1 Saya kuat untuk menyatakan pendapat bahawa apa yang bakal berlaku di Sarawak selepas 16 April ini banyak ditentukan oleh apa yang telah dilakukan oleh kerajaan negeri di bawah teraju kepimpinan Ketua Menterinya sendiri, iaitu Tan Sri Abdul Taib Mahmud ke atas kesejahteraan rakyat Sarawak selama ini.

2 Dalam erti kata lain bagaimana kepimpinan YAB Ketua Menteri Sarawak selama 30 tahun itu telah memberi kesan langsung dan ketara ke atas kesejahteraan hidup rakyat Sarawak selama ini akan menjadi pertimbangan utama rakyat di negeri itu dalam menentukan parti mana yang bakal memerintah untuk tempoh lima tahun yang akan datang.

3 Pilihan raya umum Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 16 April ini akan dijadikan mekanisme yang paling sesuai untuk meletakkan merit kepada kerja buat kerajaan BN Sarawak selama 30 tahun itu. Rakyat Sarawak memang menunggu tarikh penting itu untuk “memberikan sesuatu sebagai balasan” kepada kerajaan BN Sarawak hasil kerja buat mereka selama ini.

4 Walaupun kerajaan pusat banyak membantu Sarawak, namun penilaian rakyat Sarawak pada 16 April ini tidak lagi menjurus kepada faktor tersebut. Begitu juga apa yang bakal diberikan kepada Sarawak selepas ini bukanlah menjadi pertimbangan utama pengundi dalam pilihan raya kali ini.

5 Tetapi yang akan menjadi pertimbangan utama pengundi Sarawak kali ini ialah pembangunan dan kemajuan yang terus sampai kepada mereka di mana kemajuan itu dapat dirasai nikmatnya secara langsung ke atas diri mereka.

6 Dalam maksud yang lain bagaimana bantuan kewangan dan sokongan dalam pelbagai bentuk yang telah diberikan oleh kerajaan pusat selama ini telah dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kerajaan negeri untuk kemajuan Sarawak dan kesejahteraan rakyatnya.

7 Dan bagaimana juga bantuan dan sokongan daripada kerajaan pusat itu dapat meninggalkan kesan secara langsung dan ketara ke atas kesejahteraan hidup rakyat Sarawak.

8 Isu-isu seperti kes liwat Anwar Ibrahim,dan yang terbaru video seks yang melibatkan pemimpin kanan pembangkang dilihat tidak begitu banyak diberi perhatian dan tidak akan memberi kesan yang ketara kepada keputusan yang bakal dibuat oleh rakyat Sarawak pada 16 April itu.

9 Begitu juga halnya dengan Kosep 1Malaysia yang dirasakan tidak begitu menunjukkan kesannya di Sarawak sebab sebelum wujud slogan tersebut, masyarakat berbilang etnik dan agama di negeri bumi kenyalang ini sudah lama mengamalkan apa yang dihasratkan dalam konsep 1Malaysia itu.

10 Dalam erti kata kata lain semangat 1Malaysia yang mengutamakan perpaduan, kerjasama, keterbukaan dan tolak ansur itu telah lama wujud serta menjadi amalan dalam kehidupan pelbagai etnik di Sarawak jauh lebih lama daripada kewujudan konsep 1Malaysia itu.

11 Malahan rakyat Sarawak dilihat jauh lebih terbuka dalam hal-hal yang bersangkutan dengan perhubungan antara saudara berlainan agama, makanan, pergaulan dan dalam amalan beragama itu sendiri.

12 Jika kerajaan BN Sarawak telah melakukan yang terbaik untuk rakyat Sarawak selama tempoh 30 tahun itu, maka mudahlah kerja-kerja persiapan untuk menghadapi pembangkang dalam PRU itu.

13 Jika keadaan adalah di sebaliknya, iaitu apabila rakyat merasai bahawa kehidupan mereka tidak banyak berubah dalam tempoh 30 tahun itu atau rakyat merasakan bahawa mereka sama sahaja seperti dahulu, maka kerja BN Sarawak agak lebih berat.

14 Bukankah itu maksud sebenar YAB Ketua Menteri Sarawak apabila beliau menyatakan bahawa BN Sarawak bergantung kepada kekuatan sendiri untuk menghadapi PRU di negeri itu.

15 Maka jika itu benar, BN Sarawak tidak boleh lagi bergantung kepada perpecahan dan pertelagahan antara parti pembangkang di negeri itu sebagai isu , sebaliknya membuktikan kepada rakyat bahawa kekuatan yang dimaksudkan itu memang ada padanya dan mampu pula ditunjukkan sebagai bahan bukti yang bukan sekadar cukup makan, tetapi jauh lebih besar.

16 Maka hanya rakyat Sarawak sebagai pengundi yang tahu di mana kedudukan mereka sekarang ini. Begitu juga hanya pemimpin kerajaan BN Sarawak, terutama YAB Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang tahu sejauhmanakah kekuatan yang ada pada BN telah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk negeri dan rakyat Sarawak dalam tempoh 30 tahun di mana beliau adalah Ketua Menterinya.

Hakcipta Abd Bashid Harun