Semalam, 2 Ogos 2008 telah berlangsung Persidangan UMNO peringkat cawangan di tempat tinggal saya. Saya sendiri menawarkan diri bertanding sebagai Ketua Cawangan dan menyaksikan pertandingan dua penjuru antara saya dengan penyandang.
Sebelum itu saya dinasihat untuk tidak bertanding melawan ketua yang sedia ada, dan memadai mengambil tempat di kerusi AJK sahaja. Tetapi atas alasan UMNO sekarang dalam keadaan lemah atau dagang saya mendegilkan diri untuk menawarkan diri bagi membantu melakukan perubahan dalam UMNO.
Tindakan saya itu tentulah tidak popular, apatah lagi permohonan perpindahan keahlian ke cawangan saya ini baru sahaja diluluskan yang memungkinkan sesiapa sahaja boleh beranggapan bahawa perpindahan saya ini bertujuan untuk merebut jawatan per se.
Atas sokongan beberapa orang ahli dalam cawangan di sini keyakinan saya untuk bertanding dan kesediaan menerima apa jua risiko daripada pertandingan merebut jawatan ketua semakin tinggi sekalipun akhirnya saya akan dianggap sebagai pemecah belah dan penderhaka kepada ketua sedia ada.
Mesyuarat yang sepatutnya berlangsung pada jam 10.00 pagi terpaksa ditangguhkan sehingga dua jam kerana tidak cukup korum. Saya berdoa semoga mesyuarat yang sangat penting itu dapat jua diadakan agar kelangsungan demokrasi yang menjadi amalan UMNO selama ini berjaya dilaksanakan.
Saya tidak mahu mesyuarat agung ini menerima nasib yang sama dengan mesyuarat Puteri UMNO yang gagal diadakan atas alasan tidak cukup korum. Malahan saya diberitahu bahawa mesyuarat Pemuda sebelum ini terpaksa diadakan bagi kali kedua setelah mesyuarat kali pertama gagal kerana tiga orang ahli sahaja yang hadir.
Dalam suasana menunggu sehingga korum mencukupi, saya dapat menyaksikan beberapa peristiwa yang sangat mengharukan yang hampir-hampir meneteskan air mata saya seolah-olah mengesahkan pendapat saya sebelum ini bahawa UMNO sekarang memang mengalami masa sulitnya. UMNO sekarang benar-benar mengalami zaman dagang seperti zaman permulaan pertubuhan Melayu itu diasaskan oleh Dato’ Onn Jaafar.
Dalam keresahan menunggu itu, saya melihat kelibat seorang ahli UMNO veteran (rambutnya pun dah putih) beredar dari khemah mesyuarat yang ditempatkan di perkarangan rumah penyandang Ketua UMNO Cawangan. Saya menyangkakan dia pulang setelah bosan menunggu sekian lama, tetapi rupa-rupanya dia kembali semula dengan membawa isterinya. Ini cukup mengharukan saya.
Tidak lama selepas itu empat orang wanita UMNO yang sudah berumur kelihatan berjalan perlahan ke arah tempat perhimpunan. Saya mengenali mereka sebagai ahli UMNO yang berdaftar di cawangan ini yang tinggal di kampung bersebelahan. Begitu bersemangatnya orang-orang tua ini untuk datang bagi memilih pemimpin cawangan mereka dengan berjalan kaki atas kecintaan mereka kepada UMNO.
Adakah semangat ini turut dirasakan oleh ahli-ahli UMNO yang muda-muda? Ke mana mereka pada hari penting itu sedangkan suara, tenaga dan idea mereka amat diperlukan bagi memantapkan UMNO? Bukankah UMNO akan diwariskan kepada mereka dan merekalah nanti yang bakal melanjutkan perjuangan warisan Dato’ Onn ini.
Saya hanya melihat beberapa orang muda pada hari itu. Ke mana yang lain? Adakah mereka bekerja pada hari itu? Atau mereka sudah menganggap acara-acara pemilihan seperti itu sudah tidak penting lagi. Adakah semua ini didorong oleh kebosanan mereka melihat orang yang sama dipilih setiap kali diadakan pemilihan dan suasana taman yang sama sahaja tanpa sebarang perubahan?
Setelah menunggu hampir dua jam, akhirnya penyandang Pengerusi Tetap mengumumkan jumlah ahli mesyuarat mencukupi bagi membolehkan pemilihan diadakan. Mesyuarat berjalan lancar dalam keadaan cuaca yang mengizinkan.
