Jagalah parti anda dan kami jaga parti kami. Kita menjaganya untuk kepentingan rakyat dan negara ini, terutama demi kelangsungan umat Islam di negara ini. Saya nampak apa yang saya lihat, anda dan parti anda bagaimana? ” GuruBashid

Artikel ini turut dipetik oleh Utusan Online Pada 14 September 2009. KLIK DI SINI

SEJAK blog ini dihadapkan kepada khalayak, pemilik blog telah menerima banyak gelaran dan panggilan. Terutama apabila pemilik blog menyatakan pendiriannya yang tegas dalam tulisan-tulisan politiknya.

Sebahagiannya berkata pendirian politik pemilik blog tidak berubah sejak dahulu. Sebenarnya mereka tersilap apabila menyatakan GuruBashid tidak berubah.

Saya manusia, satu spesis dengan anda, makhluk Allah juga. Makhluk Allah adalah benda baharu dan setiap yang baharu itu sifatnya berubah-ubah.Anda patut lebih tahu ini daripada saya.

Saya telah berubah beberapa kali sejak mereka jenis ini bertubi-tubi menyerang saya. Perubahan yang paling ketara ialah pegangan saya terhadap isme politik dan parti politik yang saya dokong semakin kuat dan tahap kesabaran saya juga semakin meningkat.

Saya lebih bersedia berhadapan dengan apa jua keadaan dan lebih memahami kini bahawa parti yang sedang diserang ini sebenarnya adalah betul.

Bezanya serangan kali ini bukan calang-calang tetapi sengaja diatur dan dilihat ada agenda tersembunyi.Anda tangan-tangan tersembunyi yang sedang mencatur di belakang tabir.

Saya tidak akan membiarkannya diserang, sekalipun saya terpaksa tinggal berseorangan mempertahankannya.Sebab perbuatan yang anda lakukan bukan sedikit implikasinya ke atas masa depan negara dan rakyat di negara ini.

Saya tidak mahu memperlekehkan Islam yang menjadi pegangan saudara, sebab saya sendiri pun menganut agama yang sama, tetapi apabila anda menyarung Islam sebagai pakaian anda, pada masa yang sama anda telah mengotorkannya melalui mulut, tulisan dan perlakuan anda.

Tetapi yang menakjubkan orang seperti saudara dapat melakukan kesemua ini dengan rasa tak apa-apa atas nama Islam. Itulah yang menyebabkan saya menjadi pelik dengan guru dan parti anda.

Saya yakin yang saudara dan saya bersaudara. Tak tahulah saya kalau saya bukan lagi menjadi saudara anda hanya disebabkan saya UMNO dan anda PAS.

Yang berbeza, saya dalam parti ini dan anda pula dalam parti itu. Janganlah disebabkan oleh pegangan politik yang berbeza sampai kita mengkafirkan saudara-saudara kita seagama.

Saya seperti anda dan saudara-saudara kita yang lain juga, memohon keampunan kepada Allah atas apa jua dosa yang dilakukan sambil mengharapkan balasan baik daripada-Nya.

Tetapi apabila menyangkut tentang masalah bernegara dan bermasyarakat, dan bagaimana negara ini wajar dikendalikan saya berbeza dengan saudara.

Dalam aspek ini saya melihat pendekatan BN (UMNO) lebih benar dan pendekatan yang pasukan anda gunakan tersasar malahan membahayakan.

Anda membenarkan sesuatu yang salah melalui lidah, tulisan dan perbuatan anda sedangkan lidah yang sama turut digunakan mengungkapkan ayat-ayat al-Quran dan hadith dengan begitu fasih.

Anda menyatakan kami rasuah, tidak melaksanakan hukum Islam dan tidak adil. Tetapi melihatkan cara-cara anda, anda telah membenarkan rasuah dalam agama, tidak menurut akhlak Islam dan tidak berlaku adil kepada saudara anda sendiri.

Jika kami sampai melakukan kesalahan yang tentunya tidak disengajakan dan bukan itu matalamatnya, kami sekarang ada ramai yang cuba menegur dan membetulkannya. Malahan anda sendiri turut menjaga kami sekarang ini.

Tetapi jika pihak anda yang melakukan kesalahan, saya khuatir tidak akan ada yang membetulkannya kerana dikebalkan oleh nama Islam yang ada pada parti anda; ketaksuban melampau kepada tuan guru dan terlampau menjaga politik kepartian melebihi segala.

Anda konon-kononnya mengambil berat tentang kami, tetapi terus terang saya katakan dengan apa yang anda lakukan sekarang ini, saya lebih bimbangkan anda yang baru sahaja diuji dengan kemenangan setahun jagung.

Jagalah parti anda dan kami jaga parti kami dan kita menjaganya untuk kepentingan rakyat dan negara ini, terutama demi kelangsungan umat Islam di negara ini. Saya nampak apa yang saya lihat, anda dan parti anda bagaimana?

GuruBashid