1) Apa pun boleh berlaku jika berkaitan Tun Dr Mahathir. Yang selalu berkata di luar jangkaan itu kita, tetapi bukan Tun Dr Mahathir. Apa yang kita sangka, tidak semestinya terjadi. Sebaliknya apa yang tidak disangka, boleh sahaja terjadi jika datangnya daripada Tun Dr Mahathir. Itulah formula Tun Dr Mahathir.Itulah fenomena Tun.
2) Dia melakukan apa yang ia ingin lakukan. Apabila dia melakukannya, tak siapa dapat menghalangnya. Dia berani berkata tidak kepada orang lain, tetapi saya tidak nampak ada orang lain yang berani berkata perkara yang sama kepada Tun Dr Mahathir, selain diam.
3) Tindakan Tun selalu sahaja di luar jangkaan, tetapi sebahagian tindakannya itu tidak selalunya betul. Itu pun dia yang kata, bukan orang lain yang kata.Dia sendiri pernah mengakui akan hal ini. Sama ada tindakannya itu betul atau salah, selalunya adalah menurut perkiraannya.
4) Dia pernah menyesali apa yang dia pernah lakukan. Dia pernah menyatakan bahawa dia punya tabiat untuk melantik orang yang salah. Itu katanya, bukan kata saya.Tentunya dalam hal-hal lain juga tidak mustahil dia pernah melakukan kesalahan.
5) Dia menjadikan dirinya sebagai Mr Fenomena, dan sebagai Mr Fenomena dia ingin menguasai yang lain dengan caranya tersendiri. Mr Fenomena selalu muncul dalam saat-saat krisis atau dia sendiri mencipta krisis. Seperti situasi sekarang ini; ketika UMNO perlu diperkukuhkan; dan keadaan ekono-poli negara perlu distabilkan, dia tiba-tiba sahaja muncul dengan keputusan yang mencengangkan ramai orang. Sekali lagi dunia ditarik ke arahnya.
6) Dia yang dikira sangat setia kepada UMNO; sangat menjaga UMNO, kini bertindak di luar dugaan dengan keluar daripada UMNO. Tidak cukup setakat itu, dia mengharapkan ada orang akan mengikuti jejaknya. Ajakan yang sama sekali bertentangan dengan prinsipnya selama ini agar UMNO tidak akan dikorbankan walau apa pun sebabnya.
7) Tindakannya disambut meriah oleh pembangkang, terutama PAS (Baca artikel ini).Tetapi langsung tidak popular di kalangan orang Melayu, khususnya ahli-ahli dan pendokong UMNO. Tetapi menjadi tidak popular itu memang prinsipnya sejak awal lagi sebab Tun pernah berkata bahawa dia bersedia menjadi tidak popular demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Tetapi tindakan-tindakannya yang tidak popular itulah yang menjadikan dirinya semakin popular, bukan sahaja di dalam negeri, malahan di luar negara.
8 Dia yang pernah mengingatkan kita agar jangan mudah lupa melalui agendanya yang belum selesai, rupa-rupanya dia sendiri terlupa dengan ajaran perjuangan yang diajar kepada kita dengan mengutamakan runtunan perasaan peribadinya terhadap Pak Lah dengan tindakan nekad keluar daripada UMNO.
9) Kesibukannya mengingatkan orang lain agar tidak mudah lupa, menyebabkan dia sendiri dibiarkan tanpa ingatan yang serupa kepadanya.Walau apa pun alasannya: takut atau hormat, inilah dosa kita kepada Tun Dr Mahathir. Kita tidak berani berhujah dengannya, menerangkan rasional di sebalik tindakan-tindakan kita dan menyatakan tidak kepada sebahagian daripada tindakannya.
10) Dia dikenali sebagai seorang yang rasional dan faktual, selain punctual. Sebagai seorang doktor, dia melihat setiap sesuatu ada sebabnya dan ada ubatnya. Maka dia berharap ada orang yang bersedia bersemuka dengannya; mempelajari sesuatu daripadanya; mendengar dengan tenang dan berlapang dada mendengar hujah-hujahnya.Dia sendiri dianggap oleh penulis sebagai CSF atau Critical Success Factor.