Al-hamdulillah, sungguhpun ahli-ahli di sini belum bersedia menerima saya sebagai ketua mereka namun isyarat yang mereka inginkan perubahan cukup jelas.
Dengan jawatan AJK yang diberi kepada saya dan beberapa orang penyokong saya, saya yakinkan mereka bahawa “Inilah permulaan bagi perubahan yang kita inginkan. Kita mesti bersedia berubah dengan peranan kecil yang diberi kepada kita. Ini lebih baik daripada mereka menolak kita langsung.”.
Malahan bagi memastikan perpaduan ahli UMNO di sini tetap utuh, dalam ucapan penangguhan, saya meminta semua penyokong saya menerima keputusan ini dengan hati terbuka kerana inilah keputusan yang dikehendaki oleh majoriti ahli di sini.
Hakcipta Abd Bashid Harun

















3 users commented in " Kali Pertama Bertanding Ketua Cawangan "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackAssalamualaikum ustaz,
Ketika membaca posting ini saya sedikit terkejut kerana ustaz kini benar-benar melibatkan diri dalam politik dengan bertanding sebagai ketua cawangan. Selama ini saya hanya membaca tulisan ustaz di dalam blog ini dalam berbagai topik termasuklah politik. Sekarang, ustaz benar-benar melibatkan diri dengannya. Ramai orang mengatakan ‘politik itu kotor’. Kebanyakan orang yang memegang kuasa menggunakan cara kotor,tidak ikhlas,memikirkan keuntungan,hanya mengenyangkan keluarga dan kroni-kroni sendiri dan bermacam macam lagi kenyataan yang dibuat. Bagi ahli-ahli politik,sudah sepatutnyalah mereka membetulkan tanggapan orang ramai terhadap mereka.
Walaupun saya bukan ahli UMNO,juga bukan ahli mana-mana parti, saya tumpang gembira dengan penglibatan ustaz. Jawatan itu mungkin nampak kecil tetapi akan menjadi besar bilamana jasa dan bakti yang dicurah akan meninggalkan kesan di hati rakyat sebagaimana jasa-jasa cikgu pada anak murid yang tak mungkin akan dilupakan. Pergi jahanam dengan ungkapan ‘tukang kipas’ atau apa-apa kerana kata-kata itu hanya sesuai untuk orang yang tidak ikhlas. Saya doakan semoga ustaz menjadi pemimpin yang disegani.Jangan biarkan pengundi/orang kecil seperti kami dicop bodoh,biul,buta mata oleh ahli-ahli lain hanya kerana mengundi BN/UMNO. Sakit hati saya melihat kain rentang dengan tulisan besar di pagar sekolah anak saya “TOLAK RASUAH,TOLAK BN” seolah-olah 100% ahli BN mengamalkan rasuah sedangkan kita tahu ada antaranya yang bersih.
SELAMAT MAJU JAYA
Salam hormat dan ingatan dari saya
ramai yang telah cuba merubah…tapi dengan cepat mereka disingkirkan….anda pula baru mencuba…jangan terkejut apa yang akan anda harungi….anda ingin merubah tapi siapa yang berkuasa merubah tak mau ia berubah….silap-silap anda yang akan rebah….anda dah rasai sendiri….mungkin ahli veteran pulang dan kembali dengan isteri semata-mata inginkan ketua asalnya terus kekal…dan anda tidak akan terpilih….mungkin orang-orang muda memang inginkan perubahan…tapi bukan lagi melalui umno….tapi parti lain yang telah membuktikan keperihatinannya kepada rakyat…walaupun ia dari parti pembangkang…memang banyak kemungkinan….tiada jawapan pasti…kekadang lain di mulu lain pula dihati….kita sendirilah yang memerhati,menganalisa dan membuat kesimpulannya…dan harus diingat kesipulan kita itu mungkin betul dan mungkin tersasar…..
Buat la….apa yang anda suka. Jika kita dah pasti PARTI UMNO, dulu kini dan selamanya hanya BER TUHAN kan WANG maka alamat SESAT lah selama-lamanya.
DULU kini dan SELAMANYA sumber yang HARAM juga yang di gilakan oleh PEMIMPIN UMNO dan AHLI UMNO.
Tak cukup lagi dengan penipuan didepan mata? tak cukup lagi dengan RASUAH? tak cukup lagi dengan masalah SOSIAL? Tak cukup lagi dengan masalah JENAYAH oleh POLIS dan PENJENAYAH?
Cikgu Bashid BullSHIT
Leave A Reply