1 Apabila DAP memenangi 12 kerusi di kawasan bandar yang majoritinya kaum Tionghua, sebahagian kita pun menyimpulkan tentang betapa perkaumannya bangsa itu dan lebih teruk dari itu ada yang menggambarkan bahawa suasana itu akan turut berlaku dalam PRU ke-13 akan datang.

2 Malahan seorang pengulas pada malam itu menyimpulkan dengan penuh tegas bahawa SUPP, iaitu salah sebuah parti komponen BN di Sarawak adalah parti yang akan terkubur seperti juga halnya dengan parti Gerakan dan MCA di Semenanjung.

3 Saya dari awal lagi tidak melihatnya begitu. Saya kira kesimpulan itu terlalu simplistik dan kita yang kononnya tidak merestui perkauman, atas alasan yang sama turut mengalaskan diri kepada perkauman juga.

4 Rakan-rakan saya dalam MCA dan Gerakan tidak semena-mena terkilan dengan ulasan yang seperti itu memandangkan usaha yang telah dibuat oleh kedua-dua parti komponen BN itu dalam membantu kemenangan di beberapa PRK sebelum ini.

5 Saya ingin beritahu anda apa yang berlaku di Sarawak itu adalah faktor Sarawak per se. Itulah sebabnya saya meramalkan awal-awal lagi dalam artikel saya sebelum ini bahawa apa yang bakal berlaku di Sarawak selepas 16 April ini banyak ditentukan oleh apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah teraju kepimpinan Ketua Menterinya sendiri, iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke atas kesejahteraan rakyat Sarawak selama ini.KLIK DI SINI

6 Dalam erti kata lain bagaimana kepimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak selama 30 tahun itu telah memberi kesan langsung dan ketara ke atas kesejahteraan hidup rakyat Sarawak selama ini akan menjadi pertimbangan utama rakyat di negeri itu dalam menentukan parti mana yang bakal memerintah untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

7 Keputusan di Sarawak itu tidak boleh diangkat sebagai indikator mutlak atau indikator dominan yang bakal menggambarkan tentang apa yang akan berlaku dalam PRU yang akan datang yang melibatkan lebih banyak negeri dan lebih banyak faktor.

8 Beberapa PRK yang berlangsung sebelum PRU Dun Sarawak itu adalah bukti bahawa pengundi Cina tidak menolak BN secara keseluruhannya. Malahan saya sudah melihat ada kecenderungan untuk pengundi Cina kembali kepada BN hasil kerja kuat dan kelantangan pemimpin MCA, Gerakan dan MIC mempertahankan formula dan kepimpinan BN.

9 Sebenarnya majoriti kaum Cina di Sarawak, seperti juga kaum Cina di Semenanjung sukakan pendekatan yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri dan percayakan slogan 1Malaysia yang diilhamkan oleh beliau.

10 Bagi mereka Perdana Menteri yang berfikiran terbuka dan memberikan penekanan kepada ekonomi itulah yang mereka mahukan. Malahan formula 1Malaysia yang dibawa oleh Perdana Menteri itu lebih mudah dimanfaatkan untuk kepentingan kaum mereka.

11 Tetapi mereka berdepan dengan kepimpinan negeri yang mereka anggap tidak begitu berkesan dalam penyebaran kemajuan di kawasan bandar, khususnya ke atas kaum Cina yang mereka anggap begitu perlahan berbanding dengan kemajuan kawasan bandar di Semenanjung.

12 Bagi mereka masih banyak yang perlu dibuat oleh kepimpinan negeri ke atas kawasan bandar agar apa yang mereka maksudkan dengan “bandar” itu benar-benar signifikan dengan kemajuan yang dicapainya.

13 Tumpuan yang berlebihan di kawasan luar bandar atas alasan untuk memenangi hati penduduk peribumi Sarawak telah ditafsir oleh majoriti penduduk bandar yang kononnya mereka sudah cukup bagus untuk diberi perhatian.

14 Sebenarnya penduduk di bandar-bandar Sarawak (dan mungkin juga bandar-bandar di Semenanjung) memerlukan kemajuan yang sentiasa diberi nilai tambah. Inilah yang mungkin tidak dapat dilihat dengan jelas oleh sesetengah pihak yang cenderung untuk memberikan tumpuan kepada politik pembangunan.

15 Di bandar memang tidak memerlukan pembangunan asas, tetapi kemajuan yang diberi nilai tambah masih diperlukan dari semasa ke semasa sejajar dengan pertambahan penduduk dan kepesatan bandar itu sendiri.

16 Atas kedudukan mereka dan bandar mereka yang begitu,mereka meletakkan harapan mereka ke atas SUPP untuk menyuarakan hasrat mereka ini kepada pucuk kepimpinan negeri. Tetapi inilah yang gagal dilakukan oleh SUPP sehingga ia dihukum dalam PRU Dun Sarawak yang lalu.SUPP dilihat terlalu menjaga kesetiaan dengan tuannya yang di atas sehingga sanggup menyepikan penduduk yang diwakili mereka.

17 Sekaligus ia satu signal bahawa pertukaran bukan lagi satu pilihan tetapi menjadi satu kewajiban bukan sahaja ke atas kepimpinan SUPP, tetapi juga ke atas kepimpinan negeri.Oleh kerana di situ ada DAP yang kuat, maka DAP itu landasan mereka untuk menyatakan rasa tidak puas hati.

18 Bukan semua yang memangkah DAP itu kerana mereka bersetuju dengan DAP, dan mereka pun tahu DAP tidak akan memerintah Sarawak. Apatah lagi penduduk di negeri Sarawak, termasuk kaum Cina mereka tidak mudah dipengaruhi oleh elemen luar. DAP itu parti luar, mereka pun tahu itu.

19 Tetapi itulah parti yang mereka lihat paling relevan serta berupaya untuk melampiaskan rasa tidak puas hati mereka itu agar “pengajaran” diberi ke atas SUPP yang gagal membawa suara mereka dan kepimpinan negeri yang terlalu perlahan membawa perubahan ke atas kehidupan bandar sekalipun sudah 30 tahun mengepalai.

20 Jadi tidak timbul sebenarnya yang penduduk Cina yang memberi sokongan kepada DAP itu setia kepada DAP mahupun bersifat perkauman.

21 Sebagai penduduk bandar mereka lebih terbuka dan idealis dalam melihat sesuatu perkara. Mereka tahu kesetiaan yang akan diberikan oleh penduduk pribumi dan Melayu Sarawak ke atas pucuk kepimpinan negeri tidak akan berkurangan walau apa pun isunya. Jadi tidak mungkin mereka mengharapkan golongan pribumi dan Melayu membuat “teguran” dan “pengajaran” kepada pemimpin mereka. Maka mahu atau tidak merekalah yang akan membuat teguran itu. Inilah sebenarnya yang berlaku dalam keputusan PRU Dun Sarawak baru-baru ini.

22 Mujurlah Najib turun di beberapa kawasan. Jika tidak faktor Sarawak tidak akan beralih kepada faktor Najib dan kesannya BN akan kehilangan lebih banyak kawasan. Inilah jangkaan awal pengamat politik. Terima kasih Najib.

Hakcipta Abd Bashid Harun