1. Baik atau buruk ini adalah negara saya. Saya akan berada di sini walau apa pun yang terjadi. Tiada sebab mengapa saya harus meludahi negara saya sendiri setelah bumi suburnya dan langit cerahnya menghidupkan saya dan keluarga.
2. Saya sentiasa menganggap negara saya yang terbaik meskipun saya diasak tentang cerita kebaikan yang ada di luar sana. Saya sedar bahawa cerita di luar sana lebih enak untuk untuk didengar, tetapi kebanyakannya tidak sesuai untuk dipraktikkan di bumi waqafan ini.
3. Saya hanya tahu bahawa negara saya menjadi tumpuan sejak dulu. Dari dahulu lagi semua orang berebut-rebut ke sini. Kedudukannya strategik, tanahnya subur dan buminya kaya dengan hasil. Orang India memanggil negara saya swarnabhumi atau tanah emas. Negara saya ibarat gula dan semut sentiasa mahu menghurungnya.
4. Negara saya dijajah selama 446 tahun. Bermula dari Feringgi yang menakluki Melaka tanggal 1511; Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) yang menduduki Pulau Pinang,Singapura dan Melaka sehingga terbentuknya Negeri-Negeri Selat pada tahun 1826; Siam yang menaungi Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu sebelum berpindah milik kepada British melalui Perjanjian Bangkok 1909; Bugis yang menguasai Kedah seketika; Belanda yang menduduki Melaka dari 1641 hingga 1824; British yang campurtangan secara langsung bermula di Negeri Perak melalui Perjanjian Pangkor; Jepun yang menguasai negara ini pada tahun 1942 hingga 1945; Komunis yang pernah memerintah negara ini selama 14 hari dan diikuti Pentadbiran Tentera British(BMA) selepas itu serta cubaan untuk menjajah Malaysia melalui Malayan Union sehinggalah merdeka tanggal 31 Ogos 1957 adalah antara rentetan peristiwa bersejarah yang tidak boleh saya lupakan begitu sahaja.
5. Saya suka beritahu kepada anak-anak dan pelajar-pelajar saya bahawa kemerdekaan yang kita capai ini adalah kemerdekaan yang diusahakan, bukan datang melalui accident mahupun incident.Memandangkan kemerdekaan ini ciptaan manusia, maka ia turut mempunyai jangka hayatnya. Jika ditakdirkan kemerdekaan negara yang kita nikmati selama ini ada jangka hayatnya, janganlah akibat tindak tanduk kita jangka hayat kemerdekaan ini menjadi lebih pendek daripada yang sepatutnya.
Hakcipta GuruBashid

















No user commented in " Jika ditakdirkan kemerdekaan ini ada jangka hayatnya….. "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply