1 ” Mestikah ada DNA?”. Mungkin ini pertanyaan kebanyakan orang berkaitan kes yang sedang dibicarakan melibatkan Anwar dan Saiful.Tidak salah mereka bertanyakan demikian, apatah lagi jika yang bertanya itu orang awam seperti saya. Apabila orang awam seperti saya bertanya, pertanyaan seperti itu dikira munasabah.
2 Mereka berhak mengajukan pertanyaan seperti itu setelah melihat begitu banyak desakan agar Anwar menyerahkan DNA-nya. Seolah-olah mereka diberi gambaran bahawa tanpa DNA keputusan terhadap ANWAR tidak boleh dibuat.
3 ” Dahulu, ada DNA atau tidak?”. Tidak ada kan. Tetapi keputusan daripada sesuatu perbicaraan masih boleh dikeluarkan. Dan ramai yang didapati bersalah lalu dijatuhi hukuman seperti dalam kes membunuh sekalipun tanpa DNA.
4 Maksud saya ialah rakyat tidak perlu bimbang dan ragu-ragu terhadap kewibawaan mahkamah atau hakim yang sedang membicarakan kes tersebut, sekalipun akhirnya Anwar tidak menyerahkan DNA-nya.
5 Saya menulis tentang hal ini sebab sudah ada yang berasa curiga dengan keadilan yang bakal berlaku dalam mahkamah dan sudah ada yang mula mencurigai hakim yang terlibat setelah hakim itu menolak ketiga-tiga bukti tempoh hari.
6 Dalam sesuatu perbicaraan, banyak bergantung kepada kebijaksanaan para peguam yang berhujah.Dalam konteks Anwar tentulah pihak pendakwa.
7 Sewaktu saya mengambil kertas Undang-Undang Dalam Pendidikan selama setahun dan membuat rujukan berkaitan dengannya di Perpustakaan Undang-Undang Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya istilah yang paling kerap ditemui ialah “menimbulkan keraguan yang munasabah”.
8 Apabila Hakim menolak tiga bahan bukti milik Anwar yang dikemukakan oleh saksi pendakwaan, sebenarnya di situlah peluang pembuktian menjadi semakin terbuka luas kepada pihak pendakwa.
9 Dan pihak pendakwa dalam hal ini nampaknya telah melakukan tindakan bijak apabila peluang yang diperoleh daripada penolakan ketiga-tiga bukti itu diambil cepat-cepat untuk membuat tuntutan dalam mahkamah agar Anwar mengemukakan DNA barunya.
10 Semua orang tahu bahawa kes yang sedang dibicarakan ini kes yang besar yang melibatkan nama baik dan maruah seseorang. Jadi apabila pendakwa meminta DNA daripada Anwar itu adalah satu tindakan yang amat munasabah serta menjadi suatu kaedah yang paling tepat untuk menyudahi perbicaraan kes yang berlarutan ini.
11 Maka menjadi tindakan yang amat munasabah juga bagi pihak pembelaan tanpa ragu untuk bersetuju dengan cadangan itu dengan niat untuk menyelesaikan kes ini secepat mungkin.
12 Maka tindakan mendapatkan DNA Anwar secara sukarela adalah satu tindakan bertanggungjawab untuk menyelesaikan kes ini dengan cara yang paling munasabah.
13 Apakah implikasi yang diharapkan apabila Anwar mengemukakan DNA-nya. Jawapannya jika DNA yang dikemukakan itu ternyata tidak mempunyai persamaan dengan bukti yang disepadankan ke atasnya, nama Anwar akan dibersihkan. Bukan untuk sehari tetapi untuk sepanjang hidup Anwar.Ini adalah selari dengan cara-cara berfikir sesiapa sahaja yang menghadapi tuduhan sebesar itu bagi membersihkan namanya.
14 Sebaliknya jika pihak pembelaan gagal untuk mengambil peluang yang terbuka luas ini dengan tidak mengemukakan DNA baru ini dengan alasan yang tidak cukup munasabah maka di sinilah peluang pendakwaan untuk menjadikan kegagalan pemberian DNA ini sebagai satu bentuk keraguan yang boleh ditimbulkan daripada pihak pembelaan.
15 Maksudnya dalam kes yang melibatkan Anwar dan Saiful ini, sekalipun tanpa DNA pihak pendakwaan masih berpeluang luas untuk berhujah bahawa yang dituduh memang terlibat dengan kes yang sedang dibicarakan ini dengan menimbulkan keraguan yang munasabah daripada keengganan pihak pembelaan mengemukakan DNA dalam kes sepenting ini.
16 Keraguan yang munasabah yang saya maksudkan ialah pertikaian mengapa dalam kes sebesar ini yang menyangkut nama baik dan maruah seseorang, pihak yang tertuduh gagal memberikan kerjasama dengan memberikan DNA-nya sedangkan pihak pembela mempunyai maksud untuk membebaskan anak guam mereka daripada tuduhan yang dikaitkan ke atasnya.
17 Maka peluang bagi pihak pendakwaan di situ ialah untuk menimbulkan keraguan di sekitar perkara itu, iaitu mengapa Anwar gagal memberikan DNA-nya sedangkan itu akan menamatkan semuanya.
18 Apabila Anwar berkata beban pembuktian itu ada pada pihak pendakwaan, bukan pada pihak pembelaan maka itu betul. Maka di sinilah hujah pembuktian itu boleh dilakukan sebaik-baiknya oleh pendakwa sehingga menimbulkan keraguan kepada pihak mahkamah mengapa Anwar yang sedang dituduh dengan tuduhan seberat itu itu tidak mahu membersihkan dirinya.
19 Dalam bahasa yang paling mudah keengganan yang tertuduh berbuat demikian seolah-olah memperkukuh hujah pihak pendakwa bahawa ada sesuatu yang cuba diselamatkan.Dan di situlah timbulnya keraguan yang saya maksudkan.
20 Maka sekarang nampaknya bukan pihak pendakwa sahaja yang memikul beban pembuktian, tetapi pihak pembelaan juga.Dan beban pembuktian pihak pembelaan lebih berat lagi.
21 Alasan selamat yang digunakan oleh pihak Anwar ketika ini ialah takut kalau-kalau DNA-nya disalahgunakan. Kalau itu yang ditakuti oleh pihak yang didakwa, apakah pihak yang satu lagi iaitu pihak pendakwa tidak ada perasaan yang sama kalau-kalau bahan bukti sepenting itu terdedah kepada kemungkinan pemalsuan?
Hakcipta Abd Bashid Harun











No user commented in " Wajibkah Ada DNA? "
Follow-up comment rss or Leave a TrackbackLeave A Reply