11) Dia mahu ada orang yang berani menyatakan fakta dan rasional, kalau tidak lebih baik pun sekurang-kurangnya sama kuat dengan hujahnya. Tetapi tidak muncul individu seperti itu. Sebaliknya, dirinya dibiarkan bercakap berseorangan, dan bertindak terus tanpa ada usaha-usaha untuk mengiktiraf pemikiran dan tindakannya. Dia pun dihanyutkan dengan rasa ghairah dengan pemikirannya, apatah lagi dihangatkan oleh golongan yang memuja-mujanya. Golongan yang hanya nampak Mahathir sehingga tidak nampak ada orang lain lagi.
12) Apabila dia mengajak ahli UMNO lain mengikut langkahnya, ini sudah menampakkan dia tidak mahu keseorangan dalam tindakannya. Dia tahu bahawa tindakan itu sangat sukar untuk diambilnya. Justeru, dia memang mengharapkan sokongan ke atas dirinya. Dia tahu jika dia sendiri yang keluar orang akan menyalahkannya, tetapi apabila ada orang yang keluar bersama-sama dengannya, apatah lagi jika bilangannya agak ramai, dia mengharapkan orang ramai akan bersetuju dengan tindakannya selama ini dan seterusnya meletakkan kesalahan itu kepada sasarannya selama ini, bukan kepada diri beliau sendiri.
13) Kalau sebelum ini ada orang yang menyokongnya, tetapi orang itu masih belum jelas wajahnya. Namun selepas ini kita akan dapat melihat wajah mereka dengan lebih jelas lagi. Pada waktu itu kita akan tahu siapa mereka, sama ada kesetiaan itu akan berpindah kepadanya (individu) atau kekal diberi kepada parti tanpa berbelah bahagi.
14) Sebahagian orang melihat ini sebagai perpecahan dalam UMNO, tetapi bagi sebahagian yang lain ini permulaan kepada perpaduan Melayu dan memperkukuhkan semula UMNO. Ada juga yang melihat perkembangan terbaru ini akan memudahkan kerja-kerja Pak Lah dan barisan pemimpin UMNO yang lain untuk memperkukuhkan semula UMNO tanpa gangguan daripada dalam. Dan bagi Dr Mahathir sendiri ia melihat ini sebagai cara untuk memperkukuhkan semula UMNO.Sebagai pengamat sejarah dia sudah melihat hampir semua mantan Perdana Menteri, kecuali Tun Razak pernah keluar parti dan ternyata tindakan itu tidak pun menjejaskan UMNO. Barangkali inilah ukuran yang digunakan oleh Tun apabila dia mengambil tindakan yang serupa. Dia nampaknya meniru bulat-bulat apa yang ada dalam sejarah itu, bukan sekadar belajar daripada sejarah.(Baca tulisan saya)
15) Ketika ini dia mendakwa dia tidak akan masuk parti lain sebab masih sayangkan UMNO. Dia meminta kepada penyokong-penyokongnya agar jangan lompat masuk parti lain dan kembali semula kepada UMNO jika Pak Lah meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri. Tetapi bagi sesetengah pihak bolehkah kita mempercayai seseorang yang telah sanggup memperjudikan parti untuk semua ini.
16) Tidak mustahil dengan alasan yang serupa, iaitu kerana sayangkan UMNO dia akan tubuh parti lain dan menjadikan penubuhan parti baru itu sebagai ugutan. Dan jika tindakannya itu masih gagal tidak mustahil juga dia akan joint parti yang sedia ada dan tentunya itu lebih mudah baginya kerana suaranya sendiri hampir sama dan telah diguna pakai pun oleh pembangkang semasa menghadapi Pilihanraya Umum ke-12 yang lalu dan sehingga kini.
17) Dia sudah mula merasai kesunyian dalam UMNO, kesunyian yang tidak pernah dirasainya untuk selama 22 tahun dia memegang tampuk kuasa. Maka untuk menghiburkan hati yang lara itu dia keluar daripada UMNO. Keluar untuk melepaskan kelemasan itu. Dan apabila tindakan keluar itu menyebabkan orang semakin tidak mempedulikannya, dia akan tubuh parti baru. Dan harapannya, dia akan terhibur dengan parti baru itu. Dan jika parti baru itu menyebabkan dia lebih teruk kesunyian, dia akan bubarkan parti itu dan joint dengan mana-mana parti yang sedia ada yang memang bersedia menjadikan dirinya sebagai kawan.Ya menjadikan dia hanya kawan, bukan pemimpin mereka.
18) Begitulah dia menarik perhatian orang ramai ke atas dirinya. Dia ingin dunia melihat hanya kepadanya seorang. Dia mahu dunia mendengar hanya kata-katanya dan menerima hanya fikiran-fikirannya. Dia mahu mencipta trade marknya sendiri. Dia mahu dilihat sebagai Mahathir dengan mahathirismenya yang meninggalkan fenomena. Sebab itu dia dan krisis adalah sinonim. Dia sukakan krisis, lalu dia mencipta krisis demi krisis. Krisis lebih menonjolkan dirinya. Jika tiada krisis dia akan jadikan dirinya sebagai bahan krisis. Itulah Mahathir dan mahathirismenya.Satu dan tiada duanya.
19) Tidak keterlaluan jika saya katakan tindakan Tun yang terbaru ini jauh tersasar daripada prinsip dirinya sendiri. Mungkin dia sendiri tidak menjangka sejauh itu tindakannya. Tetapi Tuhan telah mengaturkan ini untuknya. Dan apabila Tuhan mengaturkannya, tak sesiapa boleh menghalang-Nya termasuk Tun sendiri sebab sehebat mana pun kita, kita tak boleh ambil alih kerja Tuhan. Mungkin ini “takdir” Tun atas tindak-tanduknya selama ini yang selalu menyulitkan Pak Lah dan meresahkan rakyat.
20) Malahan alasan keluar parti untuk memperkukuhkan UMNO dan perpaduan orang Melayu langsung tidak sesuai digunakan dan tak patut pun menjadi pilihan. Jika begitu, tentu Tun ada alasan lain. Mungkin ini lebih benar. Dan alasannya mungkin terlalu peribadi. Berbagai-bagai andaian boleh dibuat apatah lagi keadilan pada zamannya telah mula dipertikaikan dan siasatan mula dibuka atas isu video linggam.
21) Sejarah 22 tahun beliau sebagai Perdana Menteri telah mencatatkan bahawa tiada siapa yang dilihat lebih benar daripada dirinya sendiri. Semua Timbalan Perdana Menteri pada zamannya tak berkesempatan menjadi Perdana Menteri, kecuali Pak Lah. Walaupun Pak Lah selamat sebagai Timbalannya, tetapi sebagai Perdana Menteri Malaysia Pak Lah melalui jalan sukar sebab dia dilihat tidak sesuai oleh Tun Mahathir. Bagi Mahathir Pak Lah hanya sesuai sebagai Perdana Menteri, tetapi hanya untuk sepenggal, dan selepas itu dia tidak sesuai lagi. Itulah Tun Dr Mahathir, dominasinya melepasi sempadan peranan,masa dan ruang.
22) Dan selepas sepenggal Pak Lah masih bertahan, dan buat-buat tidak peduli dengan tekanan Mahathir, kita lihat satu demi satu buah catur politik ditolak ke tengah papan oleh Tun seolah-olah mengharapkan satu permainan dimulakan.
23) Dia nampaknya cukup “berkuasa” menentukan ini dan itu, seolah-olah dia sudah terlupa bahawa dia tidak punya kuasa menteri, jauh sekali sebagai Perdana Menteri. Melihat kepada alasan Mahathir keluar daripada UMNO, dia bukan sekadar tidak suka kepada Pak Lah. Ramai lagi yang dia tidak suka, cuma Pak Lah itu sasaran utamanya.
