PANDUAN SYARAHAN AGAMA
Panduan Untuk Hakim, Guru Pembimbing dan Peserta
Sudah lama saya tidak terlibat dalam penghakiman syarahan agama dan bercerita kisah-kisah al-Quran yang diadakan pada setiap tahun sempena Majlis Tilawah Al-Quran anjuran Kementerian Pelajaran Malaysia. Itu berlaku sejak saya bepindah dari Sabah pada tahun 1996 dan sejak itulah saya tidak mengajar mata pelajaran Pendidikan Islam lagi. Di Sabah dahulu saya terlibat sepenuhnya dalam pertandingan tersebut sama ada sebagai ketua hakim mahupun sebagai pengerusi bengkel penghakiman. Selain kerana saya guru agama, saya dipilih mungkin kerana kelulusan agama yang saya miliki dan jawatan Yang Dipertua Persatuan Guru Ugama Kebangsaan Sabah (PGUKS) yang saya pegang pada waktu itu. Tetapi pada saya, saya memang mempunyai minat yang mendalam dalam bidang syarahan agama termasuk cara menghakiminya. Pelajar yang saya latih mendapat Johan Negeri dan Naib Johan serta Tempat Ketiga di peringkat kebangsaan. Dalam penghakiman saya selalunya diberi kepercayaan sebagai ketua hakim. Dan sebagai ketua hakim hampir setiap tahun saya memberi taklimat depada hakim-hakim yang terlibat dalam bengkel penghakiman. Saya tidak begitu pasti sama ada bengkel penghakiman itu masih dilaksanakan. Pada pendapat saya bengkel penghakiman seumpama itu wajar dilakukan untuk setiap kategori pertandingan sebelum pertandingan berlangsung. Bengkel tersebut sebenarnya banyak membantu para hakim tentang pelbagai selok penghakiman agar penghakiman lebih diyakini dan lebih adil. Biasanya kami akan berbahas panjang untuk melihat semula aspek-aspek tertentu dalam penghakiman syarahan agama seperti aspek dalil, aspek sebutan atau lahjah, penyampaian atau persembahan, isi, huraian dan contoh serta teknik-teknik permulaan, dan penutup sesuatu syarahan. Kami juga membahaskan pelbagai kemungkinan yang berlaku semasa pertandingan berlangsung dan menyediakan pelan kontingensi jika kemungkinan itu benar-benar berlaku. Antaranya jika pembesar suara tidak berfungsi, mikrofon di off oleh peserta terdahulu, loceng penjaga masa gagal berfungsi dan didengar, peserta jatuh pengsan, dan sebagainya. Begitulah rapinya kami mengatur persiapan sebelum sesuatu pertandingan berlangsung. Saya memberitahu sejelas-jelasnya kepada para hakim bahawa syarahan agama berbeza daripada syarahan atau pidato biasa. Antara perbezaan itu ialah aspek dalil yang wajib ada bagi setiap isi. Setiap isi yang dikemukakan perlu dibuktikan dengan satu dalil. Ini bermakna jika syarahan itu mengandungi tujuh isi, maka ada tujuh dalil. Dalil yang dimaksudkan di sini bukan aqli (hujah akal) tetapi dalil naqli, iaitu ayat al-Quran atau pun hadith. Maksudnya peserta hendaklah membaca dalil itu dalam petikan asalnya bukan terjemahan atau maksudnya. Malahan jika peserta hanya membacakan maksud ayat atau hadith dia tidak akan mendapat sebarang markah untuk dalil. Peserta pula diingatkan supaya tidak digalakkan mengemukakan lebih daripada satu dalil naqli utnuk setiap isi kerana ini akan mengambil masa yang banyak sedangkan perkara besar dalam pertandingan ini ialah huraian isi. Seperkara lagi peserta hendaklah mengemukakan dalil atau istilah-istilah agama atau perkataan Arab dalam sebutan asal mengikut susuk bahasa Arab. Inilah yang dikatakan sebutan mengikut lahjah ‘arabiah. Biasanya ini merupakan semacam bonus kepada peserta yang dapat menyebut perataan Arab dan dalil Quran/Hadith dalam susuk Arab. Dan inilah perbezaan yang ketara antara seorang peserta dengan peserta lain kerana aspek lain seperti isi dan persembahan hampir semua peserta memiliki kebolehan yang hampir serupa. Peserta juga mesti diingatkan tentang tertib menyampaikan syarahan agama, iaitu mesti dimulai dengan salam. Ini sejajar dengan kaedah popular as-salam qablal kalam atau bermaksud salam itu datangnya sebelum kalam/perkataan. Inilah yang gagal diberitahu oleh jurulatih atau guru pembimbing peserta-peserta. Mungkin mereka pun tidak tahu atau tidak pernah diberitahu tentang hal ini. Di sinilah peserta kehilangan markah (markah tertib). Yang berlaku ada peserta yang berpantun lebih dahulu, ucap hormat kepada pengerusi dan hakim, dan membacakan intro. Sebenarnya semua itu tidak tepat. Jika ini bukan syarahan agama, tertib seperti ini boleh sahaja dimaafkan. Tetapi ini syarahan agama. Jika solat ad tertibnya, mengapa syarahan agama tidak ada sedangkan solat itu dikatakan contoh dalam kehidupan. Tegasnya perkataan pertama yang sepatutnya muncul daripada mulut peserta syarahan agama ialah Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh,bukan yang lain-lainnya. Bagaimana dengan basmallah bukanah dikatakan setiap perbuatan didahului dengan menyebut nama Allah. Dalam syarahan basmallah boleh sahaja disebut perlahan atau dibaca semasa menaiki pentas. Kalimat bismillahirrahmaanirrahim itu tak perlulah diungkapkan dalam syarahan yang mendahlui salam. Alasannya anda bukan menghadap makanan atau minuman, tetapi anda menghadap penonton. Apakah ucapan yang paling baik untuk didengar oleh telingan penonton kalau bukan salam. Maksudnya kita mengucapkan salam kerana kita mahu mendoakan kesejahteraan hadirin yang mendengar syarahan kita. Inilah tertibnya dan di sinilah kecantikan islam iaitu apabila kita meletakkan sesuatu pada tempatnya. selepas salam barulah disampaikan tahmid dan solawat. Kemudian diikuti ucapan hormat dan pengucapan bertatasusila, tajuk syarahan dan penyamapaian isi kandungan dan diakhiri dengan penutup. Penutup mestilah diakhiri dengan salam sebagaimana salam juga yang memulai syarahan. Wallahu’alam.
PANDUAN BERBAHAS
1. Strategi Dan Taktikal Memenangi Perbahasan
PADA 4 Ogos 2007 yang lalu, saya telah membentangkan tajuk “Strategi dan Taktikal Memenangi Perbahasan ala-Parlimen” kepada pembahas dan bakal-bakal pembahas yang dipilih dari semua sekolah menengah dalam daerah Larut, Matang dan Selama, Perak. Saya sebenarnya cuba berkongsi pengalaman real saya dan pasukan saya yang pernah menjadi juara, naib juara, tempat ketiga serta kalah dalam beberapa pertandingan bahas sama ada perbahasan konvensional mahupun ala-Parlimen; sama ada sebagai peserta, hakim dan guru pembimbing; sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang; sama ada di peringkat negeri mahupun kebangsaan; sama ada semasa saya bergelar pelajar atau pun guru. Tetapi yang lebih penting lagi, saya ingin memberitahu mereka bahawa tempoh beberapa minit mereka berhujah di gelanggang sebenar itulah yang bakal menentukan kejayaan pasukan mereka. Keadaan ini sama dengan pasukan bola sepak yang menerima latihan beberapa bulan di luar negara dan bermain dengan pasukan terhandal dunia, namun kemenangan mereka banyak ditentukan dalam tempoh 90 minit mereka bermain. Hanya pasukan yang dapat berhujah secara real, tanpa menampakkan dengan ketara elemen lakonan, mengemukankan bukti kes dengan matang dan bercakap dengan nada spontan, bersahaja, dan santai sahaja yang mampu “convince” para hakim dan penonton dan seterusnya memenangi sesuatu pertandingan bahas. Hakim akan melihat dengan jelas siapa yang benar-benar menghayati usul, jelas peranan dan fungsi, menguasai pentas, berhujah dengan