Sebagai guru yang terlibat dalam perbahasan sejak di bangku sekolah lagi, saya tidak akan membenarkan Bahas Parlimen pada hari ini dijadikan contoh oleh mana-mana guru atau pelajar. Bahas Parlimen pada hari ini terlalu huduh untuk dijadikan contoh, dan kita tidak belajar apa-apa daripadanya. “Mereka harus belajar daripada kita, bukan kita yang belajar daripada mereka”. Jika perbahasan hari ini ingin diambil kira juga ia hanya sesuai sebagai sempadan, bukan teladan.

Apa yang kita faham dan ajarkan kepada anak-anak dan murid-murid kita tentang perbahasan ala-Parlimen adalah jauh lebih baik dan patut ditiru. Murid belajar dan guru mengajar sesuatu yang betul, tetapi Perbahasan Parlimen pada hari ini (dalam tempoh 30 minit yang disiarkan secara langsung) kita mendapat contoh yang salah.

Kita disuruh berbahas secara tenang dan bersahaja, bukan berapi-api. Kita diminta berbahas mengikut gaya Tun Dr Mahathir, Tun Musa Hitam, Dr Rais Yatim, dan Prof Datuk Dr Zainal Kling. Kita diajar membahaskan usul, bukan membahaskan orangnya. Kita diminta lari daripada gaya perbahasan konvensional yang selalunya membuatkan suara dan pergerakan pembahas melampau dan terbabas.

Bukan saya sahaja yang kecewa, saya percaya ramai lagi yang kecewa. Saya dapat rasakan Tan Sri Pandekar Amin Mulia yang diamanahkan sebagai YDP Dewan pun kecewa. Beliau ghairah untuk menjalankan fungsi beliau sebaik-baiknya tetapi apabila itu yang berlaku, siapa pun akan kecewa termasuk beliau.

Saya percaya orang yang paling kecewa dengan perbahasan yang berlaku di Dewan Rakyat pada hari ini ialah YB Menteri Penerangan sendiri. Beliau memang patut kecewa kerana peluang yang diberi oleh beliau dengan niat baik telah disalahgunakan untuk tujuan populariti dan politiking semata-mata.

Sebagai generasi pimpinan muda YB Menteri Penerangan tentu mahukan suatu perbahasan yang bermutu, beretika dan berupaya menjadi contoh untuk didedahkan kepada umum. Jika bukan itu niatnya, beliau tidak akan membenarkan perbahasan itu disiarkan secara langsung melalui rtm.

Hari ini pembangkang bukan berbahas. Mereka banyak menghabiskan masa bermain dengan isu bukan membahaskan usul atau mengemukakan fakta dan bukti. Mereka mengulang-ulang isu yang remeh yang membabitkan masalah teknikal. Mereka tidak menghormati Dewan yang mulia. Mereka langsung tidak menghormati YDP Dewan, insan yang paling berkuasa di Dewan. Tetapi serangan dibuat bertalu-talu ke atas YDP Dewan.

Mereka menyangka yang mereka telah menunjukkan keberanian dan kehebatan mereka berbahas di Dewan Rakyat kepada penyokong-penyokong mereka di luar sana, konon-kononnya merekalah yang paling hebat. Namun apa yang dipamerkan itu hanyalah menunjukkan “kebodohan” mereka.Mereka memalukan penyokong-penyokong mereka sendiri.

Beberapa orang pembangkang hanya mahu kata apa yang mereka ingin kata. Dan pada masa yang sama mereka mahu semua orang mendengar kata-kata mereka. Tetapi bagaimana kita dapat mendengar kata-kata orang yang sendiri tidak pernah mahu menghormati orang lain.

Jika ditanya kepada saya markah yang patut diberi kepada pasukan pembangkang hari ini, saya beri jawapan kosong. Mujurlah kosong itu markah paling rendah yang dibenarkan. Jika ada yang lebih rendah daripada kosong, saya kira pembangkang tidak layak menerima kosong pun. Mereka patut menerima lebih rendah daripada itu.

Hakcipta Abd Bashid Harun