24) Dia bertindak sebagai penasihat sekalipun tidak pernah dilantik, tetapi dia dilihat memaksa nasihatnya diterima(silap kita juga, tak lantik dia sebagai Penasihat atau Menteri Kanan). Ini agak pelik, tetapi bagi Mahathir itulah kebenaran. Dia mahu orang lain berfikir seperti dia berfikir. Dia mahu orang lain memandang sesuatu itu sebagai salah atau benar; tepat atau tidak tepat menurut ruang lingkup pandangannya. Begitulah yang terjadi kepada Pak Lah. Pak Lah seolah-olah dipaksa mengikut kehendaknya. Pak Lah yang dipaksa itu bukan Pak Lah seorang individu biasa, tetapi Pak Lah yang menjadi Perdana Menteri, Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional.
25) Pak Lah seorang Perdana Menteri yang sepatutnya semua keputusan akhir kembali kepadanya dan boleh sahaja ditentukan olehnya. Tentulah apa yang dikehendaki oleh Tun itu amat sukar bagi Pak Lah untuk menurutinya. Bukankah zaman Mahathir sebagai Perdana Menteri, dan zaman-zaman Perdana Menteri sebelumnya, tidak ada seorang pun yang membayanginya atau mengawalnya, apatah lagi mengganggunya.
26) Tiba-tiba zaman beliau pula ada bayangan dan gangguan itu. Tentulah Pak Lah rimas dan terkongkong dengan cara itu. Sebab itu Pak lah membiarkan sahaja faktor Mahathir tanpa menghiraukannya. Nampaknya strategi Pak Lah mengena, dan Mahathir yang mengalah.Bukan sahaja kalah tetapi terkeluar terus.
27) Dia selalu meminta Pak Lah berundur diri sebelum UMNO menjadi lebih teruk. Malahan dia meletakkan kegagalan mendapat dua pertiga majoriti dalam PRU-12 di tangan Pak Lah sepenuhnya. Pak Lah mesti bertanggungjawab katanya.
28) Tetapi adakah dia tidak bersalah langsung. Malahan kita tak kan lupa bahawa tindakan demi tindakannya, percakapan demi percakapannya selama ini telah membuka ruang dan peluang yang seluas-luasnya kepada pembangkang untuk meraih sokongan kepada mereka. Percakapannya, ulasannya dan tindakannya memang memberi ruang yang terbuka untuk parti pembangkang. Dia mewujudkan ilham kepada pembangkang dan ilham dan jalan yang ditunjukkannya itu telah digunakan seluas-luasnya oleh pembangkang dalam PRU ke -12. Siapakah yang boleh nafikan hal ini?
29) Dari sudut pandangannya UMNO sekarang cukup lemah. Dari pandangannya UMNO sekarang sangat tidak bermaya. Daripada pandangannya, Pak Lah tidak sesuai lagi sebagai Perdana Menteri. Daripada penglihatannya pencapaian BN dalam PRU12 baru-baru ini sangat buruk. Daripada pandangannya, semua ini berlaku kerana salah Pak Lah. Daripada pandangannya semua ini akan berubah jika Pak Lah turun daripada kerusi kuasa Perdana Menteri dan digantikan dengan orang lain. Dan dalam keadaan itulah tiba-tiba dia keluar daripada UMNO dan mengajak ahli-ahli UMNO yang lain menurut jejaknya.
30) Seolah-olah UMNO itu mesti menjadi sangat sempurna. UMNO seolah-olah menjadi UMNO hanya apabila perfect dan tak akan gagal langsung, dan apabila parti itu sudah tidak “sempurna” dan ada sedikit kemerosotan sokongan ke atasnya, itu bukan UMNO yang sebenar lagi. Maka dalam keadaan begitu dia harus ditinggalkan. Ya tinggalkan sementara UMNO diperkukuhkan.
31) Apa yang ingin ditunjukkannya adalah apa yang diniatkannya. Dia mengisyhtiharkan perang habis-habisan ke atas Pak Lah hanya kerana Pak Lah menjadi Perdana Menteri Malaysia.Seorang manusia yang dikenali sebagai Pak Lah yang dikatakan “lembik” tiba-tiba sahaja begitu kuat sekali sehingga kerana Pak Lah, dia terpaksa “berkorban” dengan mengambil keputusan keluar daripada parti yang didokongnya-UMNO-Dahulu, Kini dan Selamanya.