matang dan berani berdepan dengan situasi sebenar , dan siapa pula yang terikat dengan skrip, gementar apabila berdepan khalayak, tidak berani memandang tepat ke arah lawan, terkekang dengan stail lama(konvensional), menggagah diri untuk menjadi berani dan gagal mengenal pasti dan memanipulasi kelemahan lawan. Saya melihat dalam banyak perlawanan bahas, pembahas akan melontarkan semula apa-apa yang telah mereka sediakan sebelumnya tanpa ada keberanian untuk melakukan perubahan walaupun perubahan yang kecil. Hal yang demikian menjadikan perbahasan itu kaku dan tidak bersahaja.Para pembahas sepatutnya dilatih untuk berfikir bebas tentang sesuatu tajuk, melihat dunia daripada pelbagai perspektif, meneroka pelbagai bidang ilmu dan dilatih dengan kesepontanan sebelum perbahasan berlangsung. Langkah pertama yang perlu dilakukan ialah memahami usul/tajuk. Di peringkat ini jangan sibuk dan disibukkan dengan perkara-perkara lain seperti mencari siapa Perdana Menteri, siapa menteri pertama atau kedua. Itu boleh ditentukan kemudian. Biar semua ahli pasukan termasuk peserta simpanan mempunyai kefahaman yang mendalam dan tanpa sedikit pun keraguan tentang kehendak usul. Mereka mesti diberikan masa yang mencukupi dan dibenarkan berbahas sesama mereka sehinggalah mereka menemukan maksud dan kehendak usul yang sebenar. Selepas itu barulah formasi dibentuk dan strategi diatur. Jangan sama sekali menganggap tugas memahami usul sebagai perkara remeh kerana ketidakjelasan dalam aspek ini akan membawa padah kepada pembahas dan pasukannya apabila darjah penghayatan, keberanian dan keyakinan pembahas tidak mencapai tahap optimum. Apabila aspek yang satu ini dihayati, ditokok dengan persiapan-persiapan lain termasuk dari segi isi, formasi, strategi, taktik dan teknik, ketika ini barulah suasana perbahasan yang sebenar dapat dirasai; hakim terpukau, penonton terhibur dan yang patut menang akan menang dan yang kalah akan menerima dan mengakui akan kelemahannya. Insya-Allah, pada masa akan datang saya akan berkongsi banyak lagi rahsia bagaimana memenangi pertandingan perbahasan.
2. Debat Bukan Segala-Galanya
RAMAI orang percaya bahawa pendebat yang baik ialah pendebat yang mempunyai kepintaran akal, selain kepintaran berhujah. Memang benar, tetapi itu hanya sebelum mereka berdebat. Apa yang berlaku, majoriti daripada mereka membawa akal bersama-sama mereka, tetapi disebabkan kepanasan berdebat sebahagian daripada mereka hampir-hampir terlupa untuk menggunakannya. Kadang-kadang mereka sengaja meninggalkannya di luar dewan bagi memastikan mulut mereka lebih laju daripada biasa. Pendebat selalu merasakan musuh sebenar mereka ialah lawan mereka. Tetapi mereka terlupa musuh terdekat bagi seseorang pendebat ialah akal mereka sendiri kerana akal akan membataskan lidah mereka. Sebab itu mereka lebih suka bersahabat dengan lisan mereka ketimbang akal mereka kerana lidah tidak pernah menyekat atau menghalang kemahuan mereka. Lidah mereka akan sentiasa membenarkan. Dan inilah yang mereka mahu. Jika orang kebanyakan melihat dunia melalui mata kasar dan orang alim melihat dunia melalui mata hati, para pendebat pula melihat dunia melalui mulut-mulut mereka yang sentiasa ternganga. Perdebatan yang asalnya digunakan oleh ahli-ahli falsafah untuk mempertahankan pemikiran mereka, yang kemudiannya dimurnikan oleh para ulamak untuk membahaskan sesuatu masalah agama dan perbandingan mazhab, kini bertukar menjadi suatu pembohongan yang dipelihara oleh orang yang hanya pandai bercakap, tetapi tidak pandai bertindak untuk menutup kelemahan sedia ada.
3. Pembahas Simpanan
SAYA ingin beritahu anda bahawa pembahas simpanan adalah orang yang paling penting. Panggilannya sebagai pembahas simpanan, bukanlah alasan untuk seseorang pembahas simpanan lari daripada tugas, atau berbuat sesuka hati mereka. Pembahas simpanan hendaklah dipastikan hadir dalam semua acara latihan dan pertandingan. Pembahas simpanan perlu berlatih dalam semua peranan sama ada sebagai Perdana Menteri, menteri pertama, menteri kedua, ketua pembangkang, pembangkang 1 atau 2 dan sebagai penggulung. Mereka mesti mempunyai kecekapan yang pelbagai dan bersedia pada bila-bila masa untuk menggantikan sesiapa sahaja. Sebab itu pembahas simpanan saya anggap adalah manusia paling genius,bertenaga dan berkebolehan serta bersikap lebih terbuka dalam semua keadaan. Justeru pembahas simpanan mestilah pembahas yang hebat, bukan dipilih sekadar tangkap muat. Pembahas simpanan merupakan ayam tambatan pasukan, dan dikeluarkan pada masa yang tepat. Pembahas simpanan bukan sekadar menggantikan pembahas yang sakit atau yang ada masalah kesihatan, tetapi beliau boleh menggantikan sesiapa sahaja dan pada bila-bila masa sahaja jika difikirkan kemasukan beliau membantu kemenangan kepada pasukan. Pembahas simpanan turut berupaya mengatur strategi bagi memenangi sesuatu perlawanan. Dia patut mencatat, merakam dan melihat setiap detik perbahasan itu. Semasa perbahasan berlangsung pembahas simpanan merupakan orang yang paling aktif. Dia patut menyenaraikan semua kelemahan lawan dan semua kekuatan mereka. Sebab itu jangan pandang enteng kepada pembahas simpanan ini.
SYARAHAN SEKOLAH CINA DAN TAMIL
Contoh Teks Syarahan PSUB (Pertandingan Syarahan dan Ujian Bertulis) SRJK(C) dan SRJK(T)Teks 1: Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan
YANG kurik itu kundi, yang merah itu saga, yang cantik itu budi, yang indah itu bahasa. Begitulah indahnya tajuk syarahan yang akan saya sampaikan “Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan”. Seuntai kasih sekalung budi pengacara majlis, kombinasi hakim yang arif lagi berkarisma, dif-dif kehormat dan warga dewan yang saya muliakan, salam mesra dan salam perpaduan. Bahasa Kebangsaan Nadi Perpaduan secara keseluruhannya membawa maksud bahasa merupakan elemen penting yang menjadi tunjang kepada perpaduan rakyat di negara kita. Hadirin yang saya kasihi, Faktor utama yang menjadi teras kepada terbinanya perpaduan hari ini ialah bahasa yang digunakan bersama. Hal yang demikian kerana sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi bahasa komunikasi semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka sehinggalah negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957. Oleh itu, nyatalah bahasa iaitu bahasa Melayu menjadi komponen penting perpaduan yang membawa kepada kemerdekaan. Hadirin yang budiman, Perkara 152 Perlembagaan Negara ada mengkanunkan bahawa bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu. Ini membuktikan sejak dahulu pemimpin pelbagai kaum telah sepakat perlu adanya satu bahasa yang mampu menyatupadukan seluruh rakyat. Hubungan yang intim akan terjalin apabila semua rakyat berkomunikasi antara satu sama lain menggunakan satu bahasa. Kita bukan sahaja berkongsi negara, malahan kita sanggup berkongsi bahasa atas nama perpaduan bak kata pepatah ” Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Hadirin sekalian,
Teks 2: Hidup Muafakat Membawa BerkatBerat sama dipikul, Ringan sama dijinjing, Bulat air kerana pembentung, Bulat kata kerana muafakat.Salam perpaduan dihulurkan untuk semua. Terima kasih tuan pengerusi majlis, yang saya hormati, dif-dif kehormat, panel hakim yang arif lagi bijaksana serta sentiasa menegakkan paksi kebenaran, warga pendidik yang budiman seterusnya hadirin yang saya kasihi. “Hidup Muafakat Membawa Berkat” begitulah nada lirik syarahan saya pada hari ini.Tuan-tuan dan puan-puan,, Kemajuan dan kemakmuran yang dicapai oleh sesebuah negara bermasyarakat majmuk seperti Malaysia adalah berpaksikan permuafakatan yang lahir dari nurani yang suci. Kita perlu berkerjasama dan saling membantu tanpa mengira ras dan warna kulit. Perkara ini tidak dapat disangkal lagi kerana pesanan nenek moyang masih segar dalam ingatan. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Dengan terbinanya amalan berkerjasama antara kaum, maka akan wujudlah perpaduan dan kesejahteraan hidup. Tanpa sikap tolak ansur dan bekerjasama, perbalahan dan pergeseran kaum mudah berlaku.Sidang dewan yang saya kasihi, Masih ingatkah anda wawasan 2020 yang telah diilhamkan oleh bekas Perdana menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad? Dalam cabaran yang kelima telah dinukilkan dengan jelas iaitu untuk membangunkan masyarakat yang bertoleransi. Ini bermakna rakyat
Teks 4: Wawasan Negara Membentuk Perpaduan
Sebelum kata membawa bicara, sembah dan salam hamba pohonkan Terima kasih tuan/puan pengerusi majlis, yang dihormati panel hakim yang arif lagi bijaksana, warga pendidik dan seterusnya sidang dewan yang dikasihi sekalian. Salam sejahtera pembuka bicara. Wawasan Negara Membentuk Perpaduan, begitulah tajuk syarahan saya pada hari yang berbahagia ini.Hadirin sekalian,Merujuk Kamus Dewan, wawasan merupakan satu pandangan jauh yang berkaitan dengan perkembangan masa hadapan bagi mencapai matlamat sebuah organisasi atau negara. Perpaduan pula membawa maksud, bergabung menjadi satu atau sepakatWawasan negara membentuk perpaduan, bermaksud gabungan keseluruhan sembilan cabaran Wawasan 2020 yang telah dilancarkan oleh bekas Perdana menteri kita tun Doktor Mahathir pada 28 Februari 1991, ke arah melahirkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu.Warga dewan sekalian,Wawasan 2020 merupakan satu cetusan idea untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu dan maju mengikut acuannya sendiri. Dengan lain perkataan, kita mahu maju setanding dengan negara-negara lain dan pada masa yang sama mengekalkan ciri-ciri ke-Malaysiaan kita. Fikirkan sejenak, mampukah negara mencapai dan mengecapi kemewahan tanpa perpaduan? Tentunya tidak. Hadirin sekalian, sejarah telah membuktikan bahawa, tanpa perpaduan negara akan menemui kehancuran Justeru, cabaran pertama dalam Wawasan negara adalah mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu dan maju yang mempunyai matlamat untuk dikongsi bersama.Sidang dewan yang dihormati, Usaha-usaha mengintegrasikan rakyat melalui pelbagai program seperti pelancaran bulan citrawarna, pendidikan komuniti dan rakan muda adalah contoh-contoh aktiviti yang dapat menyumbang ke arah pembentukan perpaduan bangsa Malaysia, bak kata pepatah, “Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana sepakat” Masyarakat Malaysia diharapkan dapat bersaing secara dinamik dan kental dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan.Justeru, janganlah kita kembali menjadi Pak Kaduk, ayam menang, kampung tergadai, atau ibarat ayam di kepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan.Akhir kata, mari marilah kita bersama-sama menghayati wawasan negara yang kita impikan. Sekian sahaja syarahan saya. Saya sudahi dengan serangkap pantun buat semua.Sungguh jelita si puteri rupawan, Dikagumi putera jauh dan dekat; Wawasan negara membentuk perpaduan, Utuh perpaduan sejahteralah rakyat. Sekian, terima kasih.
Teks 5: Satu Bangsa Satu Negara
KATA disusun indah bahasa, Bibir tersenyum manis bicara, Satu bangsa satu negara, Lambang perpaduan rakyat Malaysia.Terima kasih pengacara majlis, panel hakim yang sentiasa menegakkan keadilan, para tetamu yang budiman, seterusnya hadirin yang dihormati.Apakah yang dimaksudkan Satu Bangsa Satu Negara? Satu bermakna tunggal, bangsa pula dimaksudkan sebagai ras atau keturunan dan negara pula adalah suatu lingkungan kawasan yang berdaulat dan bersempadan. Justeru, frasa Satu Bangsa Satu Negara dapatlah disimpulkan sebagai sebuah negara yang hanya mempunyai satu bangsa sahaja. Tidak dua, tidak tiga.Negara kita



















