1 Jika kita ingin menang besar dalam PRU ke-13, kita kena berfikir sebagai kaum Melayu, Cina dan India dalam BN bukan sebagai ahli dalam parti kita sendiri sahaja. Kita kena menerima takdir ini dengan bulat hati dan penuh redha bahawa kita telah dikumpulkan dalam sebuah wadah penyatuan yang paling relevan dan kekal dari segi uji bandingnya yang bernama BN.

2 Baik UMNO, MCA dan MIC, kita tidak boleh berfikir untuk bangsa kita per se lagi. Jika berfikir dan bertindak untuk bangsa kita sahaja, dan meninggalkan bangsa yang lain walhal kita berada dalam wadah BN untuk sekian lama, kestabilan dan keamanan yang sebenar amat sukar berlaku di negara ini kerana ini akan mendedahkan kita kepada persaingan yang tidak sihat.

3 Kita mesti berfikir dan bertindak sebagai orang Cina dalam BN, orang Melayu dalam BN dan orang India dalam BN. Jika UMNO befikir dan bertindak untuk berada dalam kelompok Melayunya sahaja walhal dia dalam BN, agenda kemajuan untuk bangsa Melayu tidak akan sampai ke mana-mana sebab akan dikelilingi dengan rasa curiga daripada kaum Cina dan India yang berada dalam BN itu sendiri.

4 Jika MCA memikirkan atau bertindak hanya untuk kepentingan kaum Cina sahaja,tanpa mengambil kira perasaan kaum-kaum yang lain, bangsa Cina pun tidak akan ke mana-mana sebab akan dikelilingi dengan rasa curiga daripada bangsa Melayu dan India dalam BN itu sendiri.

5 Begitu jugalah halnya dengan MIC, jika mereka berfikir dan bertindak hanya untuk bangsa mereka sahaja, orang India tidak akan ke mana-mana sebab akan dibelenggu dengan rasa curiga daripada kaum Cina dan Melayu dalam BN itu sendiri.

6 Percayalah kemenangan yang paling bermakna, paling selesa dan paling stabil ialah kememangan atas nama BN bukan atas nama parti-parti yang wujud di dalamnya.

7 Lebih mudah kita bercakap tentang kaum kita sahaja semasa kita tidak berada dalam BN, sebab tiada siapa yang akan tersinggung.Tetapi kita sudah ditakdirkan berada dalam BN yang semakin merapatkan jurang antara kita. Semakin lama kita merasakan hubungan dalam BN itu semakin rapat, sehingga apa yang dituturkan atau ditulis oleh ahli yang lain dalam BN akan terasa kesannya di hati kita berbanding dahulu.

8 Jadi saya ingin beritahu anda, apabila kita memilih formula BN, kita tidak boleh berfikir secara terpisah-pisah lagi mengikut kepentingan kaum masing-masing. Kemenangan syok sendiri ialah kemenangan atas tiket parti berasaskan kaum masing-masing walhal kita berada dalam satu parti iaitu BN.

9 Maka sudah sampai masanya malah sepatutnya berlaku lama dahulu bahawa kita mesti berkempen, bercakap, menulis dan berfikir yang kita sebagai ahli BN bukan lagi sebagai ahli parti yang wujud di dalamnya apabila kita bercakap tentang Pilihan Raya, penyatuan dan untuk menang.

10 Kita sudah tidak berupaya lagi untuk berpatah balik dengan melihat bahawa bangsa kita sahaja yang ada di Malaysia. Ya dah tak boleh lagi. Jika kita berada dalam BN, kita mesti berfikir dan bertindak seperti kita dalam BN.

11 Rasa curiga dan prasangka akan terus menjadi penyakit jika parti yang mewakili tiga kaum terbesar itu hanya memikirkan dan bertindak bahawa bangsa mereka sahaja yang perlu dijaga, tanpa melihat kepada bangsa yang lain juga walhal mereka dalam BN.

12 Sebab itulah kita ditakdirkan berada di Malaysia yang penduduknya unik dan majmuk. BN itu adalah landasan yang betul dan dirumus khas oleh pemimpin masa lalu untuk kita. BN adalah legasi yang tiada tolok bandingnya untuk rakyat Malaysia.

13 Kita patut berterima kasih kepada pimpinan negara pada masa lalu yang merumuskan formula BN untuk rakyat Malaysia. Buatlah penyatuan yang lain, BN tetap menjadi formula perpaduan yang relevan yang dirumus khas untuk negara seperti Malaysia.

14 Cuma untuk sentiasa segar dan sesuai pada sepanjang masa BN perlu ditranformasikan dan dijenamakan semula.

15 Ayuh, marilah kita berfikir dan bertindak seperti dalam sebuah pasukan, iaitu dalam BN.
BN yang tiada duanya di Malaysia.

GuruBashid