32) “Pak Lah boleh tersenyum sekarang,”kata seseorang. “Siapa kata Pak Lah lemah?”,kata yang seorang lagi. “Sebenarnya kekuatan itu ada Pak Lah dan selepas ini lihatlah sokongan kepadanya akan semakin bertambah,”kata yang seorang lagi.
33) Saya tidak fikir Pak Lah sebagai Perdana Menteri tidak nampak semua ini. Cuma dia tidak mahu bercakap sahaja. Ya memang sifatnya tidak mahu bercakap banyak tentang hal ini-sebab hal ini meyangkut seorang individu bukan parti, bukan rakyat. Ada perkara yang lebih penting daripada ini, iaitu rakyat yang perlukan beras, harga barangan keperluan dan minyak yang semakin melambung, parti UMNO yang perlu diperkukuhkan, perpaduan umat Melayu yang perlu diperkuatkan, kerajaan yang perlu diperkasakan, dan bahaya ancaman (perkauman, agama, parti politik dan cyber) yang tidak boleh dipandang ringan.
34) Pak Lah yang fungsinya sebagai seorang Perdana Menteri bukan hendak menjaga hati semua orang atau pun hati seseorang, tetapi yang lebih penting untuk dijaga ialah rakyat, kerajaan dan negara. Jika dia ingin menjaga hati semua orang atau seseorang, dia akan gagal, tetapi apabila dia ingin menjaga rakyat, negara dan kerajaan, insya-Allah dia akan diberi sokongan dan pasti dia akan beroleh kejayaan.
35) Semua ini perlu ditangani dengan cara yang terbaik atas nama rakyat dan negara Malaysia tercinta melalui perundingan, permuafakatan dan mesyuarat.
36) Kejayaan Malaysia bukan hasil ugutan, ancaman dan sergahan seseorang atau sesiapa. Jika kepemimpinan tunduk kepada ugutan dan ancaman, ini dikhuatiri akan menjadi ikutan generasi berikutnya untuk menggunakan cara yang serupa. Jika tidak suka akan seseorang ugut dia, dan jika yang tidak tahan dengan ugutan itu berundur diri. Yang naik kemudiannya pun akan diugut. Akhirnya tidak ada sesiapa yang berminat menjadi pemimpin di Malaysia.
37) Zaman Saidina Ali menjadi khalifah ar-Rasyidin adalah gambaran yang cukup baik untuk menerangkan hal ini. Beliau diugut oleh sekumpulan daripada Bani Umaiyah untuk meletakkan jawatan sebagai khalifah kerana beliau dikatakan bersubahat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Sebelum itu pun dia dinaikkan ke kerusi khalifah kerana ugutan sekumpulan pemberontak. Ugutan dan pemberontakan berlaku begitu ketara pada zamannya sehingga berakhir dengan dua perang saudara-Perang Jamal dan Perang Siffin yang membunuh beribu-ribu orang Islam. Malahan selepas itu perpecahan umat Islam semakin ketara sehinggalah Saidina Ali dibunuh oleh musuhnya daripada puak Khawarij.
38) Tentulah kita berdoa semoga keadaan pada zaman Saidina Ali itu tidak berlaku di negara ini. Namun bagi negara kita, perpecahan tanpa peperangan pun sudah cukup untuk melemahkan kita kerana kita mempunyai banyak faktor yang boleh sahaja menjadi bom jangka yang bila-bila masa sahaja boleh meletup disebabkan hal-hal yang kecil.
39) Semoga Allah menjauhi petaka daripada berlaku ke atas negara ini dan seluruh rakyatnya; petaka yang berpunca daripada kecuaian manusia menangani masalah mereka sendiri.
40) Semoga Allah mengurniakan kepada pemimpin negara ini kefahaman para nabi, kefaqihan dalam ilmu dan agama, aqal yang panjang, fikir yang tajam, dada yang lapang dan ilmu takwil, iaitu mengetahui sesuatu yang tidak diketahui oleh orang lain. Amin ya rabbal ‘alamin.
Hakcipta Abd Bashid Harun
Penulis Koleksi Artikel GuruBashid

















No user commented in " 40 Coretan Tentang Tun "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply