yang berlawanan dengan mengekalkan semangat kebencian, kecurigaan dan kesangsiannya.

8 Kedudukan Malaysia dan Indonesia yang majoriti rakyatnya beragama Islam, tidak sewajarnya dijadikan petunjuk yang kedua-dua negara itu menjadi ancaman kepada negara yang dibuka oleh Sang Nila Utama yang sebelumnya dikenali sebagai Temasik.

9 Saya ingin beritahu pemimpin Singapura bahawa Islam yang dianut oleh majoriti penduduk dunia tidak pernah menjadi ancaman kepada sesiapa. Sebab itu Singapura tidak perlu khuatir dengan faktor pegangan agama penduduk di kedua-dua negara itu.

10 Jika ada pengganas dalam kalangan yang beragama Islam, itu hanyalah suatu kebetulan.Hakikatnya pengganas lebih dipengaruhi oleh ideologi keganasan dan matlamat menghalalkan cara yang menjadi pegangan mereka, tetapi bukan Islam yang mengajar mereka menjadi seperti itu.

11 Jika ada pihak tertentu yang cuba mengaitkan Islam dengan keganasan, itu hanyalah kerana untuk menyediakan alasan bagi menutup perbuatan seperti itu. Selain itu ia turut digunakan oleh mereka yang ada kepentingan tertentu lalu menggunakan Islam sebagai alasan bagi tujuan memberi gambaran buruk terhadap ajaran Islam dan penganutnya.

12 Tetapi jika alasan falasi itu terus menerus digunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebenarnya ia akan memberi gambaran yang semakin buruk tentang Islam yang sebenarnya.Islam yang selalunya diwar warkan membawa mesej keamanan dan kedamaian serta sukakan perdamaian telah dianggap musuh kepada orang lain dan menakutkan.

13 Pemimpin Singapura seperti Lee Kuan Yew tidak perlu takut kepada Islam dan meletakkan penganut Islam di negara itu sebagai kumpulan yang paling tidak terbuka dan paling sulit untuk ditangani sehingga masalah di Singapura dilihat bermula daripada Islam dan penganutnya.

14 Itu hanyalah pandangan peribadi Lee Kuan Yew tetapi dengan mengaitkan masalah di Singapura dengan sikap orang Islam di republik itu serta berasa sangsi pula dengan Indonesia dan Malaysia itu adalah tidak adil.

15 Itu adalah satu kesimpulan yang simplistik yang pernah dibuat oleh seorang pemimpin.Kenyataan seperti itu walaupun dapat mendiamkan orang Islam di Singapura sebab mereka minoriti yang taat, tidak akan memadamkan rasa sangsi orang lain terhadap Islam dan penganutnya untuk jangka panjang.

16 Implikasi daripada kenyataan terbuka seperti itu ialah jika ada apa jua masalah di negara itu orang Islam akan dilihat sebagai puncanya. Orang Islam dan Islam yang menjadi pegangan mereka seolah-olah alasan yang sudah tersedia untuk digunakan.

17 Dan orang Islam pula akan sentiasa terpukul dengan alasan yang sama yang akan digunakan pada bila-bila masa sebagai jalan keluar daripada masalah yang dihadapi oleh negara itu. Sampai bila alasan yang berbaur sentimen keagamaan dan menyentuh sensitiviti kaum itu seperti itu akan terus digunakan.

18 Masalah sebenar tidak akan dapat dikesan dan diselesaikan selagi kita merujuk sesuatu masalah yang berlaku itu kepada dua faktor ini, iaitu agama dan penganut agama itu. Meminta orang Islam mengamalkan Islam yang lebih longgar bererti amalan orang Islam yang sangat sederhana dan cukup tinggi darjah tolak ansurnya dengan kaum-kaum lain itu masih belum mencukupi.

19 Saya melihat cara-cara Israel telah digunakan dengan sebaik-baiknya di negara yang dikelilingi oleh gugusan kepulauan Melayu itu di mana Islam dan penganutnya akan terus diperlekeh dan dijadikan punca masalah.

20 Cara-cara inilah yang digunakan oleh pemimpin Israel ke atas penganut beragama Islam dalam kalangan masyarakat Palestine suatu ketika dahulu sehingga kepercayaan pemimpin mereka yang dipengaruhi oleh zionisme itu akhirnya berkembang subur dan seterusnya berjaya menjadi kepercayaan majoriti rakyat Israel sekarang ini.

21 Jika kefahaman kebencian kepada sesuatu agama dan penganut agama sudah menjadi kepercayaan bagi satu-satu penganut agama dan satu-satu kaum itu ke atas satu kaum dan satu penganut agama yang lain tiada lagi usaha yang dapat menyatukan masyarakat pelbagai kaum dan penganut agama di negara seperti Israel itu.Kesangsian dan kercurigaan akan terus subur dalam masyarakat yang seperti itu.

22 Tekanan yang dikaitkan ke atas sesuatu penganut agama dengan cara meletakkan penganut agama itu sebagai punca masalah yang berlaku tidak akan bertukar kepada keganasan dan peperangan sekiranya minoriti yang terlibat mengambil sikap berdiam diri dan mengalah. Dalam kes di Singapura, itulah yang berlaku di mana minoriti yang beragama Islam mengalah dan mengambil jalan untuk berdiam diri sahaja, dan terima sahaja apa yang dibuat ke atas mereka.

23 Ini hanya boleh terjadi jika penganut agama itu dalam kalangan orang Melayu yang memang terkenal dengan sikap tolak ansur dan kerjasama serta sopan santunnya yang tinggi. Tetapi jika ia berlaku dalam kalangan negara Arab seperti yang berlaku ke atas umat Islam Palestine, peperanganlah yang selalunya menjadi pilihan mereka.

24 Lee Kuan Yew amat beruntung kerana kenyataan terbukanya meminta orang Islam di republik itu bersikap lebih longgar dalam pegangan agama mereka tidak dibantah secara agresif. Bukan kerana orang Islam di Singapura itu minoriti tetapi sebab mereka adalah berbangsa Melayu yang terkenal dengan sifat lemah lembutnya. Dan kelemahlembutan itu diperkayakan lagi dengan Islam yang dianuti yang menyuburkan kedamaian, tolak ansur dan kerjasama yang tinggi.

Hakcipta Abd Bashid Harun