Jika anda bertanya kepada saya sama ada kita patut berkumpul beramai-ramai di negeri Perak sebagai tanda sokongan kita kepada kerajaan Perak, saya menolak.

Saya tidak setuju jika kita pun turut sama berkumpul pada hari dewan bersidang sebagaimana penyokong pembangkang merancang untuk berkumpul.

Kita tidak boleh mengikut rentak pembangkang dengan melakukan sesuatu yang kita tidak pernah bersetuju dengannya.

Jika pembangkang menjangkakan Sidang Dun Perak akan berlaku kekecohan, itu adalah kerana di dalam kepala mereka sudah dicipta kekecohan itu. Sebab itu mereka akan bersolat hajat jam5 pagi, pada 7 Mei itu agar kekecohan itu tidak berlaku.

Tetapi bagi kita yang hanya ada kelancaran dan keamanan di dalam kepala kita, kita tidak patut memikirkan yang bukan-bukan tentang sidang tersebut. Kita tidak perlu risau apa-apa sebab kita berada di landasan yang benar.

Pendekatan ini saya kira tidak begitu bijak. Kita tidak boleh menggunakan pendekatan bersaing seperti ini. Ini namanya konfrant atau lebih tepat lagi mahu membuktikan siapakah yang paling kuat dan siapa yang paling ramai.

Kita telah menolak perhimpunan atau apa-apa jua cara haram yang dicadangkan itu, jadi kita tidak sama seperti mereka dengan turut melakukan perbuatan yang serupa. Ini bukan cara-cara UMNO atau BN dari dahulu.

Kita harus membuktikan bahawa kita sangat merestui persidangan dewan itu dan membiarkan demokrasi berlaku dengan bebas di dalamnya tanpa dihangatkan oleh tunjuk perasaan atau sebarang perhimpunan di luar.

Di dalam dewan itu ialah wakil-wakil yang kita pilih dan kita patut beri kebebasan dan kepercayaan kepada mereka untuk membuat sebarang keputusan tanpa ada satu lagi “dewan” di luarnya.

Kita tidak mahu kehadiran kita beramai-ramai di sana akan dijadikan alasan untuk merosakkan persidangan dewan itu. Ini bukan pesta atau pilihan raya. Ini satu sidang dewan yang sah yang perlu kita hormati.

Sambil itu kita berdoa agar tidak ada yang tidak baik terjadi semasa sidang dewan berlangsung. Jika pembangkang yang melakukannya bukan kita yang akan menghalangnya. Kita harus tinggal di rumah dan membiarkan polis menjalankan tugas-tugasnya. Tiada hero atau heroin di sana. Yang ada ialah wakil-wakil rakyat yang kita pilih yang diketuai oleh YAB Datuk Dr Zambry, Menteri Besar Perak darul Ridzuan.

GuruBashid